Ezany Terpaksa Bersilat Dalam Air

Diterbitkan: Khamis, 3 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ezany berkecimpung dalam bidang lakonan selama enam tahun
Ezany berkecimpung dalam bidang lakonan selama enam tahun

PELAKON Ezany sanggup mengambil kelas silat semata-mata kerana watak Zaman yang dilakonkannya dalam drama ‘Cucu Betong’ memerlukannya untuk bersilat.

“Saya terpaksa bersilat dalam air di bawah panas matahari terik semasa penggambaran.

“Lokasinya pula terletak di kawasan air terjun di Ulu Yam. Tempatnya memang licin dan saya pernah cedera ringan kerana tergelincir semasa berlatih,” jelas Ezany semasa ditemu bual dalam majlis ramah mesra ‘Cucu Betong’ di Sri Pentas kelmarin.

Ezany, yang sudah terlibat dalam dunia lakonan selama enam tahun ini, hanya memakai baju ala ‘bikers’ dan seluar jean lusuh pada majlis ramah mesra itu.

Kata Ezany, walaupun dia pernah mengikuti kelas silat lincah semasa masih menuntut di sekolah menengah, beliau menjalani latihan di Sri Kembangan untuk memantapkan lagi kemahiran silatnya.

Adegan seni pertahankan diri ini juga merupakan salah satu daripada cabaran yang perlu dihadapi oleh Ezany semasa penggambaran ‘Cucu Betong.’

“Saya perlu ada stamina yang tinggi kerana aksi silat dalam air memerlukan dua kali lebih tenaga.

“Selain itu, semasa berlakon, saya bagaikan memukul orang lain, tetapi sebenarnya memukul angin. Itu juga memerlukan tenaga yang banyak kerana saya perlu melakonkan semula setiap babak beberapa kali,” tambah pelakon itu.

Satu lagi cabaran bila Ezany terpaksa bertapa di bawah panas matahari.

Drama bersiri ‘Cucu Betong’ yang diterbitkan oleh J.S Pictures ini akan ke udara dalam slot Lagenda TV3 mulai 8 Disember ini, pada setiap hari Isnin hingga Khamis bermula pukul 4.30 petang.

Sementara itu, Ezany yang gemar bermotorsikal ini juga merupakan ahli kumpulan kelab motosikal, ‘Piller Bikers’. Beliau memiliki sebuah motorsikal jenis AP Rilia.

“Saya telah lama menyertai kumpulan ini iaitu sejak tahun 1997 lagi.

“Walaupun kini saya banyak menggunakan kereta, saya masih suka menunggang motorsikal pada waktu lapang.

“Malah saya balik ke kampung pada Hari Raya Haji lalu dengan motorsikal. Tetapi saya terkandas di pertengahan jalan kerana hujan,” kata pelakon itu sambil tersenyum.

Pelakon yang banyak membawa watak hero baik dalam drama-drama tempatan kini sibuk dengan penggambaran ‘Menantu Vs Mertua.’

Tetapi Ezany sempat juga membawa watak jahat dalam drama ‘Legesi 43.’

“Saya membawa watak yang talam dua muka, iaitu watak jahat yang berlakon macam baik.

“Drama bersiri itu baru habis ditayangkan dalam slot Samarinda di TV3,” akhiri Ezany.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan