Heliza Dalam Dilema Antara Dua 'Cinta'?

Diterbitkan: Rabu, 2 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEJAK kecil lagi, artis berusia 23 tahun ini tidak gentar untuk mencuba apa saja. Meskipun tidak berminat terhadap sesuatu perkara, namun kerana sifat ingin mencuba yang menebal dalam dirinya, Nur Heliza Helmi atau mesra dengan panggilan Heliza ini akan tetap melakukannya dengan sebaik mungkin.

Begitu juga dengan bidang seni yang baru diceburinya kira-kira dua tahun lalu. Tutur anak kelahiran Kuala Terengganu ini, dia langsung tidak pernah menyimpan hasrat untuk bergelar penyanyi mahupun pelakon.

Namun, ternyata percubaannya di dalam program Akademi Fantasia musim kelima berjaya membawa Heliza berada di tempatnya kini. Walaupun gagal meraih gelaran juara, anak kedua daripada empat beradik ini tetap mempunyai 'tuah' sendiri.

Siapa sangka ketika kemunculan begitu ramai muka-muka baru dalam industri ini, Heliza mampu merebut peluang untuk muncul di layar perak menerusi filem Syurga Cinta dan melayakkannya muncul sebagai finalis bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Harapan Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) yang berlangsung Ogos lalu.

Ketepikan seketika tentang bidang seninya kerana Heliza juga mempunyai potensi bergelar pendidik yang disegani.

Setelah tamat menjalani praktikal sebagai guru pelatih di Sekolah Menengah Perempuan Likas, Kota Kinabalu, Sabah selama tiga bulan, penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Biologi dan Kimia di Universiti Malaysia Sabah ini akui semakin jatuh 'cinta' dengan bidang pendidikan.

Malah, disebabkan itu, Heliza akui dia sendiri tidak pasti karier yang mana perlu diberikan keutamaan apatah lagi kedua-dua bidang tersebut memang cukup 'dekat' dihatinya ketika ini.

Apapun, menyedari kedua-dua bidang itu sama penting dalam dirinya, Heliza nekad untuk cuba melakukan yang terbaik di dalam kedua-duanya selagi termampu.

"Memanglah kalau diikutkan, industri seni sentiasa melahirkan ramai artis-artis baru dari semasa ke semasa. Tambahan pula, saya adalah artis yang 'biasa-biasa' saja.

"Tetapi, saya tidak pula rasa disebabkan itu, saya perlu 'lepaskan' bidang seni dan memberikan tumpuan dalam bidang pendidikan saja. Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu karier apa yang saya ingin letakkan keutamaan.

"Cuma saya tidak nafikan, sejak menjadi guru pelatih baru-baru ini, pengalaman yang saya kutip itu memang menyeronokkan, lebih-lebih lagi bila melihat pelajar-pelajar saya mendapat keputusan peperiksaan yang bagus.

"Mungkin apa yang akan saya lakukan adalah cuba menyeimbangkan kedua-dua bidang sebaik mungkin. Saya tetap ingin terus berada dalam industri seni dan pada masa yang sama, saya menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana," kata Heliza yang tinggal satu semester lagi untuk menghabiskan pengajiannya.

Menurutnya yang kini sedang bercuti sebelum memulakan semester pengajian baru akhir Disember depan, dia bagaimanapun tidak kesal andai kata perlu memberikan tumpuan pada bidang pendidikan saja selepas ini jika tidak mampu mempertahankan karier seninya.

"Benda itu semua sukar kita ramalkan. Kalau saya ditakdirkan tidak lama di dalam industri hiburan, saya tidak kisah untuk menceburi bidang perguruan saja kerana sekurang-kurangnya saya sudah mencuba pelbagai cabang seni iaitu nyanyian, lakonan dan pengacaraan.

"Tetapi, buat masa ini, saya akan terus dengan dua bidang ini. Saya juga sedang di dalam perancangan untuk hasilkan single baru. Begitu juga dengan lakonan, ada beberapa tawaran yang saya dapat ketika saya sibuk belajar dan jalani praktikal tempoh hari.

"Disebabkan jadual yang padat ketika itu, saya terpaksa melupakan hasrat untuk berlakon lagi. Insya-allah, lepas saya tamat pengajian sekitar Mei tahun depan, saya ingin 'all-out' dengan aktiviti seni," kata Heliza dalam nada ceria.

Dalam pada itu, ditanya tentang perkembangan lain, Heliza berkata, dia akan terbabit di dalam sebuah program percutian anjuran Al-Mukminin Travel iaitu 'Bercuti Ke Beijing bersama Heliza' pada 5 hingga 9 Jun depan.

Program tersebut bukan saja terbuka kepada peminat-peminat Heliza, malah mereka yang ingin melawat ke Beijing, China pada kadar pakej yang murah juga boleh menyertai program tersebut.

"Apa yang saya dimaklumkan, pakej ini terhad untuk sekitar 40 orang saja dan harga pakej yang ditawarkan adalah RM1900 termasuk penginapan, tiket penerbangan dan makanan. Jadi, mereka yang berminat bolehlah menghubungi agensi tersebut secepat mungkin.

"Sepatutnya, percutian ini dibuat pada bulan depan, tetapi disebabkan faktor-faktor tertentu, ia ditunda ke bulan Jun tahun depan," kata Heliza yang akan ke Brunei pada Jumaat ini untuk memenuhi undangan persembahan di sana.

Bagi yang berminat untuk menyertai program percutian 'Bercuti Ke Beijing bersama Heliza', sila hubungi talian 0122931522 (Huda).

iklan

Video

Rabu, 26 Julai 2017 3:46 PM

Saya Bukan Artis Murahan! - Elvina

Selasa, 25 Julai 2017 3:00 PM

Aaron Abdul Iras Sudirman?

Selasa, 25 Julai 2017 12:00 PM

Eyka Farhana Diusik Minta Nombor Telefon

Selasa, 25 Julai 2017 9:00 AM

Tauke Jambu Tak Sabar Naik Pelamin

Isnin, 24 Julai 2017 12:03 PM

Lantaklah! Ahya Memang Suka Tayang Badan

Isnin, 24 Julai 2017 9:00 AM

#BiziBody: Risteena Dah Nak Kahwin?

Jumaat, 21 Julai 2017 3:00 PM

Nadzmi Adhwa Bolot Semua 'Job'

Kolumnis

iklan

Iklan