Konsert Shah Rukh Khan di Melaka 11 Disember ini

Diterbitkan: Rabu, 11 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Shahrukh Khan senyum semasa sambutan hari jadi ke-44 di rumahnya di Mumbai pada 2 November 2009. -Foto AFP
Shahrukh Khan senyum semasa sambutan hari jadi ke-44 di rumahnya di Mumbai pada 2 November 2009. -Foto AFP

MELAKA: Hero nombor satu Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan dijangka mengadakan persembahan di Melaka pada 11 Disember ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata persembahan dijangka diadakan di Stadium Hang Jebat di Kerubong yang boleh menempatkan 40,000 penonton.

"Bagaimanapun, persembahan pelakon dan penghibur itu bergantung kepada penajaan sama ada sanggup membiayai kos persembahannya," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohd Ali berkata beliau telah mempelawa MameeDouble Decker (M) Bhd, sebuah perusahaan makanan di sini untuk menaja konsert itu.

"Kini bergantung kepada Mamee dan aktor berkenaan untuk menyatakan persetujuan sama ada konsert itu boleh berlangsung atau sebaliknya," katanya.

Beliau juga berkata Shah Rukh Khan yang menerima gelaran Datuk dari kerajaan negeri tahun lepas tidak akan membuka studio perfilemannya di sini seperti yang dilaporkan sebelum ini.

"Beliau tidak boleh memberi komitmen sepenuh masa sekiranya membuka studio itu di sini sebaliknya menawarkan kepada kerajaan negeri untuk menjadi penasihat sahaja," katanya.

Mohd Ali berkata kerajaan negeri sedang mencari pelabur yang berhasrat membuka studio perfileman di sini dengan menggunakan kepakaran aktor Bollywood itu yang mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan