Melancong bersama Rossa hadiah bermakna buat Aniza

Diterbitkan: Ahad, 8 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Aniza bergambar kenangan bersama penyanyi pujaannya, Rossa - foto MSTAR ONLINE
Aniza bergambar kenangan bersama penyanyi pujaannya, Rossa - foto MSTAR ONLINE

DUA hari ditemani penyanyi kesayangannya, Rossa, di Jakarta, Indonesia adalah hadiah hari lahir yang cukup istimewa buat Aniza Abdul Razak, yang merupakan pemenang peraduan 'Fly with Rossa to Jakarta' bersempena kempen Enjoy Jakarta, baru-baru ini.

Ujar wanita berusia 41 tahun ini, dia sama sekali tidak menyangka berpeluang mendekati idolanya itu yang merupakan duta bagi kempen tersebut, di mana sebelum ini, Aniza hanya sering mengikuti kisah perkembangan penyanyi itu menerusi media massa sahaja.

Aniza telah memenangi dua tiket penerbangan kelas bisnes tajaan KLM Royal Dutch Airlines dengan turut ditemani Rossa sendiri pada 4 November lalu.

Peraduan yang dianjurkan oleh Jakarta City Government Tourism & Culture Office (JTCO) dengan kerjasama Explorer Tourism Network (ETN) itu turut memberikan ganjaran hebat kepada Aniza apabila dia juga memenangi penginapan selama tiga hari dua malam di The Sultan Hotel, Jakarta, baucer membeli-belah bernilai USD300 (RM1,000) serta jemputan menyaksikan 'showcase' Rossa di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur yang berlangsung pada 3 November lepas.

Mengimbas kisah di sebalik kemenangannya itu, kata Aniza, pada awalnya dia akui agak ragu-ragu untuk menyertai peraduan tersebut memikirkan kemungkinan penyertaannya itu akan ditolak memandangkan dia juga bertugas di dalam bidang pelancongan.

"Bila saya terbaca tentang peraduan ini menerusi sebuah artikel di akhbar The Star bulan lalu, saya memang teruja untuk mencuba. Tetapi bila melihat ia merupakan anjuran bersama ETN dan JTCO, saya tidak begitu pasti pula sama ada untuk mencuba atau tidak.

"Tetapi setelah tarikh penyertaan hampir ditutup, saya ambil keputusan untuk mencuba nasib juga. Namun, tidak langsung saya berharap untuk menang kerana saya tahu pasti ramai peminat-peminat Rossa turut sertai.

"Tambahan pula, soalan-soalan yang ditanya di laman web ETN untuk peraduan itu semuanya adalah berkisarkan tentang Jakarta, bukannya tentang Rossa," katanya yang bertugas sebagai Perunding Lawatan di salah sebuah agensi pelancongan di Kuala Lumpur.

Menurut Aniza, saat dia dihubungi oleh pihak penganjur yang memaklumkan berita kemenangannya itu merupakan detik indah buatnya yang baru menyambut hari lahir sehari sebelumnya.

"Memang itu merupakan satu 'kejutan' sempena hari lahir saya. Walaupun sebelum ini saya pernah memenangi satu pertandingan yang juga menawarkan hadiah lumayan, namun kali ini ia berbeza.

"Bukan semua orang berpeluang untuk beramah-mesra dan duduk berbual dengan artis pujaan mereka," kata ibu tunggal yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 16 tahun ini.

Membawa bersama bosnya, Fathilah Wan Chik mengikuti rombongan ke Jakarta Rabu lepas, Aniza berkata, pengalaman itu sememangnya cukup menyeronokkan apatah lagi penyanyi popular Indonesia itu amat peramah.

"Saya memang agak gementar pada awalnya apabila berdepan dengan Rossa. Tapi setelah dapat berbual dengannya sepanjang dua hari aktiviti yang dia turut sertai, saya akui dia memang seorang yang peramah.

"Dia akan jawab apa saja soalan yang saya tanya dan itu membuatkan saya senang berbual dengannya. Dan saya lihat dia juga seorang wanita yang cekal walaupun baru melalui perceraiannya," kata Aniza.

Rossa luang masa promosi Jakarta

Meskipun bukan semua aktiviti dan agenda dapat disertai oleh Rossa selama tiga hari itu kerana terikat dengan komitmen lain, namun penyanyi berusia 31 tahun ini seboleh-mungkin dilihat tetap cuba untuk terlibat di dalam program yang diaturkan oleh pihak penganjur.

Ujar Rossa, gelaran sebagai duta Enjoy Jakarta perlu dimanfaatkan sebaiknya agar dia dapat mempromosikan bandaraya itu dengan sebaik dan memulihkan semula imej Indonesia secara keseluruhannya, apatah lagi dengan kekeruhan hubungan Malaysia dan negara itu baru-baru ini.

"Saya berasal dari luar Jakarta, tetapi hampir semua cita-cita saya tercapai di Jakarta. Inilah masa untuk saya membalas jasa dan saya akan lakukan yang terbaik sebagai duta Enjoy Jakarta ini.

"Memang program ini memerlukan komitmen yang tinggi, tetapi bagi saya, ini adalah bukti cinta saya pada Jakarta.

"Banyak aspek tentang Jakarta yang ingin saya berkongsi dengan rakyat di Malaysia sama ada dari segi budaya dan pelancongan di sana," katanya yang begitu teruja bercerita tentang Jakarta kepada rombongan yang menyertai lawatan ke sana sempena kempen tersebut.

Turut sama menyertai lawatan itu selain pemenang ialah Pengurus KLM Malaysia, Estee Ng, beberapa wakil media Malaysia dan wakil daripada JTCO.

Sebaik tiba di Jakarta, Rossa terus mengikuti rombongan untuk makan malam di Restoran Kembang Goela, yang menyajikan pelbagai masakan Peranakan.

Lebih sejam di sana, Rossa yang turut ditemani anak lelakinya, Muhammad Rizky Langit Ramadhan, 3, tidak lekang bercerita tentang keenakan masakan di restoran itu dan turut memberi cadangan tentang tempat-tempat menarik yang boleh dilawati di sana.

Keesokan harinya, penyanyi yang popular dengan lagu Hey Ladies, Atas Nama Cinta, Ayat-Ayat Cinta dan Pudar ini turut mencuri sedikit masa untuk menemani Aniza membeli-belah di M Pacific Place Jakarta, sebuah pusat beli-belah yang baru dibuka pada November 2007.

Turut menyertai aktiviti itu ialah pemenang pertandingan berkonsepkan 'Mr. & Miss Malaysia' iaitu None Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta, Perthalia Rosul dan Abang DKI Jakarta, Danny Maesadatu.

Rossa dilihat cukup ceria 'melayani' Aniza dan memberikan tips tentang barangan yang sesuai untuk dibeli. Penyanyi itu juga turut membawa Aniza ke kaunter kecantikan Revlon untuk sesi 'make-over'.

Luah Rossa, dia amat teringin untuk mengikuti semua program yang diaturkan selama tiga hari itu dan meluangkan masa yang lebih dengan pemenang kempen Enjoy Jakarta tersebut, namun komitmen pada urusan yang lain juga perlu dilakukannya pada masa yang sama.

"Malaysia adalah rumah kedua saya dan saya diterima baik di sana. Jadi, saya juga ingin lakukan perkara yang sama terhadap sahabat-sahabat dari Malaysia apatah lagi saya rasa program seperti ini sebenarnya dapat mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain," kata Rossa.

Rombongan dari Malaysia turut dibawa ke tempat-tempat menarik lain antaranya Taman Safari Park, Puncak, Muzium Sejarah Jakarta, menikmati spa di Taman Sari Royal Heritage Spa dan sajian makanan enak di beberapa restoran hebat di sana seperti Restoran Padang Natrabu dan Restoran Raffles.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan