Chef Wan-Serina Bertegang Leher Pasal Jemputan Kahwin

Diterbitkan: Jumaat, 25 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Chef Wan lebih stres dengan tetamu jemputan yang bakal hadir ke majlis-majlis itu sehingga bertegang leher dengan anak gadis tunggalnya itu.
Chef Wan lebih stres dengan tetamu jemputan yang bakal hadir ke majlis-majlis itu sehingga bertegang leher dengan anak gadis tunggalnya itu.

JIKA anaknya, Serina stres memikirkan enam resepsi perkahwinan yang akan dilakukan pada awal Januari ini, Chef Wan merasai dua kali ganda daripada itu.

Chef selebriti terkenal ini berkata dia lebih stres dengan tetamu jemputan yang bakal hadir ke majlis-majlis itu sehingga bertegang leher dengan anak gadis tunggalnya itu.

“Saya risau pasal tetamu sebab pada saat-saat akhir Serina memberitahu hendak mengajak ramai kawan-kawannya dalam 150 orang.

“Bukan apa, saya dah tetapkan senarai tetamu yang akan datang ke majlis perkahwinan Serina nanti.

“Keluarga dan saudara mara saya sudah ramai…itu belum kira dengan 150 orang kawan saya dari luar negara dan beberapa tetamu VIP.

“Setakat ini tetamu VIP yang akan datang adalah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi,” kata Chef Wan ketika sesi fitting baju untuk dipakai semasa majlis persandingan Serina dan bakal menantunya, Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghaffar.

Sehubungan itu, Chef Wan berkata dia akan membuat satu majlis keraian mempelai di Sungai Koyan, Pahang bagi meraikan orang kampung yang tidak dapat hadir ke majlis di Kuala Lumpur pada hujung Januari nanti.

“Saya akan membuat sebuah majlis resepsi secara besar-besaran untuk orang-orang kampung dan sesiapa yang tidak dijemput dalam majlis di Kuala Lumpur,” ujar pelakon dan pengacara ini.

Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail berkata dia mengambil masa selama tiga bulan untuk membuat persiapan lima resepsi penting di Kuala Lumpur iaitu majlis merisik, bertunang, berinai kecil, akad nikah, berinai besar dan persandingan pada 31 Disember, 1 Januari dan 2 Januari ini.

“Saya stres juga apabila fikirkan tentang persiapan perkahwinan Serina seperti hiasan, makanan dan banyak lagi.

“Semuanya tak boleh dibuat cincai dan perlu memenuhi tujuh darah keturunan yang diwarisi oleh keluarga kedua-dua belah pihak,” katanya yang berdarah Jawa, Cina dan Jepun sementara bekas isterinya, Norhayati berketurunan Pakistan.

Sementara bakal menantunya yang merupakan Pengarah Eksekutif Football Focus Sdn Bhd itu berketurunan Irish dari England.

Ditanya mengenai jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan oleh Chef Selebriti Terbaik Dunia di World Gourmand Cookbook and Media Awards 2009 ini, dia bagaimanapun tidak mahu menghebahnya.

“Saya banyak juga mengeluarkan wang tapi alhamdulillah, saya mendapat diskaun daripada kawan-kawan untuk menghasilkan majlis yang sederhana ini.

“Bukan senang untuk mendapatkan pereka-pereka pakaian dan pelamin yang berbakat besar,” kata lelaki berusia 52 tahun ini.

Chef Wan juga berkata, dia tidak akan membiarkan majlis Serina sewenang-wenangnya mewah dengan tajaan.

Walaupun begitu, dia ada menerima tajaan dari Euromoda untuk baju Melayu dan baju kebaya bagi majlis pertunangan, nikah dan persandingan; barang kemas Habib Jewels untuk digayakan oleh Serina sepanjang resepsi-resepsi itu termasuk Lord’s Tailor (sut Gavin, Chef Wan dan Chef Riz yang dipakai semasa majlis persandingan).

“Sebab itu saya menolak apabila pereka Jovian Mandagie hendak sponsor baju pengantin berjumlah setengah juta ringgit.

“Saya juga menolak hak eksklusif daripada stesen televisyen seperti Astro yang berminat untuk menyiarkan majlis perkahwinan Serina.

“Tetapi rancangan Wanita Hari Ini akan menyiarkan secara langsung untuk majlis pernikahan dari Masjid Wilayah Persekutuan,” ujarnya yang bercakap dengan pantas seperti keretapi ekspres.

Ramai yang menjangkakan majlis perkahwinan Serina dan Gavin bakal dinobatkan sebagai wedding of the year.

Namun, bapa kepada Chef Nazri ini juga tidak pernah memikirkan tentang gelaran itu asalkan majlis itu dilangsungkan dengan jayanya.

“Saya hanya buat yang terbaik untuk anak saya dan keluarga saya yang besar. Jadi saya tidak tahu sama ada majlis perkahwinan Serina ini akan menjadi wedding of the year atau tidak,” ulasnya.

Serina dan Gavin akan bernikah pada 1 Januari ini di Masjid Wilayah Persekutuan dengan mas kahwin RM1,000.

Pihak perempuan akan menerima tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran sebanyak RM30,000 manakala pihak lelaki akan dibalas dengan sembilan dulang hantaran.

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan