'Konsert' Terbaik AF di Separuh Akhir Muzik-Muzik!

Diterbitkan: Ahad, 15 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Estranged mempersembahkan lagu 'Aurora'. -foto The Star oleh SAMUEL ONG
Estranged mempersembahkan lagu 'Aurora'. -foto The Star oleh SAMUEL ONG

MENONTON bahagian kedua separuh akhir Muzik-Muzik pada Jumaat lalu seolah-olah seperti sedang menyaksikan konsert mingguan Akademi Fantasia (AF).

Jauh berbeza 'reaksi' penonton yang hadir di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam kali ini berbanding bahagian pertama separuh akhir Muzik-Muzik, minggu lepas.

Semuanya gara-gara penangan 'graduan' AF yang memonopoli separuh akhir kedua ini yang mana tujuh daripada 11 buah lagu yang bertanding pada malam tersebut adalah terdiri daripada nyanyian bekas pelajar AF iaitu Nubhan, Riz, Aizat, Akim, Adam dan Stacy serta vokalis Estranged, Rich yang juga merupakan alumni AF.

Apa yang menariknya, kebanyakannya penonton hadir bersama kelab penyokong artis AF pujaan mereka dengan membawa sepanduk.

Sorakan yang didengari setiap kali penyanyi kesayangan mereka itu muncul di pentas sememangnya seperti melihat mereka bersaing di pentas konsert mingguan AF.

Cuma mungkin bezanya, 'konsert AF' kali ini menghimpunkan 'peserta-peserta' AF yang terbaik selama tujuh musim ia dijalankan!

Apapun, 11 buah lagu yang bertanding pada malam itu adalah Aurora nyanyian Estranged, Seadanya Aku (Nubhan), Tahu Tak Tahu Joget (Jinbara), Ku Pinjam Satu Bintang (Alyah & Riz), Fikirlah (Aizat), Khatimah Cinta (Sixth Sense), Bengang (Akim), Aku Rindu Sayang Kamu (Black), Cinta Gila (Grey Sky Morning), Benar-Benar (Adam) dan Pakai Buang (Stacy).

Dan jika minggu lalu menyaksikan lima buah lagu nyanyian Yuna, Aizat, Hujan, Alyah dan One Nation Emcees diumumkan sebagai 'Top 5' berdasarkan kutipan mendapat markah tertinggi, kali ini lima buah lagu yang mendapat markah terbanyak pada bahagian kedua ini ialah Estranged, Nubhan, Stacy, Akim dan Black.

Format pemarkahan separuh akhir adalah berdasarkan 30 peratus markah persembahan pada malam pertandingan dan dicampur dengan 70 peratus markah penilaian lagu yang dibuat sebelum persembahan bagi mendapat markah keseluruhan.

Barisan juri profesional yang terlibat ialah Azlan Abu Hassan, Moharis Yaakub, Ahadiah Akashah, Helen Yap dan Azhar Borhan yang bertindak selaku ketua juri.

Namun, seperti mana yang diperkatakan minggu lalu, lagu-lagu yang berada di kelompok 'top 5' belum lagi dapat mengesahkan tiket mereka untuk bertanding di peringkat akhir Anugerah Juara Lagu tahun ini.

Masih ada lapan buah lagu lagi yang bakal bertanding pada bahagian ketiga separuh akhir Jumaat depan dan pengumuman 14 buah lagu yang layak ke 'final' nanti akan dibuat pada hari tersebut.

Dan jika ada antara lagu-lagu lain yang mempunyai markah lebih tinggi daripada lagu-lagu 'top 5' itu tidak kiralah lagu di minggu pertama, kedua atau ketiga, maka tidak mustahil lagu-lagu tersebut berpeluang terpilih antara 14 buah lagu ke peringkat akhir.

Ditanya tentang artis-artis AF yang dilihat 'memonopoli' bahagian kedua separuh akhir ini, kata Pengurus Produksi Hiburan Primeworks Studio, Fadzliniza Zakaria, semua itu bukannya dirancang.

"Ini adalah pertandingan lagu, bukannya konsert AF, konsert Mentor mahupun konsert GangStarz. Mungkin juga kebetulan pula penyanyi-penyanyi seperti Nubhan, Stacy dan Akim mempertaruhkan lagu yang bagus.

"Tetapi apapun, seperti yang kita sudah jelaskan sebelum ini, masih awal untuk mengesahkan tempat mereka di peringkat akhir kelak," katanya yang juga menafikan wujudnya sistem 'kuota' di dalam pertandingan ini setelah ada yang mempertikaikan apabila dua buah lagu nyanyian 'produk' Media Prima iaitu One Nation Emcees dan Black diangkat antara lagu 'top 5' untuk bahagian pertama dan kedua separuh akhir ini.

Dalam pada itu, diajukan tentang barisan juri profesional kali ini, kata Fadzliniza, keempat-empat juri serta ketua juri, Azhar Borhan sudah cukup 'kuat' untuk membuat penilaian terhadap 30 buah lagu yang bertanding pada peringkat separuh akhir ini.

"Tahun-tahun terdahulu kita mempunyai juri berbeza setiap minggu kerana sewaktu itu, lagu-lagu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Pop Rock, Balada dan Etnik Kreatif. Tetapi kali ini tiada lagi kategori-kategori tersebut dan semua lagu bertanding secara terbuka.

"Walaupun kita ketengahkan juri-juri yang sama untuk tiga bahagian separuh akhir pada tahun ini, barisan juri ini sudah cukup untuk menilai lagu-lagu bertanding.

"Lagipun, kita bukannya nak memilih juara lagi, hanya untuk mencari 14 buah lagu terbaik. Pada peringkat akhir nanti, kita akan menampilkan barisan juri yang lain," ujarnya lagi.

Pada 20 November ini, bahagian terakhir separuh akhir Muzik-Muzik akan menyaksikan saingan lapan buah lagu nyanyian Faizal Tahir, Misha Omar, Jinbara, Hafiz AF, Tomok, Aizat, Estranged dan Bunkface sebelum 14 buah lagu yang layak diumumkan selepas persembahan berakhir.

Komen Top 5:

Estranged:

"Saingan kali ini agak mencabar kerana kategori sudah terbuka dan perlu bersaing dengan pelbagai genre lagu lain. Tetapi kami melihat senario ini secara positif. Bagi kami, peluang untuk kumpulan muzik melangkah lebih jauh dalam Muzik-Muzik memang ada, cuma perlu berdepan dengan saingan sengit."

Stacy:

"Saya memang terkejut. Walaupun belum tentu ke peringkat akhir, tetapi saya tetap bersyukur kerana lagu Pakai Buang tergolong di dalam Top 5. Berjaya atau tidak ke 'final', itu perkara nombor dua kerana dapat berada di tahap ini juga sudah cukup baik."

Akim:

"Ini adalah kali pertama saya sertai separuh akhir Muzik-Muzik dan bersyukur apabila lagu Bengang berada di dalam kelompok Top 5 kali ini. Bagi saya, ia ibarat melangkah setapak lagi setelah saya menyertai AF dulu."

Nubhan:

"Saya sama sekali memang tidak menyangka untuk berada di dalam Top 5. Tetapi, ini tidak bermaksud saya akan ke peringkat akhir kerana keputusan belum muktamad. Apapun, saya sudah cuba yang terbaik."

Black:

"Saya memang sudah selesa nyanyikan lagu tersebut dan pastinya saya bangga apabila lagu itu terpilih sebagai Top 5 minggu ini. Apapun, saya ingin ucapkan terima kasih kepada mentor saya, Mas Idayu yang banyak membantu memberikan panduang. Malah, sebelum buat persembahan, saya terlebih dahulu menghubunginya untuk dapatkan tips-tips tertentu."

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan