Rentak Jazz 'Omar Arif The Singles' Lebih Senang Didengar

Diterbitkan: Selasa, 10 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Omar tampil dengan album keduanya berjudul 'Omar Arif The Singles'. -Foto Ihsan OMAR ARIF
Omar tampil dengan album keduanya berjudul 'Omar Arif The Singles'. -Foto Ihsan OMAR ARIF

WAJAH Omar Arif sering terpampang di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai pembaca berita suatu ketika dulu. Malah suara garaunya menjadi satu tarikan kepada penonton RTM.

Jadi tidak hairanlah Omar, 51, sering diundang mengacarakan beberapa bual bicara, konsert dan dokumentari terbitan RTM dan Astro.

Antaranya ialah Getaran Khas, Konsert Di-Raja Orkestra RTM (2003-2005), Point of View (Oktober hingga Disember 2003), KL 01 (2001), Moving On 2 (1997-2001), Momentum dan Late Nite Chats.

Malah beliau sering muncul dalam iklan komersial seperti Petronas, Celcom, Milo dan Kentucky Fried Chicken pada 1990-an.

Suara Omar yang tidak jemu didengar itu menyebabkan beliau tidak menolak tawaran untuk mengeluarkan album pertamanya berjudul 'Dia (Yang Satu)' tahun lalu.

Peminat muzik telah memberi respon yang positif menyebabkan Omar terpanggil untuk menerbitkan album keduanya tahun ini.

Album mini yang berjudul 'Omar Arif The Singles' itu telah dikeluarkan oleh Cakrawala Enterprise Sdn Bhd, manakala penerbit album pula ialah Albert Yap.

Dua buah lagu single - 'Satu' dan 'Bila' telah dimuatkan di dalam album itu. Ianya mengambil masa empat bulan untuk menyiapkan dan kos untuk menerbitkan album ini pula berjumlah hampir RM60 ribu.

Menurut Omar, lagu 'Satu' berentakkan genre jazz dan ia dihasilkan oleh komposer tempatan, Rudy.

Sementara lagu 'Bila' ialah sebuah lagu Indonesia hasil gubahan Andrean tetapi disusun semula oleh komposer meningkat naik bernama Leonard Yap, yang berasal dari sebuah kumpulan jazz popular di Kuala Lumpur.

Omar yang lebih menggemari lagu rentak jazz memberitahu walaupun album mininya belum dilancarkan secara rasmi tetapi telah diputarkan di corong-corong radio kira-kira sebulan lalu.

"Saya sukakan lagu-lagu yang funky dan jazzy tetapi saya perlu menyesuaikannya dengan cita rasa pendengar. Walaupun bergenre jazz, saya menjadikannya lebih senang untuk didengar," kata Omar.

Katanya lagi, dua buah lagu tersebut digubah dan disusun semula agar menjadi lebih funky dan jazzy."

Omar menaruh harapan untuk mengeluarkan album penuh pada pertengahan tahun depan.

Meskipun, Omar telah merakamkan lapan lagu baru, dia tidak mengeluarkannya bersama album mini ini kerana sesetengah lagu itu dirasakan kurang sesuai.

"Saya mahu hanya lagu-lagu yang berkualiti tinggi sahaja dalam album terbaru saya. Jadi, saya tidak tergesa-gesa memuatkan semua lagu dalam album terbaru.

"Saya harap lebih ramai orang dapat menghayati lagu-lagu saya," katanya.

Ditanya mengenai perbezaan album terbaru dengan album sulungnya, Omar berkata, album sulungnya lebih 'laidback' sementara album terbaru lebih rancak dan funky.

Peminat Omar tentu masih ingat suaranya menyampaikan lagu-lagu seperti Aku Cuba, Pancaroba, Zapin Merdeka dan dua buah lagu lama yang digubah susunan muziknya - Hujan di Tengahari (nyanyian asal Tan Sri P. Ramlee) dan Besame Mucho.

Omar turut berkata, dia akan membuat roadshow di Indonesia pada Disember ini untuk mempromosikan album keduanya itu.

Walaupun sibuk terlibat dalam acara-acara korporat, pengacaraan, serta pengiklanan di Malaysia dan Indonesia, Omar tidak pernah lupa golongan yang kurang bernasib baik.

"Allah telah memberikan saya bakat untuk mencari rezeki. Sudah sampai masanya saya memberi balik kepada orang ramai dalam bentuk persembahan dengan mengutip dana.

"Sebahagian hasil jualan album akan disalurkan kepada badan-badan kebajikan," kata pelakon ini.

Ayah kepada dua orang anak ini, pernah membintangi drama 'City of The Rich' sebanyak 200 episod terbitan Antah UTV pada 1999.

Drama tersebut menyaksikan Omar berlakon sebagai anak orang kaya yang bermasalah bersama pelakon handalan seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Fauziah Ahmad Daud (Ogy) dan Mustafa Kamal.

Omar juga pernah membintangi teater muzikal 'Jalan Impian - The Musical' (2005) oleh Farah Sulaiman, sinetron Indonesia 'Syurga Di Tapak Kaki Ibu' (2004) sebanyak 13 episod, drama Thailand 'Sweet Surrender' (1991) sebanyak 26 episod dan filem Thailand 'My Friend A Love Story' (1991) yang diarahkan oleh Kittichak Prim.

Omar cukup yakin bakat yang ada pada dirinya, sebab itu dia tidak pernah melepaskan peluang lakonan, nyanyian atau bidang pengacaraan yang datang kepadanya.

"Saya buat semua ini kerana minat," katanya lagi.

Ramai mungkin tidak tahu sebelum menjadi pembaca berita, Omar pernah bekerja di bahagian komunikasi pemasaran untuk sebuah syarikat minyak dan gas.

Namun, kegawatan ekonomi pada 1994 menyebabkan Omar kehilangan kerja ketika itu.

Bagi personaliti yang versatil ini, beliau memegang prinsip hidup: "Kita perlu menjadikan kerjaya dan kehidupan kita lebih cantik.

"Anda perlu mencari jalan untuk mengatasi masalah yang berlaku," katanya dengan penuh berfalsafah.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan