Rosyam Minat Buat Drama Tentang Wanita Tua Berkahwin Lelaki Muda

Diterbitkan: Selasa, 1 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Rosyam berkata dia tidak kisah seandainya drama terbitan Suhan tidak tercalon dalam mana-mana pertandingan kerana anugerah bukanlah suatu perkara penting untuk menilai drama-dramanya. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Rosyam berkata dia tidak kisah seandainya drama terbitan Suhan tidak tercalon dalam mana-mana pertandingan kerana anugerah bukanlah suatu perkara penting untuk menilai drama-dramanya. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT

DRAMA mahupun telefilem di kaca televisyen sekarang semakin banyak menyiarkan cerita berkisarkan wanita tua berkahwin dengan lelaki muda.

Cerita sebegitu bagaikan suatu ‘trend’ semasa sejajar dengan fenomena wanita sekarang yang lebih terbuka memilih lelaki muda sebagai pasangan hidup.

Namun Produser Rosyam Nor, 42, menafikan dakwaan itu setelah menggunakan latar cerita wanita tua berkahwin dengan lelaki muda dalam dua buah drama terbaru terbitan syarikatnya, Suhan Movies & Trading Sdn Bhd iaitu ‘Sanggar Cinta Raudhah’ dan ‘R & R’.

‘Sanggar Cinta Raudhah’ memaparkan kisah perkahwinan seorang lelaki muda berusia 27 tahun, Izwan (Zizan Nin) dengan wanita berusia 40-an, Raudhah (Aida Razwill).

Izwan terpaksa berkahwin dengan Raudhah selepas mereka ditangkap basah dalam serbuan pegawai pencegah maksiat di pejabat pada lewat malam.

“Cerita lelaki muda berkahwin dengan wanita muda bukan suatu perkara baru tetapi sudah lama wujud.

“Saya memilih latar cerita seperti ini kerana mahu menonjolkan kebijaksanaan Raudhah (dalam Sanggar Cinta Raudhah) melakukan persediaan untuk ke Hari Akhirat kerana dia membenarkan lelakinya berkahwin dengan perempuan lain untuk mendapatkan payung emas.

“Saya rasa cerita seperti ini bukan ‘trend’ tetapi mula kecoh apabila ramai kalangan artis wanita berkahwin dengan lelaki muda.

“Saya yakin cerita seperti ini mampu menarik minat penonton remaja dan surirumah,” beritahunya ketika di temui di majlis pratonton kedua-dua drama itu di Finas semalam.

‘R & R’ pula merupakan sebuah drama komedi berkisar tentang kehidupan para peniaga gerai, para pekerja penyelenggaraan dan tetamu yang singgah di salah satu kawasan Rehat dan Rawat (R & R) di Lebuhraya Utara-Selatan.

Drama 26 episod ‘R & R’ lakonan Nik Sayyidah Fatiha (Mek), Ku Fridah Ku Shafie, Syanie, Syed Aiman, Didie Alias, Mahmud Ali Bashah, Amyza Aznan dan Acong akan disiarkan mulai 12 Disember ini, setiap Sabtu pukul 8.30 malam di TV2.

Sementara drama 40 episod ‘Sanggar Cinta Raudhah’ lakonan Aida Radzwill, Zizan Nin, Azhan Rani, Watie Sadali, Farah Alya, Liza Othman dan Kapt (B) Mohd Nor akan disiarkan mulai 3 Disember ini, setiap Khamis, pukul 8.30 malam di saluran TV yang sama.

Dengan lebih 100 buah drama dan telefilem yang diterbitkan oleh Suhan, Rosyam yakin penonton bukan sahaja akan mengenali ‘produk’ terbitannya yang berkisar tentang cerita psiko dan ‘drama’ air mata malah tahun 2009 juga adalah permulaan genre seram dan komedi pula.

Rosyam berkata dia tidak kisah seandainya drama terbitan Suhan tidak tercalon dalam mana-mana pertandingan kerana anugerah bukanlah suatu perkara penting untuk menilai drama-dramanya.

“Saya tak kisah tentang anugerah asalkan ‘rating’ tinggi kerana jika tiada penonton yang tengok tak guna juga saya buat drama.

“Sebagai penerbit yang profesional, saya nak drama saya mendapat tempat di hati penonton.

“Tidak kiralah sama ada saya berlakon atau tidak dalam drama itu,” katanya yang setakat ini tidak pasti sama ada drama ‘Ku Milikmu’ dan ‘Gelora Di Hati dicalonkan dalam Anugerah Skrin 2009 pada 4 Disember ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Tambah bapa kepada lima orang anak ini, dia sentiasa meletakkan tahap yang sederhana dalam setiap drama yang dihasilkan oleh syarikat produksinya seperti pelakon, bajet, dan jalan ceritanya. Ini kerana ‘saya tidak mahu menghasilkan drama yang terlalu hebat tetapi saya tekankan disiplin, kejujuran, skrip dan pasukan produksi yang baik.’

“Misalnya, saya akan ambil penulis skrip dan pengarah yang sudah ‘establish’.

“Sekarang saya juga rasa lega apabila orang sudah mula kenal Suhan dan sekarang saya perlu memikirkan idea yang menarik untuk mengekalkan nama Suhan.

“Buat masa ini sudah tujuh tahun berturut-turut drama Suhan disiarkan di TV3 semasa menjelang Hari Raya. Insya-Allah, pihak Astro pun sudah ‘booking’ drama dengan saya untuk Hari Raya tahun depan.

“Cerita itu adalah ‘love story’ dan saya akan berlakon watak seorang cacat,” ceritanya yang sedikit sebanyak akan menyumbangkan idea dalam drama dan telefilem terbitan Suhan dan lebih selesa menggunakan khidmat novelis Sharifah Abu Salem sebagai penulis skripnya.

Rosyam juga sudah merancang untuk menerbitkan sebuah lagi drama, ‘Trilogi Cinta’, adaptasi daripada tiga buah novel popular Sharifah Abu Salem iaitu ‘Tak Seindah Mimpi’, ‘Tak Semanis Impian’ dan ‘Tiada Lagi Mimpi’.

“Insya-Allah, saya akan berlakon dalam drama itu di samping Diana Rafar atau Umi Nazeera yang memegang watak heroin,” ujarnya yang telah 70 peratus pulih selepas menjalani pembedahan bahu kirinya pada Julai lalu.

Diana Rafar pernah berlakon dalam drama ‘Nenek Kebaya’ manakala Umi Nazeera pula menerusi drama ‘Takdir Yang Terindah 1 dan 2’ di mana ketiga-tiganya diterbitkan oleh Suhan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan