Filem ‘Papadom’ berjaya atasi filem kontroversi ‘Jin Notti’ dan ‘Momok’

Diterbitkan: Khamis, 5 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Afdlin Shauki dan Liyana Jasmay adalah bapa dan anak dalam filem 'Papadom'. -Foto THE STAR oleh RICKY LAI
Afdlin Shauki dan Liyana Jasmay adalah bapa dan anak dalam filem 'Papadom'. -Foto THE STAR oleh RICKY LAI

FILEM ‘Papadom’ bukan sahaja mendapat gelaran terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-22 pada 8 Ogos lalu malah turut mencatat pungutan tertinggi filem Melayu dalam beberapa bulan ini iaitu hampir RM3.4 juta.

Kutipan filem ‘Papadom’ telah berjaya mengatasi filem kontroversi iaitu ‘ ‘Momok The Movie’ (RM2.1 juta) dan ‘Jin Notti’ (RM2.05 juta) berdasarkan keputusan yang dikeluarkan oleh Finas mengikut wajib tayang.

Bagi Penerbit Eksekutif Tayangan Unggul Sdn Bhd, Gayatri Su Lin Pillai, kejayaan ini amat menggembirakan buat seluruh warga Papadom termasuk pengarah dan pelakonnya, Afdlin Shauki.

“Selepas 29 hari ditayangkan di pawagam seluruh negara, sudah hampir RM3.4 juta yang berjaya dikutip. Mungkin kita akan tayangkan sehingga dua minggu lagi di pawagam seluruh Malaysia.

“Kami juga gembira apabila ‘Papadom’ juga diundang untuk menayangkan filem itu di Osaka Asian Film Festival di Jepun pada Mac depan.

“Selain itu, kita sedang berunding untuk menayangkan filem ini di Singapura,” katanya ketika dihubungi.

Selain ‘Papadom’, Tayangan Unggul juga berbangga dengan kejayaan filem ‘Kala Malam Bulan Mengambang’ dengan merangkul gelaran Filem Terbaik dan kutipan box office menerusi filem ‘KL Menjerit’ iaitu RM1.9 juta.

Pada Ogos 2010, Tayangan Unggul akan menyediakan buah tangan ketiga daripada Afdlin dengan judul ‘Misteri Jalan Lama’ yang bergenre drama fantasi. Filem pertama Afdlin yang pernah diterbitkan oleh Tayangan Unggul adalah ‘Baik Punya Cilok’.

Selain itu, Gayatri menantikan kemunculan dua buah filem komedi yang akan ditayangkan iaitu Duhai Si Pari-Pari pada 31 Disember ini dan ‘Kapoww!!!’ (Mac 2010).

“Tahun ini kita banyak fokuskan kepada genre komedi. Mulai 15 November ini, kita akan memulakan pengambaran filem komedi seram ‘Hantu Kak Limah Pulang Ke Rumah’ arahan Mamat Khalid.

“Saya suka bekerjasama dengan pengarah-pengarah seperti Mamat dan Afdlin kerana mereka mempunyai ‘cop’ tersendiri,” ujarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan