Ida Nerina Nafi Sha’arin Pernah Lafaz Cerai

Diterbitkan: Selasa, 22 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelakon Ida Nerina Hussain, 45, melalui peguamnya menafikan Sha’arin Mohd Razali, 40, pernah melafazkan cerai terhadapnya pada September lalu seperti yang didakwa suaminya itu.

Peguam syarie Akhbardin Abdul Kadir yang mewakili Ida hari ini berkata anak guamnya itu tidak bersetuju dengan permohonan pengesahan cerai yang difailkan oleh Sha’arin di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini.

“Saya ingin mengesahkan yang pihak plaintif (Sha’arin) telah menyerahkan saman kepada defendan (Ida) tetapi hari ini defendan tidak dapat hadir kerana berada di India untuk menjalani rawatan kesihatan.

“Defendan akan datang ke mahkamah pada Januari depan untuk sebutan kes ini dan akan memasukkan pembelaan kerana tidak bersetuju dengan permohonan itu disebabkan lafaz cerai tidak berlaku di luar mahkamah,” kata Akhbardin ketika prosiding kes itu dalam dewan mahkamah.

Sha’arin juga tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana berada di luar negeri dan diwakili oleh peguam syarie Mahyuddin Md Zahari.

Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin memutuskan sebutan semula kes ini ditangguh pada 22 Januari depan, pukul 9 pagi, di mahkamah yang sama sebelum perbicaraan pengesahan lafaz cerai di bawah Seksyen 55A Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.

Kedua-dua peguam syarie memaklumkan yang anak guam masing-masing akan hadir pada prosiding kes selepas ini.

Difahamkan, jika Ida tidak hadir ke mahkamah selepas ini, mahkamah akan mendengar dan memutuskan perbicaraan kes ini tanpa kehadirannya di bawah Seksyen 121 (1)(b) Akta Tatacara Mal Wilayah Persekutuan 1998.

Pada 23 November lalu, Sha’arin atau lebih dikenali sebagai Shahrin Blackrose juga memaklumkan kepada mahkamah yang dia telah tidak tinggal sebumbung dengan Ida sejak lebih dua bulan lalu.

Pada Hari Raya Puasa kedua lalu, suami Ida didakwa telah melafazkan cerai terhadap pelakon filem ‘Susuk’ dan ‘Anak’ itu.

Episod penceraian itu dilaporkan berlaku akibat pergaduhan yang tidak berkesudahan dan berlanjutan sehingga suami Ida tidak mampu mengawal amarahnya sehingga melafazkan cerai terhadapnya.

Dimaklumkan, selepas Shahrin melafazkan cerai terhadap Ida, beliau telah keluar meninggalkan rumah Ida. Pada 9 Oktober lalu, Sha'arin telah mengisi borang pengesahan lafaz cerai di mahkamah itu.

Pada 21 Jun lalu, Ida Nerina yang juga bekas tenaga pengajar Akademi Fantasia musim ke-7 ini telah menjalani rawatan membetulkan tulang belakangnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas terjatuh di rumahnya.

Kemalangan itu berlaku ketika menaiki tangga di ruang tamu dalam rumahnya yang terletak di Persiaran Syed Putra, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 3 pagi.

Sebelum ini, pengurus peribadinya, Fizaruddin Harun atau Fizar menafikan khabar angin yang mengatakan aktres itu dipukul sehingga menyebabkan dia terjatuh.

Fizar juga mendakwa Ida tidak mungkin terjatuh disebabkan hilang pertimbangan kerana 'mabuk' memandangkan aktres itu baru pulang dari umrah.

Katanya, Ida tergelincir lalu terjatuh apabila sedang menaiki tangga dengan tergesa-gesa.

Fizar juga turut menafikan yang Ida mungkin lumpuh akibat kecederaan tulang belakang yang dialaminya selepas insiden itu kerana sehingga kini doktor belum mengeluarkan laporan itu.

Ida, aktres kelahiran Middlesex, England, dan Shahrin telah berkahwin pada 2 Jun 2006. Ini merupakan perkahwinan kedua bagi pasangan ini.

Pasangan ini tidak mempunyai anak manakala Shahrin mempunyai dua orang anak iaitu Narissa, 14, dan Arman, 8, hasil perkahwinan pertamanya.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan