Yana Tidak Gelojoh Kejar Gelaran Pengarah Filem

Diterbitkan: Jumaat, 1 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Bukan Yana serik untuk kembali mengarah, cuma masa tidak mengizinkan. - Foto oleh Utusan
Bukan Yana serik untuk kembali mengarah, cuma masa tidak mengizinkan. - Foto oleh Utusan

YANA atau nama sebenar Norliana Samsudin pernah melakar sejarah tersendiri di persada seni apabila diangkat sebagai pengarah filem wanita termuda menerusi filem sulungnya, Selamat Pagi Cinta (SPC) pada tahun 2008.

Sebagai orang baru, Yana pernah diselar dan mendapat pelbagai kritikan kerana 'kepincangan' air tangannya itu. Malah, selepas SPC, Yana seakan menyepi diri daripada bidang pengarahan.

Setahun berlalu, namun sehingga hari ini, masih tidak ada filem mahupun drama TV yang diarahkan oleh Yana. Sebaliknya, wajah dan aksinya terus rancak menghiasi kaca TV dan layar lebar sebagai seorang pelakon.

"Bukan saya tidak mahu mengarah lagi, apatah lagi untuk berasa serik. Cuma kebetulan sepanjang tahun 2009, saya menerima banyak tawaran berlakon.

"Jadual penggambaran drama dan filem agak padat ketika ini. Malah, sehingga tahun 2010 pun jadual lakonan saya sudah penuh.

"Masakan saya sempat untuk mengarah filem pula. Saya ini jenis orang yang buat satu kerja pada satu masa dan tidak reti buat dua tiga kerja serentak," kata Yana.

Mendengarkan jawapan selamba Yana, gadis manis ini lantas diusik, adakah tujuannya bergiat aktif sebagai pelakon kebelakangan ini untuk mengejar glamor dan populariti.

Seraya ketawa, Yana berkata, dia tidak pernah memikirkan soal populariti ketika mula menapak sebagai pelakon.

"Jika hendak kata saya berlakon kerana glamor dan populariti, itu tidak betul.

"Saya memang sukakan bidang lakonan. Tambahan pula, ketika berjinak-jinak dalam bidang seni dulu pun, saya bermula sebagai pelakon.

"Alhamdulillah, tawaran lakonan pun tidak pernah putus. Saya rasa tidak salah kalau saya ambil peluang ini.

Menurut Yana, dia memang sudah menetapkan untuk aktif berlakon sepanjang tahun 2009. Bukan dia serik atau 'gulung tikar' untuk terus mengarah filem, namun komitmen terhadap bidang lakonan, sedikit sebanyak telah membataskan gadis ini untuk kembali ke kerusi pengarah.

"Saya masih muda untuk bergelar pengarah filem atau drama. Pada saya, untuk bergelar pengarah, tidak perlukan had umur.

"Kemudian hari pun saya masih boleh menjadi pengarah. Biarlah saya pelajari selok-belok pembikinan drama dan filem dengan lebih mendalam sebelum saya kembali mengarah kelak," ujarnya lagi.

Tambahnya, dia percaya dia masih terlalu muda untuk bersikap gelojoh mengejar portfolio sebagai seorang pengarah filem.

Pada Yana, biarlah usia muda ini dimanfaatkan dengan meraih pengalaman sebanyak mungkin di lokasi penggambaran.

"Sementara masih muda dan masih laku, lebih baik saya berlakon dan gunakan peluang ini sebaik mungkin.

"Memandangkan tawaran berlakon masih masih tidak putus, lebih baik saya terima saja peluang ini," kata Yana yang kini sedang sibuk di lokasi penggambaran filem terbarunya, Aku Masih Dara di bawah arahan Ahmad Idham.

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan