10 Artikel Hiburan mStar Paling Popular 2009

Diterbitkan: Rabu, 30 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANJANG tahun 2009 ini, pelbagai kisah suka duka melingkari dunia hiburan tanahair. mStar Online juga tidak ketinggalan cuba menyampaikan kisah-kisah yang berlaku dalam industri ini untuk tatapan pembaca-pembaca.

Berikut adalah sepuluh artikel hiburan yang paling popular di kalangan pembaca mStar sepanjang tahun ini.

1. Jenazah Ustaz Asri Rabbani Selamat Dikebumikan

Pemergian vokalis kumpulan nasyid, Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, ke Rahmatullah pada 13 Ogos lalu ternyata mengejutkan industri hiburan tanahair. Allahyarham pengsan semasa sesi latihan program Syahadah di RTM dan disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Hospital Pantai, Bangsar.

Selain seorang balu, Haliza, 38, arwah turut meninggalkan enam orang anak iaitu Mohd Nasimudin, 15, Mohd Fathi, 14, Nur Atikah, 12, Mohd Ilhan, 10, Sufiyah Munawarah, 6, dan Hamdi Rabbani, 4.

Asri menyertai kumpulan nasyid terkenal itu sejak ia ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai oleh sembilan orang termasuk dirinya. Asri juga pernah menyanyi secara duet dengan beberapa penyanyi terkenal seperti Mawi menerusi lagu Saksi dan Mentari Merah Di Ufuk Timur nyanyian bersama Amy Search.

Pemergian Asri merupakan satu kehilangan besar buat Rabbani memandangkan arwah banyak menyumbangkan kemajuan prestasi sekaligus memberikan kejayaan kepada Rabbani dan industri muzik nasyid

2. Isu Gambar Intim: Kak Zi Macam Kakak, Saya Terlupa Tentang Batasan

Gambar intim antara dua pelakon Spa Q 2, Zaefrul Nordin dan Azizah Mahzan yang tersebar di internet telah menjadi bualan hangat di dalam industri hiburan sekitar Februari lalu. Di dalam artikel tersebut, Zaefrul mengakui kesalahannya bergambar mesra dengan Azizah yang dipanggilnya Kak Zi tanpa batasan.

Menurut Zaefrul, punca belasan keping gambar intimnya dengan Azizah tersebar adalah kerana Azizah meletakkan gambar tersebut di laman web popular, FaceBook. Antara banyak gambar yang disebarkan itu, terdapat sekeping gambar yang menunjukkan botol minuman keras.

Namun Zaefrul menafikan dia mengambil minuman keras pada waktu itu. Pelakon yang popular menerusi filem Hati Malaya itu juga berkata, isterinya Adelina Datuk Ridzuan memahami situasi yang sebenar ekoran tersebarnya gambar-gambar tersebut.

3. Zizie Ezette & Bung Mokhtar Dikatakan Berkahwin, Tapi Bung Nafi

Pertengahan bulan ini, kecoh kisah perkahwinan rahsia antara aktres jelita Zizie Ezette dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin. Artikel bertarikh 17 Disember ini menyiarkan penafian kedua-duanya tentang perkahwinan mereka yang dikatakan sebenarnya telah berlangsung seminggu sebelumnya.

Bukan saja Zizie dan Bung Mokhtar, malah ibu aktres itu Khaty Fauziah juga ketika itu menafikan bahawa anaknya telah berkahwin dengan ahli politik tersebut dan menegaskan mereka baru saja mengenali hati budi masing-masing.

Bung Mokhtar akhirnya membuat pengesahan tentang perkahwinan tersebut beberapa hari selepas itu.

4. 'Drama Sebabak' Radhi-Shazlin Di Luar Mahkamah Syariah

Permohonan Shazlin Shariff untuk mengesahkan lafaz cerai yang dibuat oleh suaminya, Radhi OAG masih lagi belum selesai.

Namun, ketika perbicaraan yang berlangsung pada 27 Julai lalu, 'drama' yang membabitkan pasangan suami isteri ini di luar Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya selama kira-kira 30 minit menjadi perhatian ramai.

Perbalahan antara mereka berlaku apabila Radhi mengatakan Shazlin mahu bercerai dengannya kerana telah meniduri lelaki lain. Radhi juga mengaku dia mempunyai bukti menunjukkan kecurangan isterinya itu. Biarpun begitu, Radhi enggan menceraikan Shazlin.

Shazlin pula pada masa yang sama menafikan tentang hal itu, namun dia memang mengenali seorang lelaki bernama Izat. Shazlin dikatakan mengaku ada hubungan dengan lelaki tersebut semata-mata ingin dirinya diceraikan.

Shazlin yang juga pelakon drama dan bekas anggota kumpulan Girls In Music (GIM) telah melangsungkan perkahwinan dengan Mohd. Radhi pada 1 Januari 2005 setelah 12 tahun berkenalan.

Plaintif memfailkan permohonan untuk mengesahkan lafaz cerai yang didakwa dibuat oleh suaminya pada 15 September tahun lalu. Bagaimanapun pada prosiding 21 April lalu, Shazlin melalui peguamnya memberitahu mahkamah bahawa dia telah diceraikan sekali lagi oleh Mohd. Radhi dengan talak tiga melalui panggilan telefon.

5. Haliza Terkilan Tidak Dapat Peluk Erat Ustaz Asri Pada Saat Akhir

Artikel bertarikh 14 Ogos ini juga turut mendapat perhatian pembaca-pembaca mStar. Isteri kepada Allahyarham Ustaz Asri Rabbani iaitu Haliza Shahadan menceritakan detik-detik terakhir bersama suami tercinta pada malam dan pagi sebelum arwah meninggal dunia.

Haliza akui terkejut dengan pemergian arwah dan amat terkilan kerana tidak dapat memeluk erat arwah pada saat-saat akhirnya.

6. Isu Bermadu: Siti Serah Kepada Kuasa Allah

Gosip liar memang tidak pernah lari daripada hidup penyanyi tersohor ini. Malah, sejak mendirikan rumahtangga dengan suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, semakin hebat khabar angin singgah dalam hidup Datuk Siti Nurhaliza.

Isu dia dikatakan bermadu dengan pelakon seksi, Rozita Che Wan adalah antara artikel yang mendapat jumlah pembaca yang ramai.

Gosip dikatakan bermadu dengan aktres tersebut pernah muncul sebelum itu, namun cerita itu kembali hangat diperkatakan apabila timbul kisah baru yang mengatakan Datuk K memang telah bernikah dengan wanita berstatus janda itu di Alor Star, Kedah pada pertengahan tahun ini.

Namun, Siti terus menafikan tentang perkara tersebut dan menggesa pihak-pihak tertentu untuk berhenti menyebarkan fitnah itu.

7. Isteri Tidak Sangka Gurauan Shukery Hashim Tempah Kubur Satu Petanda

Pelakon Shukery Hashim meninggal dunia pada 10 Jun lalu akibat kanser pankreas yang dialami oleh arwah sejak bulan Mac. Arwah meninggalkan seorang balu, Faridah Mat Desa serta lima orang anak.

Faridah turut menceritakan tentang gurauan Allahyarham yang menempah kubur daripada seorang penjaga kubur di Tanah Perkuburan Islam AU Keramat ketika menziarahi pusara ibunya di situ dan menganggap itu adalah adalah 'petanda' pelakon itu akan pergi buat selama-lamanya.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Shukery sudah menerima tiga anugerah yang diiktiraf sebagai terbaik dalam industri seni di Malaysia iaitu Pelakon Terbaik di Anugerah Sri Angkasa pada 1990; Pelakon Drama TV Terbaik di Anugerah Sri Angkasa (1994) dan Pelakon TV Lelaki Popular 1994 (1995).

Antara drama tempatan yang pernah dibintangi olehnya ialah Di Mana Kasihmu, Kau Yang Satu, Cinta Gila dan 3T manakala antara filem yang dilakonkannya adalah Seri Dewi Malam, dan Shh..Dia Datang.

8. Maizawati Terkilan Ditipu

Gara-gara kontroversi rumahtangganya, bekas isteri Akhil Hayy, Maizawati Zainal terus menjadi selebriti 'segera'. Dia disambar oleh Yayasan Pembangunan Nur Hikmah (YPNH) untuk menjadi duta program BondaMama.

BondaMama merupakan program kerja dari rumah yang diperkenalkan oleh YPNH bagi membantu ibu-ibu tunggal dan wanita-wanita bekerjaya untuk bergantung antara satu sama lain dalam usaha membimbing, mendidik dan memberi kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak.

Namun, dalam artikel bertarikh 12 Jun ini, Maiza hampir menarik diri daripada program tersebut kerana rasa tertipu, tetapi perkara itu telah diselesaikan dengan baik bersama pihak YPNH.

Maiza akhirnya akui, ia sebenarnya hanyalah salah faham tentang kontrak perlantikannya sebagai duta program itu.

9. Takdir Cinta Akhil-Waheeda

Akhil Hayy dan Waheeda adalah antara selebriti yang cukup kontroversi pada tahun 2009 ini. Perkahwinan mereka pada 16 Ogos akhirnya menamatkan spekulasi tentang hubungan mereka selama ini. Hanya dengan sekali lafaz, Akhil atau nama sebenarnya, Akhil Abdul Hayy sah bergelar suami kepada Waheeda.

Kira-kira 200 tetamu yang rata-ratanya terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara serta kenalan rapat kedua-dua belah pihak hadir pada majlis pernikahan mereka di Masjid Ar Rahimah Kuala Kubu Baru.

Mengimbas semula kontroversi yang melanda mereka sejak dua tahun lalu, mereka pada awalnya dikatakan telah berkahwin dan Waheeda menjadi isteri kedua Akhil. Ketika itu, masing-masing menafikan tentang perkara tersebut dan menegaskan mereka hanya berkawan baik.

Namun, kisah itu semakin panas sekitar Mei lalu apabila Maizawati Zainal mengaku tentang pergolakan rumahtangganya dan Akhil. Malah, Waheeda turut dikaitkan sebagai punca tersebut.

10. Wan Chik Redha Beraya Tanpa M.Rajoli

Kisah yang berlaku kepada Wan Chik Daud memang cukup menyedihkan. Tuduhan yang mengatakan dia tamak dan berpura-pura menjaga suaminya, M.Rajoli akhirnya membuatkan hubungan suami isteri itu terpisah.

Dalam artikel tersebut, Wan Chik berkata, walaupun mereka masih lagi bergelar pasangan suami isteri, namun mereka secara zahirnya sudah tidak berhubung antara satu sama lain.

M. Rajoli yang sedang menjalani rawatan akibat menghidap kanser di kelenjar otak atau lymphoma sejak dua tahun lalu, dijaga sepenuhnya oleh isteri pertamanya, Hassimah Mat Din.

Lebih menyedihkan Wan Chik ketika itu ialah kerana dia terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri seorang diri.

iklan

Video

Jumaat, 28 November 2014 12:15 AM

Anak Doakan Nurul Wahab Dapat Bayi Kembar

Khamis, 27 November 2014 2:11 PM

Syabu Dalam Ekzos Bernilai RM4.1 Juta Dirampas

Rabu, 26 November 2014 10:44 PM

Sejauh Mana Anda Tahu (Bahagian 3)

Selasa, 25 November 2014 1:00 PM

Sejauh Mana Anda Tahu? (Bahagian 2)

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan