Pementasan Teater Di Istana Budaya Lepasi Sasaran Penonton

Diterbitkan: Jumaat, 11 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pementasan teater tempatan seperti Puteri Gunung Ledang (PGL) The Musical, P.Ramlee The Musical dan Natrah mendapat sambutan luar biasa sehingga membolehkan Istana Budaya memperoleh 145,357 penonton iaitu melepasi sasaran 110,000 orang.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata sejak Istana Budaya memulakan operasinya pada 1999, jumlah kehadiran penonton dan jumlah jualan tiket hanya akan meningkat apabila melibatkan persembahan teater antarabangsa.

"Tanggapan dan persepsi masyarakat terhadap persembahan luar negara nampaknya begitu tinggi. Oleh itu, persembahan seperti Cats, Chang and Eng, Saturday Night Fever, Fame, Stomp, The Sound of Music dan beberapa lagi produksi dari luar negara telah mendapat sambutan luar biasa berbanding produksi dalam negara.

"Namun pementasan PGL The Musical, P.Ramlee The Musical dan Natrah telah memperlihatkan perubahan sikap khalayak Malaysia yang telah mula memberikan sambutan luar biasa kepada pementasan tempatan yang dapat dilihat dari tiket yang habis dijual sebelum pementasan bermula," katanya dalam ucapan perasmian pelancaran program Istana Budaya tahun 2010 di sini, semalam.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalannya Senator Heng Seai Kie.

Rais berkata teater Natrah yang ditayangkan sejak 30 November lepas dan telah berakhir kelmarin, bagaimanapun dilanjutkan tempohnya selama empat hari lagi setelah mendapat sambutan yang luar biasa dan mencatatkan rekod pencapaian tertinggi sepanjang 10 tahun Istana Budaya beroperasi.

Selain itu, beliau berkata teater "Mana Setangginya" yang dipentaskan tahun ini, karya Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan, juga mendapat sambutan yang memberangsangkan.

"Ini sebagai petanda bahawa khalayak Malaysia boleh menerima pelbagai bentuk karya pentas yang dihidangkan sama ada berbentuk muzikal, teater kanak-kanak, mahu pun teater serius yang menuntut pemikiran yang mendalam.

"Selain itu, dengan pelancaran produksi bagi musim 2010, saya berharap agar semua pihak khususnya kepada pihak media, memberikan liputan meluas mengenai program yang bakal dilaksanakan di Istana Budaya. Liputan yang meluas dengan keberkesanan penyampaian, sudah pasti akan mengundang lebih ramai khalayak untuk hadir ke Istana Budaya untuk menikmati pelbagai bentuk persembahan teater, muzik dan tari yang bakal dipersembahkan nanti," katanya.

Rais berkata bagi tahun 2010, Istana Budaya menetapkan sasaran pencapaian peningkatan jumlah kedatangan penonton sebanyak 20 peratus.

Selain itu, beliau berkata bagi menjaga nama baik dan kredibiliti Istana Budaya, mana-mana syarikat yang ingin membuat persembahan di situ akan dikenakan deposit sebanyak 10 peratus.

"Apabila mereka bersetuju untuk membuat persembahan, maka mereka harus membayar deposit sebagai satu ikatan supaya mereka tidak dengan mudah sahaja menarik diri apabila gagal mendapat penajaan untuk persembahan yang dirancang," katanya.

Rais juga berkata Istana Budaya sedang merancang untuk membeli hakcipta beberapa karya dari luar negara yang dikenalpasti boleh memberi pulangan kewangan serta mendapat sambutan dari penonton untuk dipentaskan di Istana Budaya.

Pembelian hakcipta, katanya, adalah penting bagi menjadikan Istana Budaya sebagai pusat persembahan yang memiliki karya yang bertaraf dunia.

Dalam pada itu, beliau juga mengesyorkan supaya pihak swasta bekerjasama dengan Istana Budaya dalam pelbagai aspek demi pembangunan aktiviti seni dan budaya.

Mengenai program Istana Budaya pada 2010, sebanyak 25 program telah disusun antaranya, Makyung Anak Raja Dua Serupa, Konsert Irama Malaysia bersama Okestra Tradisional Malaysia (OTM), Konsert Satu Suara bersama Okestra Simfoni Malaysia (OSK), Worldstar Road to Hollywood, Salam Serumpun, Arirang Korean Week, West Side Story, Estet the Musical, Cuci the Musical, teater Uda dan Dara dan muzikal Budak Kampung.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Heng berkata teater Natrah pernah menjadi idea Rais, lima tahun lepas ketika menyandang jawatan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (Kekwa).

"Ternyata idea Yang Berhormat Menteri berjaya direalisasikan dan terbukti idea beliau mendapat sambutan yang hangat," katanya.

Mengenai pembelian hakcipta karya dari luar negara, beliau berkata ia juga bertujuan untuk membolehkan penggiat seni di negara ini mempelajari kemahiran yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu karya selain dilihat mampu meningkatkan mutu persembahan.

Heng juga berkata di bawah bajet 2010, Istana Budaya diperuntukkan sebanyak RM22 juta.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu Ketua Pengarah Istana Budaya Mohamed Juhari Shaarani. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan