Kakak Tua: 'Jalang' Dulu Dan 'Jalang' Sekarang!

Diterbitkan: Jumaat, 20 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

AGAK rimas juga bila terbaca tajuk filem 'Jalang', yang dilancarkan baru-baru ini. Filem yang membawa tajuk sensasi itu akan menemui peminat filem Melayu pada 26 November.

Terus Kakak Tua teringat sekitar tahun 1993 bila pengarah U-Wei Hj Saari menggunakan tajuk yang hampir sama, 'Perempuan, Isteri Dan Jalang'.

Disebabkan kontroversi nama 'jalang' itu, filem itu terpaksa ditukar tajuknya kepada 'Perempuan, Isteri Dan ...'.

Kekecohan yang disebabkan oleh perkataan 'jalang' itu sendiri menyebabkan beberapa pihak melenting kerana nama itu cukup sensitif dan tidak boleh digunakan.

Agaknya sebab terlalu berat nama 'jalang' itu, tak terbawa filem yang membariskan nama-nama handalan seperti Nasir Bilal Khan, Sofia Jane dan Zaidi Omar.

Di kala itu, 'jalang' masih tidak dapat diterima ramai hinggakan pihak penerbit terpaksa berkompromi meletakkan '.......' di tempat 'jalang.' Dan filem itu pun terus mendapat publisiti meluas kerana beberapa sebab.

Salah satu kerana tajuk yang sensitif itu. Kedua, disebabkan adegan 'nasi kangkang' itu dan aksi Sofia Jane berkemban.

Tak sangka pula, selepas enam tahun larangan menggunakan perkataan 'jalang', akhirnya ia dibenarkan.

Selain ceritanya tetap berkisar tentang perempuan 'jalang' atau wanita berakhlak rosak, filem 'Jalang' 2009 tetap mengekalkan adegan berkemban dengan jalan cerita yang lain.

Kata pengarahnya, bukan kerana ingin tonjolkan elemen sensasi, cuma untuk membantu jalan cerita?

Kalau watak 'jalang' dulu dibawa oleh aktres jelita Sofia Jane, yang baru pula dibintangi oleh Yasmin Khaniff.

Kakak Tua 'kagum' dengan keyakinan pendatang baru Yasmin yang membawa watak Maria walaupun ada yang komen, lakonannya kaku.

Kesanggupan Yasmin berkemban dalam adegan 'mandi bunga' memang berani. Dan seni berkemban yang ditonjolkan oleh Yasmin dan Sofia juga agak berbeza.

Maria (watak Yasmin) berkemban kerana 'mandi bunga' hendak buang segala malang sedangkan watak Zaleha (lakonan Sofia Jane) berkemban kerana hendak beri suaminya yang garang makan 'nasi kangkang.'

Tapi dua-dua versi pun Kakak Tua rasa ngeri kerana visualnya terlalu hebat dan tak manis. Cuma yang dimusykilkan apabila filem 'Jalang' pembikinan tahun 2009 diklasifikasikan sebagai 18PL, tidakkah ianya akan membuat budak-budak di bawah 18 lebih teruja hendak tahu apakah isi filem ini. Tambah menarik apabila diberitahu tidak ada sebarang potongan untuk filem ini.

Sekali air bah, sekali pantai berubah, begitulah resamnya dengan undang-undang ciptaan manusia. Kalau dulu diharamkan, hari ini dibenarkan. Apa yang pernah dikira sensitif satu masa dulu, tiba-tiba saja sudah tidak jadi sensitif lagi. Seolah, interpretasi perkataan 'jalang' itu sudah banyak susut nilainya.

Keterbukaan pihak-pihak tertentu menerima hakikat ini adalah satu peningkatan dari segi pemahaman. Perkataan 'jalang' itu sebenarnya tidak ada salahnya. Hanya konotasinya saja yang negatif tetapi maksudnya tetap sama sampai bila-bila. Jadi kalau hendak diharamkan perkataan itu kerana maksudnya yang negatif, memanglah tidak wajar.

Kakak Tua teringat sepotong ayat dari pujanggan William Shakespeare..."A rose is still a rose by any other name" (bunga ros itu tetap sama walau apa pun nama yang diberikan). Dan intan itu biar keluar dari mulut anjing sekalipun, namanya tetap intan juga.

Begitulah dengan 'jalang' yang diilhamkan oleh Nazir Jamaluddin atau U-Wei Hj Saari, ianya tetap berkisah akan wanita yang perangai tidak molek. Kalau pun nama 'jalang' itu disembunyikan sekalipun, maknanya tetap sama. Kalau dah jalang, jalang lah. Lebih teruk, bila si jalang itu malang....

KAKAK TUA: Tidak suka perkataan 'jalang' kerana bunyinya begitu kasar.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan