Astro Siarkan Secara Langsung Konsert Bagaikan Sakti M.Nasir & Datuk Siti Nurhaliza

Diterbitkan: Sabtu, 19 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEMPENA membuka tirai tahun 2010, Astro akan membawakan siaran langsung konsert gabungan bersejarah dua individu tersohor dunia seni iaitu Konsert Bagaikan Sakti M. Nasir & Datuk Siti Nurhaliza dari Esplanade, Singapura secara eksklusifnya menerusi Astro Box Office Events (saluran 955).

Peminat penyanyi tersohor, M Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza berpeluang untuk menonton Konsert Bagaikan Sakti M. Nasir & Dato’ Siti Nurhaliza secara langsung pada 1 Januari 2010, jam 8 malam. Pelanggan Astro boleh melanggan Astro Box Office Events (saluran 955) untuk menyaksikan konsert ini hanya dengan harga RM10.00.

Siaran ulangan konsert berkenaan pula akan bermula pada 2 hingga 10 Januari 2009 di saluran yang sama.

“Sebagai memenuhi janji kami kepada para pelanggan untuk terus membariskan program-program siaran Astro yang bermutu tinggi dan mempunyai pengisian yang padat, kami berbesar hati membawakan Konsert Bagaikan Sakti M. Nasir & Datuk Siti Nurhaliza yang menggabungkan dua nama besar iaitu M. Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza secara langsung dari Espanade, Singapura.

"Kehebatan dua ikon seni, M. Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Pencapaian dan kejayaan mereka dalam mengharumkan nama negara serta mengangkat martabat industri seni hiburan ke peringkat yang lebih tinggi adalah sesuatu yang amat membanggakan.

"Oleh itu, kami percaya konsert ini mampu membekaskan impak yang mendalam serta dapat memberikan pengalaman menonton yang mempersonakan.

"Tiket Konsert Bagaikan Sakti M. Nasir & Datuk Siti Nurhaliza yang diadakan di Singapura ini telah habis dijual dalam masa seminggu sahaja dan kami faham yang tidak semua peminat berpeluang untuk menyaksikan konsert hebat gabungan dua gergasi seni negara ini berikutan faktor lokasi dan kapasiti tempat yang terhad serta harga tiket yang agak mahal.

"Sehubungan dengan itu, kami di Astro ingin memberi peluang kepada orang ramai untuk turut sama menyaksikan konsert gabungan paling bersejarah dan menakjubkan ini terus di kaca televisyen dengan hanya RM10 sahaja.

"Kami percaya dengan harga serendah ini dan kelebihan untuk menikmati konsert bertaraf dunia di kediaman sendiri pada waktu yang fleksibel adalah suatu pengalaman menonton yang amat sempurna. Inilah tawaran istimewa buat para pelanggan Astro yang tidak pernah jemu memberikan sokongan kepada kami," ujar Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Encik Khairul Anwar Salleh.

Tambah Khairul lagi, "Kami juga berharap dengan adanya paparan konsert ini menerusi pakej Astro Box Office Events (saluran 955), ia dapat memberi kesempatan kepada para peminat yang tidak berpeluang untuk menyaksikan pesona dua jiwa dan dua suara ini beraksi secara langsung di atas pentas merasai sendiri pengalaman menonton seolah-olah turut berada di Esplanade, Singapura."

Pengaktifan melalui SMS akan mengambil masa 24 jam. Tempoh untuk melanggan akan dibuka bermula 22 Disember 2009 dan akan ditutup pada 10 Januari 2010.

Konsert Bagaikan Sakti M. Nasir & Datuk Siti Nurhaliza bakal menyaksikan gabungan hebat M.Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza mengalunkan lagu-lagu hebat mereka serta lagu-lagu klasik yang pernah didendangkan oleh seniman terkemuka sepanjang zaman seperti P. Ramlee, Saloma dan Sudirman sepanjang persembahan dua jam tanpa henti.

Konsert istimewa ini juga bakal memperlihatkan dua pengarah muzik terkemuka yang akan bekerjasama mengemudikan konsert ini di atas pentas iaitu M. Nasir di bawah pimpinan Aznan Alias dan Datuk Siti Nurhaliza di bawah pimpinan Aubrey Suwito serta diiringi oleh 30 orang pemuzik di bawah pimpinan mereka.

iklan

iklan

Iklan