Syurga Pulau Santorini "Mamma Mia" Menanti Serina-Gavin

Diterbitkan: Khamis, 31 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Serina bakal dinikahkan dengan Gavin Edward O'luanaigh.
Serina bakal dinikahkan dengan Gavin Edward O'luanaigh.

JIKA enam resepsi perkahwinan untuk anak kesayangan Serina dan bakal menantu Gavin Edward O'luanaigh tidak cukup untuk mengukur sejauh mana kasihnya seorang ayah, tunggu saja hadiah bulan madu yang telah dirancang Chef Wan.

Tukang masak terkenal bertaraf dunia ini sudah pun menyiapkan hadiah bulan madu untuk Serina dan Gavin nun juah di satu pulau lagenda kebanggaan Greece yang bernama Pulau Santorini.

"Saya sudahpun membeli pakej berbulan madu Serina dan Gavin untuk bulan Julai nanti kerana pemandangannya lebih menarik pada musim panas.

"Santorini adalah sebuah tempat yang mempesonakan. Saya sudah pun ke sana dan saya jatuh cinta dengan tempat itu. Keindahan pulau itu dengan lautnya yang biru memang one of the wonders of the world.

"Matahari pula terbenam betul-betul ke arah laut yang memandikan keseluruhan landskap dalam pelbagai warna daripada biru dan ungu kepada merah dan kuning," jelas Chef Wan yang menghabiskan lebih dari RM30 ribu untuk pakej berbulan madu itu.

Bagi Chef Wan, Santorini memang tempat yang paling ideal untuk destinasi berbulan madu.

"Setelah ke sana, saya tidak dapat melupakan kecantikan Santorini. Yang saya paling suka ialah kebiruan airnya. Tengok saja air yang sungguh biru dan jernih itu, kita tak sabar rasa hendak mencelup kaki ke dalamnya.

"Bangunan yang terdapat di Santorini juga memukau kerana senibinanya yang amat unik dan binaan yang rata-rata di cat putih dan biru.

"Masa di sana, terdetik di hati saya, alangkah bahagianya andai Serina dapat ke sini bersama suaminya nanti sebab itulah saya mahu mereka ke sana," kata Chef Wan yang berhempas pulas menyediakan persiapan untuk resepsi Serina yang akan bermula dengan majlis merisik dan bertunang hari ini di The Royale Chulan hotel, Kuala Lumpur.

Lebih menarik lagi, pulau yang kerap dijadikan honeymoon spot romantis itu, pernah dijadikan lokasi penggambaran filem 'Mamma Mia' di mana babak lagu "Does Your Mother Know" dan juga acara perkahwinan dalam Agios Ioannis Prodromos Monastery turut dirakamkan di sini.

Kata selebriti terkenal ini, apa saja yang dimakan di pulau itu akan meninggalkan kenangan yang sungguh manis.

"Pakej istimewa berbulan madu itu juga termasuk masakan khas Santorini seperti terong putih, tomato berbentuk cheri dan ikan segarnya.

"Saya rasa tentu Serina-Gavin akan teruja bila sampai ke pulau itu. Maklumlah pengantin baru....," kata ayah yang sporting ini.

Khabarnya, bakal pengantin baru ini telah memilih Pulau Mauritius untuk destinasi bulan madu mereka.

Selain majlis merisik dan bertunang, resepsi lain yang telah dirancang dengan cukup terperinci adalah majlis berinai kecil di J.W Marriott, Kuala Lumpur, akad nikah di Masjid Wilayah Persekutuan pada 1 Januari di sebelah pagi, majlis berinai besar di NEO, Jalan Sultan Ismail pada pukul 8.30 malam dan majlis bersanding di The Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 2 Januari, pukul 8.30 malam.

"Saya tak sangka persiapan mengahwinkan anak begini penat sekali. Saya langsung tidak boleh tumpu perhatian untuk perkara-perkara lain. Ingatkan bila dah lantik wedding planner dan beberapa orang untuk menguruskan hal-hal perkahwinan, saya boleh relaks.

"Rupanya saya memang jenis yang tidak boleh duduk diam. Semua maklumat tentang perkahwinan itu saya ingin tahu. Itu yang membuat kepala saya pening sampai tak boleh tidur sampai pagi hinggakan Datuk Faridah Hashim (wedding planner) ketawa melihat betapa gabranya saya...," kata Chef Wan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan