Mawi Terbitkan Program Fesyen Untuk Ekin?

Diterbitkan: Khamis, 19 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mawi dan isterinya, Ekin pada majlis pelancaran MW Entertainment dan program Langkah Mawi World baru-baru ini - foto MSTAR ONLINE
Mawi dan isterinya, Ekin pada majlis pelancaran MW Entertainment dan program Langkah Mawi World baru-baru ini - foto MSTAR ONLINE

SETELAH lebih empat tahun dirinya menapak di dalam industri hiburan, Asmawi Ani atau Mawi akhirnya berjaya mengumpulkan kekuatan untuk meluaskan empayarnya dan kali ini tampil sebagai penerbit pula selepas sukses dengan karier sebagai penyanyi dan baru-baru ini semakin ligat sebagai pelakon.

Menerusi syarikatnya MW Entertainment Sdn Bhd yang mula beroperasi sejak dua tahun lalu, Mawi mengorak langkah dengan percubaan sulungnya sebagai penerbit menerusi drama istimewa sempena Hari Raya Aidilfitri lalu iaitu Bini Baru, Rumah Baru, Baru Raya yang telah disiarkan di Astro Prima dan turut dibintangi oleh dirinya dan isteri tercinta, Ekin.

Dan terbaru, MW Entertainment tampil dengan rancangan bercorak 'travelogue' iaitu Langkah Mawi World musim yang sebelum ini diterbitkan oleh Astro. Program 13 episod itu bakal ditayangkan di Astro Ria bermula 25 November ini pada pukul 7 malam.

"Rasanya sudah tiba masa untuk saya bergerak aktif dengan MW Entertainment yang sebelum ini mengambil masa secara berperingkat untuk dijalankan kerana kita turut melalui beberapa pengubahsuaian dan sebagainya.

"Alhamdulillah, syarikat ini berjaya juga hasilkan 'bayi sulung' iaitu drama sempena Hari Raya lalu dan sekarang ini akan diteruskan pula dengan Langkah Mawi World.

"Sejujurnya, saya memang sudah bersedia untuk bergelar penerbit. Dengan keadaan industri muzik tempatan yang semakin merudum ini, saya rasa inilah masanya untuk saya cuba aspek yang lain pula," kata Mawi yang ditemui pada majlis pelancaran syarikatnya itu dan program Langkah Mawi World di Palace of the Golden Horses, baru-baru ini.

Ia dilancarkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.

Menurut selebriti berusia 28 tahun ini, MW Entertainment bukan saja akan terbabit di dalam produksi, tetapi juga pengurusan acara, perhubungan awam dan pengurusan artis.

Setakat ini, kata Mawi yang bertindak selaku Pengarah Urusan MW Entertainment, syarikatnya mempunyai tujuh orang pekerja. Ekin bagaimanapun berkata, dia tidak terlibat di dalam perjalanan syarikat tersebut.

Mengulas lanjut tentang projek keduanya iaitu Langkah Mawi World musim baru ini, ujar Mawi, kali ini dia akan membawa penonton ke tiga buah destinasi iaitu di Melbourne, Sri Lanka dan Hong Kong.

Berbeza dengan musim pertama dulu, Langkah Mawi World yang diarahkan oleh Rahila Ali ini akan turut menampilkan Ekin di dalam segmen-segmen tertentu.

"Orang pun dah tahu saya sudah berkahwin dengan Ekin. Malah, dalam setiap episod, kita selitkan elemen 'bulan madu' yang merupakan kelainan pada musim ini.

"Ekin banyak membantu saya, terutamanya kalau saya terlupa sebarang informasi. Dia juga turut sama membuat kajian tentang destinasi yang kami lawati

"Apapun, saya memang selesa bekerja dengannya," kata Mawi yang menambah, penggambaran untuk program itu berlangsung selama lebih kurang sebulan dan berakhir baru-baru ini.

Ditanya tentang perasaannya setelah berjaya bergelar penerbit kini, kata Mawi, dia sememangnya puas kerana dapat melihat hasil usahanya sendiri.

"Saya akui, memang seronok dapat terbitkan program sendiri...lebih puas hati," katanya ringkas sambil menambah, program-program terbitannya kelak tidak hanya terhad untuk siaran di Astro sahaja.

Bercerita tentang perancangannya bersama MW Entertainment, kata Mawi, dia mempunyai beberapa projek untuk dibuat dan antaranya ialah sebuah telefilem berjudul Jiwa Kacau arahan Rahila Ali dan sebuah drama bersiri 13 episod tentang adik-beradik kembar.

"Jiwa Kacau akan memulakan penggambaran di Ipoh tidak lama lagi dan projek drama bersiri tentang pasangan kembar itu akan dibuat di Korea.

"Insya-allah, saya akan ke Korea pada bulan hadapan untuk melihat lokasi-lokasi yang bersesuaian di sana. Tajuk drama ini belum ditetapkan lagi tetapi mungkin saya akan membuat 'cameo' di dalamnya," tutur Mawi.

Juara Akademi Fantasia musim ketiga ini bagaimanapun menafikan bahawa Ekin dan kembarnya, Aein akan membintangi drama ini.

"Tidaklah. Kita akan cari pelakon lain, mungkin pelakon itu membawakan dua watak," katanya yang turut meletakkan sasaran untuk menerbitkan filem dalam masa lima tahun lagi

Ditanya tidakkah dia berminat untuk menerbitkan sebuah program untuk dihoskan oleh isterinya sendiri, sambil tersenyum Mawi menjawab:

"Itu memang idea yang menarik. Mungkin kalau saya buat pun, ia berkisarkan tentang program fesyen kerana minatnya cenderung kepada aspek itu.

"Lagipun, sebelum ini Ekin juga pernah menjadi hos untuk satu segmen fesyen di sebuah program tidak lama dulu."

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan