Fokus mStar: Dunia Artis Dijangka Lebih Sensasi 2010

Diterbitkan: Khamis, 31 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Industri Muzik Terus Merudum

Tatkala dunia pembikinan drama TV dan filem terus rancak menghiasi persada seni, 'episod duka' dunia muzik tempatan pula dilihat akan terus merudum. Umpama melukut di tepi gantang, hidup segan mati tak mahu, itulah realiti yang menimpa perkembangan industri muzik kita.

Biarpun seribu mulut bijak pandai muzik mahu pun bakat nyanyian menidakkan hakikat ini, namun, inilah musibah yang akan terus menghuni dunia seni andai langkah lebih proaktif tidak dicatur.

Pada mata kasar, kemeriahan industri muzik kita seakan masih mampu berlagu. Gema irama dan pesta muzik masih kedengaran sana sini. Anugerah yang memartabatkan seni karya ini terus rancak diraikan saban tahun biarpun ramai yang menyedari industri ini sedang nazak.

Bariskanlah apa jua nama dan bentuk persembahan yang bertunjangkan muzik. Anugerah Industri Muzik, Anugerah Juara Lagu, Anugerah Planet Muzik, Rock The World, Malam Pesta Indonesia atau apa jua program muzik sekali pun, matlamatnya tetap satu, iaitu untuk terus merancakkan kewujudan industri muzik kita.

Bagai hidup dalam kepura-puraan, perlaksanaan majlis atau anugerah muzik seolah-olah dianjurkan semata-mata untuk memenuhkan kalendar tahunan aktiviti seni ini. Realiti di sebaliknya, perkembangan industri muzik tetap statik.

Dengan persaingan hebat dan lambakan muzik dari luar yang terus menarik perhatian dan permintaan daripada orang kita sendiri, masakan muzik kita mampu untuk terus selesa bersaing. Jauh sekali untuk menidakkan tarikan muzik dari luar. Sebagai contoh, muzik dari Indonesia terus segar, relevan dan disambut baik oleh peminat muzik kita. Begitu juga dengan lambakan muzik dari Barat yang terus setia mendakapi citarasa dan halwa pendengaran kita.

Tiada guna menyalahkan elemen asing ini jika kita sendiri tidak bertindak untuk memulihkan keadaan. 'Kesakitan' industri muzik kita tidak boleh dikompromi lagi, jangan sampai esok lusa generasi akan datang sudah tidak kenal lagi muzik anak tempatan.

Kemunculan revolusi muzik segar daripada pengkarya generasi hari ini seakan memberi sedikit harapan kepada perkembangan positif industri, tapi itu hanya pada mata kasar. Benar, nama-nama seperti Hujan, Bunkface, Yuna, Aizat, Faizal Tahir, Meet Uncle Hussein dan banyak lagi, hadir dan memberi impak kepada industri dan peminat muzik secara amnya, namun itu hanya pada zahirnya.

Trend pendengar hari ini yang lebih teruja dengan kaedah muat turun sama ada secara halal atau haram dan 'lara' penjualan album hari ini tidak begitu membantu perkembangan industri. Hanya meriah di pentas persembahan atau pun anugerah, tapi jualan album mengecewakan.

Mujurlah ada di antara pengkarya muzik muda ini yang kritis dan agresif dengan menjual album sendiri menerusi persembahan-persembahan mereka di merata tempat. Jika harapkan pada syarikat rakaman semata, maka pada takuk itu jugalah angka jualannya. Bukan orang kita tidak beli album cuma peratus pembelian itu sudah merudum.

Sekadar mengimbas kembali era kegemilangan jualan album tempatan lewat 90-an dulu, sebut sajalah apa album sekali pun, pasti jarang yang 'bungkus'. Penyanyi-penyanyi hebat seperti Search, Awie, Ella, Datuk Siti Nurhaliza, Jamal Abdillah, Raihan, Amelina, U.K's dan banyak lagi, semuanya pernah merasa nikmat jualan album ala pisang goreng panas suatu ketika dulu.

Tapi lihatlah jualan album artis kita hari ini, nama-nama besar seperti Datuk Siti dan Ella pun terpaksa menghela nafas panjang. Apatah lagi yang suam-suam kuku. Bukan tidak jual langsung tapi peratus jualan jatuh mendadak. Bak kata orang, sekadar jual album saja. Sedih, sedih.

Bukan tiada usaha daripada pelbagai pihak untuk membaikpulih situasi ini, namun sehingga ke hari ini keadaannya masih macam itu juga. Lantas banyak persoalan dan episod tuding jari pun tercetus.

Apakah selera muzik generasi hari ini dan kuasa membeli album artis kita sudah menurun? Atau kemudahan teknologi muzik digital hari ini yang memaksa pengkarya dan orang-orang kuat industri perlu terus peka dengan perubahan semasa? Atau mereka harus lebih kreatif dalam berkarya dan mempromosikan produk muzik kita? Atau yang paling klise dan kontrovesi, terus menuding jari ke arah stesen radio yang dilabel berat sebelah pada muzik tempatan?

Tiada guna untuk terus mencari salah siapa sehingga industri kita nyawa-nyawa ikan. Lebih molek, jika semua pihak sama-sama terus bekerja dan berusaha dengan lebih gigih untuk menyelamatkan industri muzik.

Pengkarya perlu terus gigih berusaha menghasilkan karya yang segar dan relevan dengan selera pendengar hari ini. Syarikat rakaman harus lebih proaktif dalam merangka konsep muzik yang mampu menawan pendengar.

Pihak media tidak kiralah cetak, elektronik, TV mahupun radio perlu terus memberikan ruang untuk mengangkat karya anak tempatan. Malah pendengar pun, apa salahnya jika terus beri peluang kepada muzik kita agar terus bernafas.

Apa pun tepuk dada, tanyalah selera.

Kontroversi Dunia Seni Terus Meningkat

Jika tahun 2009 telah mencatatkan penularan kontroversi yang cukup meriah mewarnai dunia seni tempatan, mStar menjangkakan cerita wabak kontroversi dunia hiburan kita akan terus menghiasi kalendar anak seni tahun depan.

Sekadar menyelak diari seni 2009, hujan kontroversi terus mencurah hingga ke hari-hari terakhir tahun ini. Dari awal tahun sehingga hari ini, cerita-cerita panas (tidak perlu diungkit satu persatu) tidak pernah lekang mengisi kalendar tahun ini.

Malah, menjelang ketibaan 2010 juga seakan sudah mula memberi beberapa petanda, episod kontroversi anak seni akan terus setia bertandang mengikut giliran masing-masing pada tahun depan.

Bagaimana kami begitu yakin 2010 bakal menyajikan lebih banyak kontroversi? Konsepnya mudah saja. Kehadiran lebih ramai muka-muka baru di dalam industri, sama ada dalam bidang nyanyian, lakonan, radio mahupun TV akan terus meningkatkan bilangan artis dan selebriti tanah air secara mutlak. Lebih ramai artis, maka lebih banyaklah ragam dan cerita dunia seni kita.

Kontroversi yang dicetuskan oleh artis-artis baru seperti Ummi Nazeera, Memey Suhaiza, Wan Syarmila, Scha Alyahya, Awal Ashaari, Faizal AF4, Dira Abu Zahar dan ramai lagi, begitu rancak menghiasi jurnal dunia hiburan tahun ini.

Tidak cukup dengan kisah artis baru yang diperakui berpotensi mencatatkan nama dalam arkib kontroversi dunia seni tempatan, artis-artis lebih senior atau lebih dulu makan garam pun tidak kurang hebatnya.

Lihat saja episod bersiri drama kontroversi artis-artis senior seperti Abby Abadi, Azizah Mahzan, Ida Nerina, Waheeda, Awie, Zizie Ezette, AC Mizal, Hans Isaac, Farawahida, Radhi OAG dan ramai lagi untuk 2009. Sememangnya menarik perhatian dan cukup sensasi. Nantikan saja cerita-cerita panas artis atau selebriti senior untuk tahun depan pula.

Persaingan di antara lambakan artis baru dan lama dijangka akan terus menaikkan paras kontroversi dunia seni tanah air pada tahun 2010 nanti. Yang pasti, kes Awal dan Scha yang 'kantoi' di pusat hiburan, gambar 'panas' Azizah Mahzan dan Zaefrul, perkahwinan 'teka-teki' Zizie dan Bung, kes panas Abby-Norman Hakim-Memey, kisah cinta 'lara' Farawahida dan Julfekar, cerita cinta 'suci' Waheeda dan Akhil Hayy tetap utuh bersemayam di takhta kes kontroversi tahun ini.

Lupakan semua cerita panas 2009, kita tunggu dan lihat apa pula yang bakal tercetus pada 2010 ini. Dengar cerita, kolaborasi aktor senior dan aktres muda dalam kes cinta terbaru ini dijangka membuka tirai 2010 dengan catatan kontroversi yang mengujakan.

Justeru, kami dahulukan dengan ucapan keramat, 'Selamat datang kontroversi 2010'...

Pimpinan Baru Seniman Mampu Bawa Perubahan

Setelah tiga penggal Datuk Mustapha Maarof menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Persatuan Seniman (Seniman), kali ini jawatan tersebut dipegang pula oleh pelakon dan pengarah, Harun Salim Bachik.

Harun dipilih sebagai presiden Seniman yang baru bagi penggal ini setelah menang tipis sebanyak 78 undian berbanding Mustapha yang mendapat 74 undian pada pemilihan jawatankuasa baru-baru ini.

Jawatan Timbalan Presiden pula disandang oleh pelakon Shahriza Mahmud setelah Ahmad Idham sendiri melepaskan jawatan itu. Pengarah Yusof Kelana masih kekal sebagai Setiausaha Kehormat manakala pelakon senior, Zulkifli Ismail dilantik sebagai Penolong Setiausaha yang sebelum ini dipegang oleh pelakon Sabree Fadzil. Wafa Tan Sri Abdul Kadir pula dilantik sebagai Bendahari untuk penggal ini menggantikan Abu Bakar Omar.

Sementara itu, barisan AJK Seniman pula terdiri daripada Faizal Hussein, Zed Zaidi, Jehan Miskin, Serina Redzuawan, Rena Tan, Abbas Bakar dan Wazata Mohd Zin. Melihat kepada barisan pimpinan baru Seniman kali ini yang nampak lebih 'muda', mStar merasakan persatuan ini mampu mendapat 'sinar' baru.

Walaupun ada yang sangsi dengan kemampuan Harun sebagai Presiden, tetapi melihat kepada lapan agenda dalam manifesto yang dirangka oleh Harun, tidak salah jika dikatakan pelakon berusia 50 tahun ini mempunyai misi dan visi untuk menaikkan semula nama Seniman.

Antara agenda yang disasarkan oleh Harun ialah penubuhan koperasi, pelaksanaan Skim Insurans Berkelompok dan mewujudkan Skim Pendidikan Anak-Anak yang lebih efektif dan menjadikan Seniman sebagai pusat khidmat untuk ahli-ahli memberikan sebarang pandangan mereka.

Harun sendiri mensasarkan sekurang-kurangnya satu daripada lapan agenda itu dapat dijalankan dengan baik dalam tempoh enam bulan ini.

Enam Resepsi Realisasikan Wedding Of The Year Serina-Gavin

Perkahwinan anak gadis Chef Wan, Serina Redzuawan, 26, dengan jejaka berasal dari London, England, Gavin Edward O’Luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghaffar, 33, akan mendapat gelaran wedding of the year.

Jika diamati, perkahwinan Serina akan mendapat gelaran tersebut memandangkan tiada artis yang berpeluang menandingi enam majlis resepsinya.

Seperti yang dirancang, enam majlis resepsi iaitu majlis merisik, majlis bertunang, majlis berinai kecil, majlis akad nikah, majlis berinai besar dan bersanding akan dilangsungkan sempena perkahwinan pelakon dan pengacara yang bakal menjelang 31 Disember, 1 Januari dan 2 Januari ini.

Satu lagi majlis resepsi akan dilakukan di kampung halaman Serina di Sungai Koyan, Pahang pada hujung Januari depan.

Selain aneka resepsi yang diadakan, majlis Serina akan mendapat liputan dari saluran Asian Food Channel (AFC) selama satu jam untuk mempromosikan Malaysia dan budaya perkahwinan Melayu.

Fenomena Upin & Ipin

Kehadiran animasi Upin dan Ipin sudah lama menjadi fenomena luar biasa di Malaysia, kini siri kartun ini dilihat sudah mula melanda negara jiran seperti Indonesia.

Malah tahun hadapan Upin & Ipin dilihat terus melebarkan sayapnya ke stesen-stesen televisyen di luar negara, mengikut perancangan Les’ Copaque, siri Upin & Ipin akan ditayangkan di luar negara seperti India, Turki, Kuwait dan Perancis.

Malah, di Indonesia siri kartun ini tidak dialih bahasa kepada bahasa Indonesia bagi mengekalkan keasliannya.

Upin & Ipin telah membawa dimensi baru kerana bukan sekadar popular daripada segi kelucuannya malah secara tidak langsung memberi pendedahan yang lebih luas kepada masyarakat luar tentang budaya masyarakat majmuk di Malaysia.

Sukar bagi Malaysia untuk menembusi pasaran luar negara dari bidang nyanyian atau perfileman tetapi mungkin melalui siri animasi ini boleh menjadi medium kepada Malaysia untuk lebih dikenali di mata dunia.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan