Diana Danielle Cipta Lagu Sendiri Untuk Album Sulung

Diterbitkan: Khamis, 17 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KETIKA dia menyuarakan hasrat untuk merakamkan album, ada yang memandang sinis cita-citanya itu dengan beranggapan pelakon berusia 18 tahun ini hanya sekadar ingin mencuri 'tumpuan' yang lebih walaupun bakat nyanyian tidak sehebat mana.

Tidak tersinggung dengan pandangan negatif sesetengah pihak, Diana Danielle mengambil semua kritikan itu sebagai pembakar semangat untuk dirinya membuktikan kepada khalayak bahawa dia sememangnya bersungguh-sungguh untuk menceburi bidang nyanyian.

Lagu berjudul Radio, nyanyian Imran Ajmain yang turut menampilkan Diana dan Nabil Raja Lawak di dalamnya ternyata berjaya mendapat sambutan yang hebat.

Malah, vokal Diana menerusi lagu duetnya bersama Mawi, Penyembuh Rindu yang merupakan lagu runut untuk filem lakonannya bersama penyanyi tersohor itu iaitu Magika juga mendapat pujian ramai.

Mungkin tidak sehebat penyanyi-penyanyi lain, namun itu sudah cukup menjadi bukti awal bahawa gadis kelahiran Houston, Texas ini bukan sekadar 'main-main' untuk menjadi seorang penyanyi.

Terbaru, kata Diana, dia baru saja selesai merakamkan dua buah lagu yang bakal dimuatkan di dalam album mininya tidak lama lagi. Menariknya ujar Diana, salah sebuah lagu itu merupakan hasil nukilan dan ciptaannya sendiri, berjudul Kau Tak Pernah Ada.

"Sebenarnya, saya menulis lagu ini secara kebetulan saja. Kawan saya ada meluahkan isi hati tentang kekasihnya . Saya asyik teringat tentang kisahnya dan akhirnya saya curahkan dalam bentuk lirik lagu.

"Dengan bantuan pembantu peribadi saya yang juga merupakan seorang penulis skrip, Naim, saya cuba hasilkan melodi lagu ini. Tapi sudah tentu saya turut dibantu oleh orang lain dari segi susunan muzik.

"Apapun, saya bertuah kerana ada Naim memandangkan dia juga memang boleh mencipta lagu. Sebuah lagu lagi iaitu berjudul Terburu adalah ciptaan sepenuhnya oleh Naim sendiri," kata Diana yang kini sibuk menjalani penggambaran filem ‘... Dalam Botol’ yang diarahkan oleh Khir Rahman dan diterbitkan oleh Raja Azmi.

Menurut penuntut University of Nottingham di Semenyih, Kajang dalam bidang biosains ini, dia pada awalnya tidak tahu Naim berkebolehan menghasilkan lagu yang menarik.

"Ketika kami berada di sebuah lokasi penggambaran, dia datang membawa gitar dan mainkan sebuah lagu. Dari situ saya dengar lagu yang dimainkan itu menarik dan terus saya katakan padanya untuk cuba hasilkan lagu untuk saya.

"Buat masa ini, saya masih ingin mencari tiga buah lagu. Rasanya, saya ingin dapatkan khidmat beberapa komposer muda yang berbakat besar di negara ini. Dulu memang saya ada terfikir untuk gunakan juga khidmat komposer dari Indonesia, tapi rasanya biarlah saya bekerjasama dengan komposer tempatan dulu.

"Lagipun dengan jadual saya yang sibuk dengan pengajian dan lakonan, agak sukar untuk saya berulang-alik ke Indonesia jika saya tetap ingin berbuat demikian.

"Jika tiada masalah, mungkin album mini ini dapat disiapkan pada pertengahan tahun depan," kata Diana yang menguruskan sendiri pembikinan albumnya itu dan akan mencari pengedar yang sesuai kelak untuk memasarkan album tersebut.

Ditanya sama ada dia yakin dengan percaturannya menghasilkan album, dalam nada ceria Diana berkata, dia menyerahkan kepada masyarakat untuk menilai sendiri kemampuannya.

"Saya percaya dengan apa yang saya lakukan. Sesiapa saja bebas untuk menilai, lagipun saya memang sudah selalu pun dikritik. Jadi, saya tiada masalah andai kata ada pihak yang akan mengkritik," katanya.

Ditanya pula tentang pembahagian masanya antara lakonan, pelajaran dan proses pembikinan album sulungnya itu, kata Diana, setakat ini dia masih mampu untuk menguruskan jadual dengan baik yang turut dibantu oleh ibunya.

"Memang saya akui jadual harian saya cukup padat. Biarpun saya masih terima tawaran berlakon, tetapi saya tetap letak keutamaan pada pelajaran.

"Proses penghasilan album pula tidak mengganggu sangat jadual harian saya kerana ia adalah sampingan saja dan tidak memakan masa yang panjang," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan