Aditya: Memuji Biar Bertempat, Mengeji Jangan Sekali-kali

Diterbitkan: Selasa, 17 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pendatang baru Yasmin Khanif, yang diperkenalkan dalam filem
Pendatang baru Yasmin Khanif, yang diperkenalkan dalam filem "Jalang". -Foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN SENIN

ENTAH apa yang bermain di fikiran karyawan dan pembiaya filem serta drama kita hari ini. Fikiran yang entah-entah itu boleh disifatkan antara yang penyebab industri hiburan menjadi antah-antah.

Entah apa yang dimahukan sebenarnya di lapangan seni ini selain duit dan laba sehingga menjual maruah industri.

Makin ramai yang tidak jujur berkarya biarpun sering kita dengar perkataan memartabatkan dunia seni. Terasa loya tekak disogok dengan kata-kata hanyir sebegitu.

Ada sekadar hobi, terlebih duit membuat filem sesuka hati yang boleh dicop sebagai pencemar industri keseluruhan. Malangnya industri hiburan tidak bersempadan, sesiapa saja boleh menceroboh asalkan ada tiket ‘pengaruh’ dan berduit.

Cukup-cukuplah kita ditipu melalui beberapa filem Melayu yang sering memperbodohkan penonton. Merugikan masa dan wang (untuk tiket wayang, parking dan minyak).

Bila ada yang bercakap seperti Aditya susunkan di sini, mereka marah kerana tidak menyokong filem tempatan walaupun sepanjang durasi menonton itu kebanyakannya terpaksa menahan resah dan gangguan mental.

Maaf kerana pembuka kata minggu ini agak emosi yang berdetik sedikit geram. Moga diredakan kegeraman itu, bimbang dihujani kebencian.

Pun begitu, geram berbangkit dek penipuan yang semakin selesa dilaksanakan itu telah menular kepada penghantar mesej yang dipertanggungjawabkan mengirim maklumat yang sepatutnya lebih tepat kepada khalayak yang lebih luas. Aditya terasa kerana mereka juga seperti Aditya, menulis untuk berkongsi.

Mereka semakin selesa dalam pembohongan yang sebenarnya pada perkiraan Aditya (mungkin salah) telah, sedang dan akan membunuh industri seni Malaysia secara senyap-senyap.

Mereka berbohong menulis haruman kasturi walaupun sebenarnya mereka berdepan dengan najis mughalazzah. Semuanya atas dasar menjaga hati dan persahabatan. Aditya tidak menafikan sebagai orang Islam, kita perlu menjaga aib orang lain tetapi ada sempadannya.

Laporan yang berbau harum kasturi inilah selalunya karyawan seni dan pembiaya kewangan semakin selesa serta bebas berulang alik ke wilayah industri seni.

“Ah…. Buat drama atau filem macam tahi pun, wartawan tetap menulis yang baik-baik sahaja. Bagi sahaja seratus dua, ajak makan angin ke London atau Bali, diamlah tu.” Mahukah wartawan hiburan dipermainkan begini?

Tidak sedapnya kerana penulis hiburan yang baru keluar kepompong kolej dan universiti bagaikan menjadi fenomena ini kebiasaan. Tidak berani untuk berkata yang benar, bimbang diri mereka diugut (dengarnya memang ada pihak yang mengugut).

Bagaimanapun laporan yang berbau harum kasturi itu selalunya memperbodohkan diri sendiri dan meletakkan harga diri jauh ke bawah.

Bayangkan dalam satu situasi, dewan yang hanya mampu menampung kapasiti 5,000 tempat duduk, itupun suku daripadanya digunakan untuk pentas artis.

Sedangkan laporan media sepakat mengatakan 10,000 yang hadir menyaksikan konsert tersebut dan dalam masa yang sama dipaparkan gambar audiens yang sedang menyaksikan konsert berlatarkan banyak kerusi kosong tanpa penghuni. Ironik bukan?

Masih ingat lagi pertelagahan mengenai angka jualan kutipan tiket filem Jin Notti dan Momok The Movie? Juga bermain angka yang dibanyak-banyakkan sebagai ‘akulah yang besar’.

Aditya melihat gelagat begini sebagai satu insiden yang memalukan dan hanya kerana angka itu, kita sesama sendiri di dalam industri yang seluas kangkang mawas ini, bertelagah. Come on!

Tidak kurang wakil media yang diundang menyaksikan filem Jalang baru-baru ini yang keesokannya menerima ‘salam takzim’ daripada pihak berkaitan yang berbunyi:

‘Salam terima kasih kerana sudi meluangkan masa menonton filem Jalang semalam. Saya berharap agar pihak tuan dapat membantu filem ini dan mohon sangat agar artikel yang akan dikeluarkan positif walaupun mungkin sekiranya terdapat kekurangan di mata tuan.’

Salam takzim ini biasanya sebahagian daripada 'PR exercise' dari mereka yang berkaitan tadi. Sedangkan dalam masa yang sama, Aditya banyak mendengar rungutan tentang filem yang memunculkan lakonan pertama Yasmin Khanif. Rungutan semuanya negatif tetapi apa yang dibaca Aditya di dalam laporan dan ulasan wakil media tadi, semuanya harum kasturi.

Sememangnya kita harus melihat permata biarpun dipenuhi lumpur najis. Bagaimanapun kalau permata itupun kabur, haruskah kita membohongi masyarakat yang akan menjadi penonton sebenarnya dengan laporan-laporan serta ulasan sebegitu?

Inilah yang cuba Aditya katakan di sini, kalau dibiarkan, ia akan menjadi budaya seperti mana membuang bayi atau bersekedudukan di kalangan umat Islam hari ini yang Aditya kira sudah menjadi sebahagian daripada budaya baru dalam masyarakat kita.

Maaf kalau artikel ini disifatkan mengeji tetapi tidak pernah terlintas untuk mengheret pembaca MStar Online ke arah itu.

Niatnya satu, dengan harapan dapat menyedarkan tanggungjawab masing-masing seperti juga tanggungjawab yang diberikan kepada Aditya untuk kolum ini. Aditya bukan maksum, banyak kesilapan sepanjang menghirup udara Allah ini tetapi kesempatan yang diberi, sebaik mungkin kita kongsikan.

Mungkin juga ada ketikanya Aditya skeptikal tetapi itulah yang dapat disimpulkan melalui pengamatan mata ini selama berada di dalam industri (kecil dan sederhana) ini.

Malas nak mengulas tentang yang layak atau tidak menyertai industri tetapi cukuplah Aditya fokuskan kepada anak seni sendiri yang lebih banyak berbohong daripada bercakap benar. Menafikan yang benar bagi mereka adalah yang terbaik daripada membiarkan masalah yang dihadapi mereka bertambah serabut.

Jelasnya juga, anak seni kita terlalu ramai yang suka dipuji biarpun mereka sendiri tahu kelemahan yang ada. Kenyang dek pujian sehingga menjadikan mereka manusia riak dan mendabik dada. Jangan sesekali mengkritik kerana itu akan melemahkan semangat mereka.

Pujilah setinggi langit kononnya mereka bagaikan bintang kejora, suara bagaikan emas buluh perindu dan cantiknya mereka bak bidadari!

Aditya mengurut dada, astaghfirullah hal azim, apabila melihat laporan sedemikian rupa. Tingginya manusia itu yang diangkat sebegitu rupa tetapi yang sedihnya, penulis kerana meletakkan diri di kerak bumi.

Tidak berpijak di bumi nyata, malah jauh sekali menyebut nama Allah sebagai tanda syukur di dalam tulisan itu yang telah menjadikan manusia yang diangkat tersebut sedemikian rupa.

Berpada-padalah kerana lambungan pujian itu sebenarnya pembunuh!

“Dan siapa yang mengambil bahagian terbesar dalam penyiaran berita bohong itu, baginya azab yang besar.” (Surah An Nur, ayat 11)

--

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan