Aditya: Ada sebab kita di sini!

Diterbitkan: Selasa, 3 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Majlis resepsi perkahwinan penyanyi Waheeda dan penceramah bebas Akhil Hayy pada 31 Oktober lalu. -Foto THE STAR oleh RAJA FAISAL HISHAN
Majlis resepsi perkahwinan penyanyi Waheeda dan penceramah bebas Akhil Hayy pada 31 Oktober lalu. -Foto THE STAR oleh RAJA FAISAL HISHAN

KENYATAAN yang dibuat oleh penceramah bebas yang juga selebriti, Akhil Hayy di dalam media baru-baru ini mengenai segelintir karyawan seni tanah air mengikuti ajaran sesat yang disebarkan 'guru ghaib' , telah membuka mata masyarakat lebih luas terhadap golongan artis.

Tidak hanya menjadi pengikut setia, malah mereka secara halus didakwa sebagai tali barut mencari ‘downline’ menyebarkan ajaran-ajaran pelik yang antara lain menghalalkan perbuatan tidak bermoral termasuk bersekedudukan, berzina dan meneguk minuman keras.

Tambahan pula perkara-perkara yang tidak bermoral itu bukan perkara baru yang kita dengar dalam masyarakat artis hari ini. Baik yang dari generasi X atau Y, bahkan jauh yang sudah melepasi sambutan jubli emas usia masing-masing.

Dengan adanya dalil daripada ajaran sesat seperti dakwaan Akhil Hayy itu, maka memudahkan lagi perlakuan haram selama ini dipraktikkan seharian.

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal walaupun Aditya percaya ibu bapa artis-artis terlibat ini tidak pernah membesarkan mereka dengan ilmu sedemikian. Empat mazhab sedia wujud dalam Islam sendiri pun tidak pernah mengeluarkan dalil-dalil menghalalkan bersekedudukan, berzina dan arak.

Menurut Akhil dalam akhbar Harian Metro 23 Oktober lalu , artis berkenaan membawa ajaran pelik termasuk memesongkan ajaran al-Quran dengan membenarkan maksiat dilakukan dalam kehidupan harian.

"Ajaran yang dibawa artis yang sudah selesa dalam zon maksiat itu tidak melarang artis bersekedudukan dengan suami atau isteri orang lain, termasuk artis remaja lain yang beriya-iya mahu dikenali ramai sehingga terpedaya melakukan perbuatan tidak bermoral.

"Sebenarnya, kegiatan ini memang wujud dan ia dilakukan segelintir artis yang sudah ada dalam zon maksiat dan mahu maksiat yang mereka lakukan diikuti artis lain dengan alasan apa saja amalan yang dilakukan sudah 'ditulis' Allah.

"Mereka mengatakan perbuatan maksiat yang dilakukan sudah ditulis Allah (sejak azali) dan tidak perlu bimbang kerana boleh bertaubat," kata Akhil.

Itupun kalau sempat bertaubat, mahunya Allah menyuruh malaikatnya mencabut nyawa dalam sesaat dua ini, apakah masih sempat taubat dilakukan?

Aktiviti terkutuk artis terbabit yang kebanyakannya memang selesa dalam zon maksiat dilakukan secara sulit dengan mendekati rakan artis yang mudah dipengaruhi terutama mereka yang menjadikan kerjaya lakonan dan nyanyian sebagai sumber pendapatan utama.

Kalau kita perhalusi kembali dunia seni pun, kita boleh lihat dengan mata kasar yang mana haram dihalalkan walaupun tanpa kewujudan guru ghaib. Aurat wanita – pakaian dan suara, sudah cukup untuk kita fikirkan balik. Sementelah lelaki dan wanita bukan muhrim berpelukan dalam filem mahupun drama! Semuanya menghalalkan perlakuan haram itu atas nama seni untuk menghidupkan watak. Astaghfirullahal azim!

Bagaimanapun kita juga ketahui, pendedahan mengejut Akhil Hayy itu menimbulkan ketidakselesaan pihak tertentu. Lebih jelas di sini, kenyataan balas Awie yang mahu Akhil menutup mulut kerana baginya, suami Waheeda itu tidak layak mentarbiah golongan artis dan perlu mencerminkan diri sendiri terlebih dahulu.

Kebetulan pula, kontroversi Akhil dan Waheeda serta bekas isterinya, Maizawati belum habis diperkatakan, jadi ada alasan untuk orang mempertikaikan pandangannya dalam soal membabitkan perlakukan manusia dan Islam.

Secara peribadi, Aditya menyokong pendedahan Akhil itu. Biarpun ada di antara kita yang sedar akan kepincangan yang semakin teruk di dalam industri hiburan tetapi tiada yang berani ke depan.

Sekurang-kurangnya sebagai seorang Islam, Akhil berasa bertanggungjawab untuk mengemukakan kemungkaran kepada umum dengan harapan ia tidak berterusan.

Memang Akhil melakukan kesilapan. Manusia mana yang tidak melakukan kesilapan? Aditya sendiri seperti anda semua, manusia yang lemah yang tidak ketinggalan mencipta dosa (sengaja atau tidak). Bumi mana yang tidak ditimpa hujan? Kita bukannya maksum!

Bagaimanapun sebagai manusia juga, tiada langsung kesalahan untuk kita saling ingat mengingati dan tegur menegur sesama kita dalam membina ukhuwah berterusan menuju ke jalan Allah.

Seperti yang cuba Aditya lakukan melalui artikel ini dengan harapan ia mampu mengingati dan mengajar Aditya sendiri dan juga pembaca MStar online menjadi manusia yang lebih baik.

Sayangnya tidak semua manusia yang berbilion jumlahnya di dunia ini sama. Cukuplah yang kita kira di Malaysia yang baru sekitar 26 juta orang, pun tidak sama. Allah Maha Pencipta yang mampu melakukan apa saja yang dimahukanNya. Rambut sama hitam tetapi hati kita berbeza pengertian.

Sebenarnya kejutan juga buat Aditya, orang seperti Awie boleh tampil untuk membuat kenyataan balas tersebut. Sekali gus membuatkan masyarakat berfikir yang dia juga terbabit dalam ajaran guru ghaib itu. Namun Aditya percaya, Awie seorang yang amat rasional dalam menilai baik dan buruk sesuatu perlakuan.

Aditya juga tertarik dengan kenyataan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad dalam akhbar yang sama, menyifatkan artis tempatan sepatutnya tidak perlu bimbang atau panas sekiranya ada pihak yang mahu memberikan nasihat atau teguran kerana ia lebih kepada mahu mereka kembali menjadi artis berakhlak dan bermaruah.

Seperti yang dinyatakan di atas, kita saling memerlukan. Bagaikan aur dengan tebing. Jadi tidak salah, malah beruntungnya kalau ada pihak yang cuba menegur dan memberi peringatan kepada kita yang mungkin kita teralpa dengan apa yang kita lakukan selama ini.

Perlu diingat juga, kita jarang melihat diri sendiri selain orang yang selalu memandang. Tidakkah kita bertuah mempunyai kawan yan prihatin dengan kita? Mana yang boleh kita ambil sebagai teladan, apa salahnya. Kalau tidak sesuai, buatlah sempadan!

Aditya terlalu percaya dengan ketentuan Allah. Lahirnya kita walaupun di mana jua di muka bumi ini, kita ada tanggungjawab. Usah memperkecilkan Akhil yang terlibat dengan kontroversi rumah tangga dan cinta tiga seginya kerana itu juga pengajaran buat kita semua.

Dari yang tidak dikenali sehingga mencetus kontroversi, saya yakin yang Allah meletakkan Akhil di dalam industri hiburan ini kerana bersebab. Sebab itu apabila Akhil membuat pendedahan itu, ada yang mendakwanya seperti ketam yang berjalan mengiring mengajar anak berjalan betul.

Malah kehadiran Aditya sebagai pemerhati dan penulis ini juga ada matlamatnya. Bakat menulis yang tidak seberapa ini tetap Aditya hargai kerana sejuta langkah tetap bermula dengan satu. Bakat ini sudah ditulisNya untuk Aditya kongsikan pandangan di sini.

Begitu juga kehadiran artis dan manusia seni yang dikatakan sering bergelumang dengan maksiat serta dosa, kita perhalusinya dari perspektif positif untuk kita melihat yang baik-baik, yakni buat teladan kita semua. Insya-Allah!

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan