Sayang, ‘Pisau Cukur’ Tumpul!

Diterbitkan: Sabtu, 14 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Gandingan mantap pelakon Maya Karin dan Nur Fazura mendorong orang ramai menonton filem 'Pisau Cukur'.
Gandingan mantap pelakon Maya Karin dan Nur Fazura mendorong orang ramai menonton filem 'Pisau Cukur'.

NUANSA glamor dan gedik Maya Karin dan Nur Fazura di dalam Pisau Cukur ternyata memikat dan mengujakan.

Namun, jika diamati secara menyeluruh, saduran elemen ini tidak terjalin dengan begitu baik di dalam penceritaan Pisau Cukur yang sedikit lemah dan longgar.

Barangkali percaturan pengarah Bernard Chauly mempertaruhkan bintang besar seperti Maya dan Fazura sebagai teraju utama tidak memadai untuk menobatkan filem komedi ini sebagai sebuah karya yang berkesan.

Bukan mahu menuding jari mencari kelemahan sesiapa, hakikatnya gandingan nama-nama besar semata-mata seolah kurang berkesan jika persembahan cerita dan olahan plot filem itu longgar, sedikit membosankan dan kurang menyengat.

Baik Maya mahupun Fazura, keduanya telah mempamerkan mutu lakonan yang memberansangkan.

Gandingan dua bintang ini jelas serasi dan ternyata berkesan mencorak perjalanan Pisau Cukur dari titik mula hingga ke akhir.

Maya Karin sebagai Bella, melalui eksplorasi watak segar dan baru kelihatan begitu bersahaja dan mempersona.

Jelas, Maya bijak dalam mewarnai Bella sehingga lakonan yang dipersembahkan oleh Pelakon Wanita Terbaik FFM 21 ini begitu menghiburkan dan asli.

Mungkin ini kelebihan Maya yang teliti dan cekap dalam mempersiapkan diri untuk watak gadis materialistik penuh glamor ini.

Nur Fazura juga menyerlah dengan pancaran elemen gedik dan bahasa tubuh yang menawan.

Fazura yang memainkan watak Intan, seorang wartawan penyiaran juga gadis pisau cukur yang bercinta dengan Dato Salleh sangat bijak mencorak gerak geri dan lontaran dialognya sehingga penulis merasakan watak Intan adalah Fazura secara realitinya.

Penglibatan bintang Singapura Aaron Aziz pula sekadar mewarnai filem ini.

Mengamati persembahan sederhana Aaron, penulis berpendapat bahawa mana-mana pelakon lain pun boleh memainkan watak sebagai penyiasat persendirian itu.

Malah, mungkin dengan lebih baik dan berkesan. Namun, menyedari pesona Aaron, penulis akur dengan pemilihannya menghiasi Pisau Cukur.

Berbanding Aaron, penulis lebih teruja menyaksikan persembahan aktor Eizlan Yusof.

Kelebihan pengalaman lakonan yang dimiliki Eizlan berkesan dalam membantunya mempamer watak sebagai Datuk Hisham yang tenang, bersahaja dan sofistikated.

Dengan sedikit bantuan solekan, Eizlan berdiri sebagai seorang Datuk yang bukan sahaja memukau Bella, malah mana-mana pisau cukur di luar sana pun pasti terpikat dengan bahasa tubuh dan kematangan yang dipersembahkan.

Himpunan bintang lain seperti Shahredza Minhat, Datuk Rahim Razali, Khatijah Tan, Liyana Jasmay, Umie Aida, Sharifah Sofia, Afdlin Shauki, Nabil dan Nas-T saling melengkapi dan menambah perisa kepada penceritaan filem ini.

Rahim Razali cukup versatil di kerusi roda, Khatijah Tan mencuit hati dengan suntikan komedinya dan Liyana Jasmay mempersona dengan lakonan gedik dan beremosi yang seimbang.

Malah, Umie Aida dan Sharifah Sofia juga menghiburkan sebagai isteri kedua dan ketiga Datuk.

Mungkin kelibat Nas-T dan pendatang baru Shahredza Minhat kelihatan kurang menyerlah.

Shahredza yang memainkan watak Faqir, pemuda yang cuba menawan hati Bella kurang memberansang.

Namun, sebagai percubaan sulungnya di layar perak, dia perlu diberi ruang untuk terus melonjak.

Sayang sekali, filem yang rata-rata dibarisi nama-nama besar ini lemah pada beberapa aspek penting.

Skrip dan jalan cerita tulisan Rafidah Abdullah seolah cukup kerdil untuk dicorakkan oleh nama-nama besar seperti Maya Karin, Nur Fazura, Datuk Rahim Razali, Khatijah Tan, Umie Aida dan Liyana Jasmay.

Bukan jalan cerita atau konsep filem ringan Pisau Cukur yang menjadi masalah, tetapi penataan cerita yang longgar memaksa filem ini menjadi sebuah filem materi yang tidak cukup materialistik dan elemen glamor.

Malah, garapan Bernard Chauly juga kurang memukau kali ini berbanding sentuhannya di dalam Gol & Gincu sebelum ini.

Bernard kurang menyengat dalam menambah perisa kepada perjalanan Pisau Cukur.

Lebih menyedihkan, transisi babak ke babak sedikit membosankan serta kelihatan suram dan kelam, tidak seglamor dan meriah seperti di poster filem ini.

Penyerapan elemen janaan imej berkomputer (CGI) di dalam Pisau Cukur juga agak kasar dan tidak kemas, malah dalam beberapa babak seperti pemandangan lautan dari atas kapal mewah, teknik CGI yang diaplikasi amat menyedihkan sekali.

Penulis percaya, produksi filem ini telah mencuba sebaik mungkin untuk memperkemas saduran CGI tersebut namun memahami kos yang tinggi itu, mungkin inilah hasil terbaik yang mampu dipersembahkan.

Selepas menonton Pisau Cukur, penulis menyifatkan filem ini sekadar 'indah khabar dari rupa'.

Suntikan propaganda menerusi nuansa glamor dan warna-warni pada poster filem juga sinopsis filem ini tidaklah sehebat jalan ceritanya.

Bukan bermakna filem ini gagal langsung atau tidak bermutu, cuma sentuhan Bernard Chauly dan Rafidah Abdullah seakan kurang menyengat kali ini.

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan