'Che Det', 'Satu Suara' & 'Cuci' Antara Tarikan Program IB 2010

Diterbitkan: Jumaat, 11 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Timbalan Menteri KPKK Senator Heng Sai Kee (kiri) dan Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani (kanan) ketika melancarkan program Istana Budaya untuk tahun 2010. -foto The Star oleh BRIAN MOH
Timbalan Menteri KPKK Senator Heng Sai Kee (kiri) dan Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani (kanan) ketika melancarkan program Istana Budaya untuk tahun 2010. -foto The Star oleh BRIAN MOH

TARIKAN persembahan muzikal termasuk konsert dan teater muzikal seperti P. Ramlee The Musical, Puteri Gunung Ledang, Cuci dan Impak Maksima umpamanya, cukup memberi impak kepada pentas Istana Budaya (IB). Acap kali persembahan dalam kategori ini dipentaskan di IB, sambutan yang diberikan oleh peminat seni kreatif ini pasti memberangsangkan.

Atas keyakinan itu, untuk tahun 2010 Istana Budaya sekali lagi bakal menyajikan program berbentuk muzikal yang lebih baik dan dijangka mampu untuk menarik lebih ramai penonton ke panggung ini.

Sedikit berbeza untuk tahun 2010, persembahan muzikal yang bakal mengisi kalender tahun depan, bagaimanapun, bukan sahaja berpaksikan elemen muzikal dan hiburan semata, malah pengisian program muzikal yang bakal dipentaskan turut menekankan konsep gagasan 1 Malaysia bersempena dengan kempen yang diinsipirasikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak sendiri.

Menurut Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani, 25 program yang akan dipentaskan di IB tahun depan bukan sahaja merangkumi elemen hiburan, malah kelainan yang akan ditampilkan kali ini ialah penerapan mesej gagasan 1 Malaysia yang memperkasakan keharmonian dan penyatuan masyarakat majmuk di Malaysia.

"Untuk tahun 2010 ini, IB ingin tampilkan sedikit kelainan pada aspek pengisian program yang dipentaskan. Beberapa persembahan muzikal sama ada konsert mahu pun teater bakal diterapkan dengan mesej gagasan 1 Malaysia.

"Walaupun, program-program ini berbentuk hiburan, namun kita ingin menekankan dan mempromosi konsep 1 Malaysia kepada penonton yang menonton program-program 2010 nanti.

"Selain untuk hiburan dan apresiasi seni kreatif, kita melihat pengisian konsep 1 Malaysia di dalam program-program ini sebagai satu platform terbaik buat golongan penonton terutamanya anak muda untuk lebih memahami konsep ini," kata Juhari.

Melihatkan senarai program-program pementasan tahun 2010, 'Konsert Satu Suara Bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan' antara yang paling menyerlah.

Mana tidaknya, konsert yang bakal menyatukan penyanyi muda Aizat dan Faizal Tahir di pentas IB itu bukan sahaja istimewa, malah julung kali berlaku.

Lebih menarik, konsert yang mempromosikan gagasan 1 Malaysia kepada golongan muda itu turut menyaksikan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza bertindak selaku penerbit menerusi syarikatnya, Siti Nurhaliza Production (SNP).

Konsert yang menampilkan gabungan rock dan orkestra pimpinan pengarah muzik, Jennifer Thompson itu bakal dipentaskan pada 12 hingga 14 Februari depan.

Selain 'Konsert Satu Suara', dua konsert istimewa yang memberi pengiktirafan kepada dua bintang seni suara tanah air, Amy dan Dato' Shake juga dilihat bakal menjanjikan sesuatu buat pencinta muzik tempatan.

Dengan iringan Orkestra Simfoni Kebangsaan, Amy bakal ke pentas IB menerusi 'Konsert Satu Masa' pada 26 hingga 28 Mac 2010.

Sementara itu, Dato' Shake yang popular menerusi lagu 'Anugerah Dari Kegagalan' dan 'Lina' bakal membuat persembahan di dalam konsert istimewa bersempena ulang tahun ke-60 dan penglibatan selama 30 tahunnya di dalam industri muzik menerusi sebuah konsert istimewa, 'Konsert Dato' Shake' pada 4 hingga 6 Jun 2010.

Bercerita lanjut, Juhari berkata, program tahun 2010 juga bakal diserikan dengan sebuah pementasan teater muzikal yang didedikasikan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Teater yang diberi judul sementara 'Muzikal Che Det' itu bakal dipentaskan pada 24 September hingga 2 Oktober bersempena dengan tema ulangtahun kemerdekaan Malaysia untuk tahun 2010.

Pementasan itu bakal menyoroti liku-liku perjalanan dan kisah suka dan duka Dr Mahathir sebagai pemimpin yang amat disegani sepanjang pemerintahannya.

Turut mengujakan, pementasan muzikal 'Cuci The Musical' (CTM) dan 'Impak Maksima The Musical' (IMTM) bakal beraksi sekali lagi ekoran sambutan baik terhadap kedua-dua produksi itu.

Tambah Juhari, selain daripada faktor sambutan, kedua-dua teater muzikal ini diberi peluang sekali lagi atas dasar ingin memberi peluang kepada penerbit untuk mendapat keuntungan pada margin yang lebih besar.

Seperti yang diketahui umum, kos yang dibelanjakan oleh produksi teater muzikal untuk props, set dan pelakon adalah besar. Kebiasaannya, produksi teater muzikal ini tidak mendapat pulangan yang baik menerusi pementasan musim pertama mereka.

Namun, atas dasar minat mendalam, produksi-produksi ini sanggup mengenepikan soal keuntungan demi kepuasan dan memeriahkan industri teater tempatan.

Melihatkan komitmen produksi seperti 'CTM' dan 'IMTM' ini, pihak IB memutuskan untuk memberi peluang kepada mereka beraksi sekali lagi dengan harapan mereka dapat memperoleh keuntungan lebih besar, selain dapat menggunapakai semula props dan set yang telah pun disediakan bagi menjayakan pementasan di musim pertama.

"'CTM' dan 'IMTM' diberi peluang untuk beraksi sekali lagi kerana dua faktor. Pertama, kedua-dua pementasan ini mendapat sambutan yang baik daripada penonton pada musim pertama pementasannya. Kedua, kita (IB) ingin memberi pulangan yang lebih besar kepada produksi terlibat melalui pementasan musim kedua.

"Kita sedar kos yang dibelanjakan oleh produksi adalah sangat tinggi. Jadi, diharapkan dengan pementasan kali ini mampu memberi keuntungan lebih baik kepada mereka. Malah, mereka telah berhabis jutaan ringgit untuk set, props dan pelakon pada musim pertama dan tidak untung banyak mana pun.

"Namun, demi komitmen kepada seni kreatif ini, mereka telah mempersembahkan yang terbaik. Jadi, kita beri peluang ini sekali lagi kerana kita yakin mereka mampu menarik lebih ramai penonton ke IB pada tahun depan," jelasnya.

'CTM' terbitan produksi Tall Order Productions kepunyaan aktor Hans Isaac bakal dipentaskan pada 27 Julai hingga 10 Ogos, manakala 'IMTM' karya pengarah Ahmad Idham dijangka mengisi slot hujung tahun IB bermula 25 November hingga 6 Disember 2010.

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan