Sehati Berdansa 3: Sazzy, Dira Jelas Isu Berbalah Tentang Undian

Diterbitkan: Rabu, 18 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Sazzy dan suaminya Nazril. -Foto THE STAR oleh KEVIN TAN
Sazzy dan suaminya Nazril. -Foto THE STAR oleh KEVIN TAN

BARU-BARU ini, kecoh mengenai dua peserta Sehati Berdansa musim ketiga iaitu Sazzy Falak dan Dira Abu Zahar yang berbalah tentang kedudukan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) mereka.

Difahamkan, Dira dan pasangannya Ash selalu mendapat markah undian SMS daripada penonton yang tertinggi berbanding Sazzy dan pasangannya Nazril.

Pergaduhan itu semakin panas apabila peminat antara kedua-dua pasangan ini saling mengutuk antara satu sama lain di salah satu laman web.

Namun berlainan pula jawapan yang didengar daripada mulut kedua-dua pelakon ini.

Sazzy mahupun Dira yang nampak mesra antara satu sama lain berkata luahan yang dipamerkan dalam FaceBook dan blog masing-masing tiada kena-mengena dengan program itu mahupun menuduh antara mereka.

Jelas Sazzy, dia tidak pernah berdendam dengan sesiapa di dalam program itu melainkan menganggap semua peserta ibarat satu keluarga.

"Saya nak ‘fair game’, jadi kenapa korang (peminat) nak gaduh. Kami ‘ok’. Undian tinggi atau tidak, inilah program realiti.

"Saya nasihatkan peminat jangan terlalu stres dan lebih ‘have fun’. Saya rasa sedih bila ada orang reka ‘drama’ seperti ini," ulas Sazzy.

Dalam masa yang sama, Sazzy berharap kes ini dihentikan kerana dia enggan melihat peminat-peminatnya dan peminat-peminat Dira bergaduh di luar sana.

Bagi Sazzy, bukan mudah untuk berada di atas. Setiap minggu, dia dan Nazril selalu mendapat markah tertinggi daripada juri sehingga sudah dua kali mencapai 100 peratus. Tetapi minggu lalu, mereka merupakan antara pasangan yang mendapat undian SMS terendah.

"Apabila mendapat markah tinggi daripada juri, kami kena lebih bagus dari minggu lepas. Kami selalu memberikan 100 peratus komitmen setiap masa untuk meraih markah 50 peratus dari juri dan 50 peratus dari undian SMS penonton.

"Kami juga menerima dengan hati terbuka apabila berada di zon bahaya. Tetapi agak terkejut juga apabila pasangan Isma dan Zul juga berada di zon bahaya kerana mereka bagus," tambahnya lagi.

Sementara itu, Dira berkata dia langsung tidak menjangkakan dia berjaya meraih undian SMS penonton yang tinggi.

"Saya tahu dari minggu pertama lagi orang pelik dengan kedudukan saya dan suami. Tetapi saya hanya buat kerja saya dan cuba meraih rezeki dengan ikhlas.

"Antara semua peserta, masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri. Kami semua membuat untuk amal kebajikan dan saya rasa tidak seronok juga apabila mendengar kutukan daripada orang lain.

"Saya tak pernah memusuhi orang lain dan tidak mahu jatuhkan sesiapa," jelas Dira.

Sama seperti Sazzy, pelakon drama ‘Tower 13’ ini juga mengaku dia dan suaminya, Ash sentiasa berusaha untuk melakukan persembahan yang menarik.

"Apabila undian tinggi, harapan orang ramai juga sangat tinggi. Setiap minggu, kami akan melakukan yang termampu. Kadangkala, saya dan suami ‘bergaduh’ untuk ingat ‘step’ tarian,” ujarnya.

Dira juga berharap isu ini akan dihentikan dan tidak mahu semua orang stres kerana bergaduh.

"Bagi saya tak salah kalau semua orang saling menyokong antara kami tetapi jangan kutuk sesiapa," luahnya yang mesra berada antara Sazzy dan Ash. Sementara di sebelah kanan Sazzy adalah suaminya, Nazril.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan