Lan Ingin Hentikan ‘Propaganda’ Dengan MUH

Diterbitkan: Khamis, 26 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

“Saya tiada masalah dengan MUH kerana ikutkan industri ini tak besar mana pun.
“Saya tiada masalah dengan MUH kerana ikutkan industri ini tak besar mana pun." -Lan.

SUDAH lama kemelut yang berlaku antara bekas vokalis band Meet Uncle Hussain (MUH), Lan dengan anggota lain band itu.

MUH kini dianggotai oleh Taja, Afat dan Babab.

Sebelum ini, banyak masalah dalaman yang didakwa berlaku sehingga Lan atau nama sebenarnya Norazlan Roslee akhirnya nekad keluar dari band popular dengan ‘Lagu Untukmu’ itu dan kini dia bebas bergerak dalam bandnya sendiri, Azlan & The Typewriter.

Biarpun masing-masing telah membawa haluan tersendiri, isu lain pula yang timbul apabila Lan dikatakan enggan berbincang mengenai pencalonan lagu ‘Pari-Pari Di Bawah Angin’ ke peringkat separuh akhir 'Muzik-Muzik'.

Namun, MUH akhirnya membuat keputusan untuk menarik diri dan persembahan pada minggu kedua separuh akhir program itu pada 13 November lalu telah diganti oleh kumpulan Grey Sky Morning menerusi lagu ‘Cinta Gila’.

Walaupun isu tarik diri dari 'Muzik-Muzik' memberikan kesan yang negatif kepada hubungan Lan dan MUH, namun penyanyi bersuara serak dan nyaring ini enggan 'mengambil pusing' tentang apa yang telah berlaku sebaliknya nekad untuk menghentikan ‘propaganda’ ini.

Seperti MUH, Lan juga tidak kisah untuk berkongsi pentas dengan bekas anggota kumpulannya itu di konsert 'Hypptunes Rock The World 9' yang akan berlangsung di Sunway Lagoon pada 19 Disember ini.

“Saya tiada masalah dengan mereka (MUH) kerana ikutkan industri ini tak besar mana pun.

“Nak buruk-burukkan mereka pun tak guna juga sebab Tuhan itu Maha Kaya.

“Sejauh mana kita larikan diri, nanti bertemu juga. Lagipun, semuanya bergantung kepada rezeki masing-masing,” katanya ketika ditemui di majlis ulang tahun kedua Suria FM pada Selasa lalu.

Sebelum ini Lan sukar dihubungi. Apabila meminta penjelasannya, dia memberikan alasan telefon rosak dan sebelum itu baru menukar nombor telefon yang baru.

Lan juga berkata dia tidak sempat untuk berhubung dengan MUH antara satu sama lain disebabkan sibuk dengan komitmen masing-masing.

Penyanyi berusia 27 tahun ini juga sempat menjelaskan tentang punca sebenar MUH terpaksa menarik diri daripada 'Muzik-Muzik separuh akhir' sebelum ini.

“Saya bukannya enggan bekerjasama dengan MUH tetapi mereka yang tak pernah panggil saya untuk berbincang.

“Saya rasa punca sebenarnya adalah hadiah kerana agak leceh untuk membahagikan hadiah jika menang.

“Biarlah apa yang mereka ingin katakan tetapi sebelum ini saya fikir tidak mahu membidas kata-kata mereka dan saya rasa tak perlu ‘fight’ pun.

“Saya pun dah ada band yang baru iaitu Azlan & The Typewriter. Kesimpulannya saya tak kisah walaupun lagu itu tidak dapat bertanding untuk ke 'Anugerah Juara Lagu (AJL)' nanti kerana saya akan ‘involve’ dalam AJL juga bagi menyanyikan ‘Lagu Untukmu’ secara duet dengan Datuk Siti Nurhaliza.

“TV3 yang memilih saya dan Siti sebagai penyanyi undangan untuk berduet lagu itu,” ujarnya.

Lan akui agak teruja untuk mendendangkan ‘Lagu Untukmu’ buat pertama kalinya dengan Siti di AJL 24 pada 10 Januari depan di Stadium Putra Bukit Jalil.

“Sebelum ini, saya pernah jumpa dia sekejap-sekejap sahaja dalam beberapa persembahan dan saya akui dia seorang yang sangat merendah diri.

“Setakat ini kami belum berjumpa dan berlatih menyanyikan lagu itu bersama-sama Mungkin kami akan tetapkan tarikh untuk berjumpa nanti sebelum AJL,” luah Lan sambil tersenyum.

Dalam perkembangan lain, Lan turut sibuk menghadiri persembahan dan merakam lagu terbarunya selepas menerbitkan lagu terbaru Azlan & The Typewriter, ‘Kelibat Sang Penyair’ yang kini sedang diputarkan di stesen radio tempatan termasuk berada di carta nombor satu di sebuah stesen radio selama tujuh minggu berturut-turut.

Azlan & The Typewriter akan tampil dengan album ‘Peta Minda’ mulai hujung tahun atau awal tahun depan.

Antara lagu-lagu yang dimuatkan dalam album itu adalah single pertama, ‘Kelibat Si Penyair’, ‘Jiwa’ dan ‘Lipstik, Plastik, Kosmetik’ yang digubah oleh Lan dan produser Lake.

Sementara itu, Lan yang kini menjadi tunangan Normala Hassan, berasal dari Tampoi, Johor sejak 10 Julai lalu berkata mereka dijangka akan mendirikan rumah tangga dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Insya-Allah, kami mungkin akan bernikah tahun depan tapi belum ada tarikh lagi. Pada mulanya kami merancang hendak berkahwin awal tahun depan tetapi masa tidak sesuai.

“Selepas kali kedua kami merancang pada bulan Mac pun sama juga, tidak menjadi. Akhirnya kami tidak mahu merancang dahulu kerana saya sibuk dengan kerja dan akan pilih tarikh yang sesuai nanti,” tuturnya lagi.

Setakat ini, Lan berkata hasil perbincangan kedua belah pihak, dia akan memberikan wang hantaran sebanyak RM11,111.11 kepada pengantin perempuan bersama tiga dulang hantaran manakala pihak perempuan akan membalas lima dulang hantaran.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan