Seri Bayu Beri Syarat Lepaskan Erema

Diterbitkan: Jumaat, 25 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JANDA atau tidak, sehingga hari ini penyanyi Erema masih lagi menantikan status itu setelah 'digantung tak bertali' sejak setahun lalu.

Namun begitu, bukan mudah dia mencapai keinginannya itu kerana pemilik nama Dayang Zaira Erema Awang Moshdad ini perlu melepasi beberapa syarat yang dikenakan oleh suaminya, penulis lirik Seri Bayu.

Setahun lalu, Seri Bayu, 41, berkata dia enggan melepaskan isterinya atas alasan masih sayangkan wanita berusia 26 tahun itu dan mahu dia ‘pulang ke pangkal jalan’.

Kali ini, mungkin dia sudah berlembut hati untuk melepaskan isteri yang dinikahinya tiga tahun lalu.

“Saya boleh lepaskan dia dengan syarat dia perlu meminta maaf daripada saya kerana dia sudah banyak mengaibkan dan menampar saya,” katanya yang sukar bertutur dengan jelas.

Ini kerana pada 25 November 2008, Seri Bayu mendakwa dia dikasari dan dibiarkan di dalam tandas lebih dua jam oleh Erema.

Sukarkah Erema untuk memohon maaf daripada insan yang sedang menderita penyakit saraf ini?

Jika sudah memohon maaf sekalipun, Seri Bayu atau Jamaludin Sulik berkata, tidak semudah itu untuk dia melepaskan Erema.

Kata Seri Bayu yang tinggal bersama keluarga angkatnya, ‘Selepas memohon maaf, ada syarat lain yang dia perlu lakukan..’.

Tiga hari lalu, kes cerai fasakh yang dituntut oleh Erema terhadap Seri Bayu mula dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Dalam perbicaraan itu, mahkamah ada membenarkan Seri Bayu meminta Maybank cawangan Sungai Besi untuk mengeluarkan penyata bank mulai Januari 2007 sehingga Disember 2008 milik isterinya itu.

Erema didakwa telah memasukkan wang royalti lagu ciptaan Seri Bayu ke dalam akaun miliknya.

Namun begitu, penyanyi lagu Pelita Di bawah Purnama itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia telah memasukkan royalti Seri Bayu yang dianggarkan tidak melebihi RM8,000 itu ke dalam akaun EON Bank milik suaminya.

Perselisihan fakta antara kedua-duanya menimbulkan tanda tanya. Seri Bayu juga berkata di luar mahkamah bahawa kebanyakan jawapan yang diberikan oleh Erema dalam mahkamah adalah tidak benar.

“Sebenarnya royalti yang saya terima sangat banyak dan melebihi daripada RM8,000. Banyak juga duit saya yang masuk dalam akaun Erema,” ujarnya ringkas sambil duduk di atas kerusi rodanya.

Seri Bayu juga menafikan mereka mempunyai dua buah rumah iaitu di Puncak Jaya dan Danau Murni ketika masih tinggal bersama seperti yang didakwa oleh Erema.

Masalah rumah tangga mereka mula timbul apabila Erema dikatakan curang terhadap suaminya dan mahu menghantar suaminya ke rumah kebajikan apabila mereka bercerai nanti.

Namun, Erema menafikan dakwaan itu lantas mengaku inginkan perpisahan kerana sudah tiada kasih sayang kepada suaminya melainkan rasa simpati.

Baru-baru ini, Erema juga memberitahu mahkamah yang dia ingin bercerai kerana suaminya tidak memberikan nafkah zahir dan batin, memberikan tekanan emosi terhadapnya dan tiada persefahaman dengan suaminya lagi sejak 2007.

Hakim Syarie Ghazalie Ahmad memutuskan perbicaraan kes cerai fasakh ini ditangguhkan pada 1 Mac depan di mahkamah yang sama.

Erema memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 pada awal Disember tahun lalu.

Pasangan ini bernikah pada 19 Disember 2006 ketika Seri Bayu menderita penyakit saraf.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan