'Sumpah jadi anjing' buat Azwan sebak

Diterbitkan: Selasa, 3 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Azwan Ali semasa rumah terbuka Hari Raya baru-baru ini.
Azwan Ali semasa rumah terbuka Hari Raya baru-baru ini.

SELEBRITI popular Azwan sekali lagi dijengah kontroversi bila visual yang menunjukkan dia menangis di Melodi minggu lepas mendapat pelbagai respon dari peminat-peminatnya.

"Saya tak sangka wartawan Melodi akan bertanyakan pasal isu seorang blogger yang mendoakan saya jadi seekor anjing di tanah suci.

"Ketika diajukan soalan ....'Betulkah ada orang yang doakan you jadi anjing di Kaabah?', entah kenapa tiba-tiba saya jadi sebak, terharu dan terus menangis kerana macam-macam perkara yang bermain dalam fikiran saya ketika itu," kata Azwan seusai menjalani rawatan refleksologi di Bangsar Baru dalam satu temubual baru-baru ini.

Menurut Azwan, doa meminta dia jadi anjing yang diletak di dalam laman web itu dimaklumkan kepadanya semasa dia sedang bersiap-siap untuk menunaikan umrah dua bulan yang lepas.

Kata selebriti yang selalu dihambat kontroversi ini, apa yang ditulis di dalam blog berbunyi...'Aku sumpah kau menjadi anjing kerana kau suka menganjingkan orang.'

"Saya dah lali pasal sumpahan-sumpahan orang ini. Ada yang mendoakan saya jadi anjing, babi dan ada yang kata saya akan dipanah petir bila tiba di mekah nanti.'

"Tapi alhamdulillah, Allah tidak perkenankan doa itu. Sebaliknya doa majoriti, penyokong-penyokong saya yang mendoakan saya selamat pergi dan selamat balik yang dimakbulkan," kata pengarah yang pernah menghasilkan program popular seperti 'Cit Cat Azwan'.

Kata Azwan lagi, dia berasa sangat bersyukur kerana diberikan kekuatan dan kesabaran menempuh segala tohmahan.

"Yang membuat saya menangis kerana saya tersentuh dengan kebesaran tuhan. Allah masih sayangkan saya .....dan perkara-perkara buruk yang didoakan orang-orang yang memusuhi saya tidak terjadi. Itu yang saya sebak," katanya.

Namun apa yang membuat Azwan terkilan bila perkara-perkara lama diungkit kembali.

"Sebagai seorang Islam, tak payahlah ungkit perkara-perkara lama. Mujurlah penyokong-penyokong memberi semangat kepada saya. Semua ini memberi saya kekuatan," kata Azwan yang tidak berpeluang menonton Melodi, yang memaparkan episod tersebut.

Di sebalik visual 'Azwan menangis di Melodi' itu, terselit sesuatu yang manis buat Azwan.

"Visual itu adalah memori indah saya dengan TV3. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada TV3 kerana masih menyokong dan menyiarkan berita tentang Azwan Ali, tanpa prejudis," kata Azwan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan