Idham: Artis baru tiada hala tuju!

Diterbitkan: Ahad, 15 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PENGALAMAN bekerja sebagai pelakon, pengarah dan produser mencetuskan banyak rasa dan rahsia dalam diri Ahmad Idham.

Jelasnya, semenjak bekerja di belakang tabir dalam beberapa tahun ini, Idham melihat banyak aura negatif yang dibawakan oleh pendatang baru dalam industri hiburan tempatan.

Tidak kira yang berlakon dalam filem atau drama, Idham perhatikan ramai antara mereka yang tidak tahu di mana hala tuju mereka dalam industri ini.

“Saya tengok ada yang mempunyai masalah disiplin, tidak hormat pengarah dan produksi, suka ‘demand’ dan pelbagai lagi kerenah yang timbul.

“Saya rasa seperti artis baru sekarang tidak kira dalam lakonan atau muzik, kebanyakannya tidak tahu di mana hala tuju atau motif mereka menjadi artis,” komennya ketika majlis doa selamat filem ‘Jangan Pandang Belakang Congkak 2’ yang bakal diarahkan olehnya mulai 15 November ini.

Idham juga rasa kesal dan sedih apabila ada antara pelakon baru yang tidak mengetahui langsung tentang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

“Apabila saya beritahu mereka tentang Finas, ada yang tak tahu dan bertanya semula kepada saya di mana Finas dan apa itu Finas.

“Jadi, sebab itu kalau kita anjurkan apa-apa program di bawah Finas, tidak ramai yang sertainya,” kata Idham lagi.

Tambah Idham, sudah puas dia mengajak pendatang baru untuk menyertai program-program motivasi seperti mendekatkan diri para pelakon baru dengan corak industri lakonan namun tidak diendahkan oleh mereka.

Lantas dia berharap agar tegurannya ini mampu membuka mata pendatang baru yang masih ‘hanyut’ dalam dunia glamor dan tidak pasti tujuan sebenar mereka berada dalam industri ini.

Pertama kali buat sekuel filem seram

Menyentuh tentang filem terbaru arahannya, ‘Jangan Pandang Belakang Congkak 2’, Idham berkata ini merupakan kali pertama dia membuat sekuel filem seram. Alasannya kerana filem seram itu diselitkan dengan genre komedi selain kutipan box-office yang mencecah RM6.2 juta itu.

“Sebelum ini saya tak pernah berani untuk buat sekuel filem seram seperti filem ‘Jangan Pandang Belakang’ dan ‘Congkak’ kerana bimbang jika kurang mendapat sambutan penonton walaupun pada dasarnya kutipan kedua-dua buah filem ini tinggi.

“Tetapi saya berani untuk menyambung sekuel filem ‘Jangan Pandang Belakang Congkak’ sebab ia ada unsur komedi.

“Insya-Allah, kita tetap mengharapkan yang terbaik untuk filem ini,” kata pelakon popular menerusi drama ‘Cinderella’ dan ‘Cinta Antara Benua’ ini.

Filem lakonan Mazlan Pet Pet, Cat Farish, Lisa Surihani, Azlee Senario, Piee, Bob Kuman dan memperkenalkan watak baru lakonan Nora Danish ini mengisahkan tentang Pak Mor (Azlee) dan Mustika (Lisa) yang berpakat untuk menghapuskan Punai (Mazlan) dan Asmat (Cat).

Asmat memberitahu ada seorang bomoh yang dirasakan boleh menolong mereka iaitu Wak Ketari (Bob Kuman).

Lalu mereka pun pergi mencari rumah Wak Ketari. Mereka menceritakan apa yang terjadi kepada diri mereka dan mereka ingin menuntut ilmu ‘kebomohan’ daripada Wak Ketari.

Wak Ketari bersetuju untuk mengajar mereka tetapi mengenakan syarat-syarat yang ketat yang mesti mereka patuhi.

Pada mulanya mereka keberatan untuk belajar kerana syarat-syarat yang dikenakan terlalu ketat tetapi setelah terpandang Seha, anak gadis Wak Ketari yang cantik, terus mereka bersetuju untuk belajar.

Bermula dari hari itu, mereka belajar dan menghadapi berbagai masalah semasa belajar kerana Wak Ketari seorang yang tegas dan garang.

Sebelum mereka lulus, mereka dikehendaki menjalani satu ujian di mana mereka dikehendaki menangkap hantu.

Pak Mor dan Mustika mendapat tahu yang mereka kini menetap di kampung Wak Ketari.

Pada malam itu, Pak Mor dan Mustika dengan bantuan hantu-hantu mereka berjaya menculik Seha.

Wak Ketari kemudian menilik dan mendapati anaknya diculik oleh Pak Mor dan Mustika, kemudian mengarahkan Punai dan Asmat pergi menyelamatkan Seha.

Jelas Idham, watak Johan lakonan Shaheizy Sam terpaksa dimatikan kerana pelakon itu tidak dapat memberikan komitmen dalam filem itu.

Filem yang mengekalkan sistem bunyi Dolby Digital Surround terbitan Metrowealth Production (MIG) ini akan menjalani pengambaran di sekitar Lembah Kelang dan Perlis sehingga awal Disember ini.

Dalam perkembangan lain, filem lain MIG seperti ‘Senario The Movie Episode 2: Beach Boys’ akan ditayangkan mulai 19 November ini, ‘Santau’ (10 Disember), ‘Adnan Sempit’ (14 Januari 2010), ‘V3: Samseng Jalanan’, ‘Zoo’ dan ‘Semerah Cinta Stilleto’.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan