Tiada istilah mustahil untuk Betty Banafe

Diterbitkan: Sabtu, 31 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Betty Banafe ialah penyanyi, pelakon, model dan pengacara. -Foto THE STAR oleh LOW LAY PHON
Betty Banafe ialah penyanyi, pelakon, model dan pengacara. -Foto THE STAR oleh LOW LAY PHON

DALAM karier seninya yang hampir menjangkau 10 tahun, pelakon dan penyanyi, Betty Banafe telah memegang pelbagai jenis watak dalam bidang lakonan.

Menurut Betty, dia pernah membawa watak-watak berat seperti orang sakit, tekanan perasaan, kisah duka kehidupan dan yang bersifat manipulasi.

Malah katanya, dia pernah memegang watak pesakit AIDS, Schizophrenia (skizofrenia - sejenis penyakit mental) yang disifatkan sesetengah pihak sebagai "berat".

"Orang lain cakap Betty bawa karakter yang 'berat'. Sejujurnya, saya sangat suka bergurau. Kalau marah pun, marah manja sahaja.

"Saya suka benda-benda yang mencabar. Ini termasuk melakonkan watak yang membuatkan orang ketawa dan pada masa yang sama memerlukan konsentrasi," kata Betty dalam satu sesi fotografi bersama mStar Online baru-baru ini.

Oleh itu, selebriti kacukan Melayu-Arab-Jawa ini menyifatkan watak peguam yang dipegangnya dalam filem Jin Notti memberi ruangnya untuk 'bergurau' sambil berlakon.

Betty atau nama sebenarnya Ibtisam Abu Bakar Banafe, 31, memberitahu filem komedi itu adalah menyeronokkan kerana dia berpeluang membuat bahasa slanga dalam dialog.

"Walaupun skrip filem itu menggunakan bahasa direct (formal), saya membahasakan skrip dengan sedikit intonasi slanga dan dialek tertentu untuk memberikan keunikan pada filem itu," katanya yang fasih berbahasa Indonesia, Arab dan Inggeris.

Bagi Betty, pelakon haruslah diberi kebebasan untuk memilih dan mewarnai karakter yang dibawa sementara pengarah memantau dan menjaga had-had yang dibenarkan.

"Lakonan bukan sekadar glamor. Lakonan sebenarnya adalah bagi membolehkan anda menguji minda anda, dan bagaimana anda memaksimumkan bakat anda untuk menjadikan filem atau drama itu lebih berwarna-warni dan 'hidup'," ujarnya yang telah membintangi filem 'Buai Laju-Laju', 'Haru-Biru' dan '1957-Hati Malaya'.

Sebagai seorang pelakon yang versatil, pelakon berkelulusan Sarjana Muda Komunikasi Massa (dengan Kepujian) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini telah berlakon di dalam berpuluh-puluh drama dan telefilem.

Antara yang pernah dibintangi Betty termasuk Dilema Wanita, Tak Pulang Nak Pulang, Bila rama-rama Terkopak Sayapnya, Sifu, Symbiosis, Yang Tulus, Aleya Maisarah, Hijab & Kabur, Hijrahku, Talkin Syahadah, Kepulangan, Kiranya Ku Tahu, I’m Muslim, Lady Anne, Nenek Sidah Dr. Syakila, Dari Maisara ke Qistina, Cats, Cikgu Siti, Shamsuddin, Siva & Partner dan Nur Penyuluh Alam.

Namun, namanya mula dikenali setelah berlakon di dalam filem 'Buai Laju-Laju' arahan U-Wei Shaari pada tahun 2003.

Antara lain, Betty turut dikenali setelah berlakon di dalam drama VCD Inggeris, 'Father', disamping aktor Bollywood Kabir Bedi.

Betty pernah terlibat di dalam pementasan teater 'Lorong Neraka', 'Hering', 'Demi Zaitun' dan 'Sarah'.

Mengenai perkembangan terkini kerjaya seninya, Betty berkata dia sedang terlibat dalam drama komedi berjudul 'Bagi Balik Jandaku' untuk Astro.

Dalam drama komedi arahan Aziz M. Osman itu, Betty membawa watak Nora dan suaminya adalah Farid (lakonan Shamsul Ghau Ghau) sementara bekas suaminya bergelar Ramli (lakonan Beego).

"Ini adalah kali pertama saya bekerja dengan pengarah Aziz M. Osman walaupun saya dah berkecimpung hampir 10 tahun dalam industri hiburan.

"Saya memang tertarik dengan sentuhan artistik pengarahan filemnya. Saya mengagumi disiplin tinggi Aziz. Pengurusan masanya amat baik. Lebih mengagumkan, beliau boleh membuat skrip di mana-mana lokasi penggambaran pun tanpa persediaan," katanya yang turut mempunyai album 'Ibtisam'.

Album 'Ibtisam' mempunyai 11 lagu termasuk Weylana, Waiyak, Abouya, Cinta Maulana dan Essaw Gharam yang berelemenkan muzik ketimuran.

Tambah Betty, drama komedi 'Bagi Balik Jandaku' sebanyak 26 episod itu bakal ditayangkan di Astro Awani pada Disember ini.

Drama komedi ini mengisahkan Farid diperalatkan oleh majikannya Ramli yang telah menceraikan isterinya, Nora dengan talak tiga. Ini kerana Ramli ingin rujuk kembali dengan Nora.

Bagaimanapun, cinta itu buta. Selepas berkahwin dengan Farid, Nora jatuh cinta dengannya dan tidak ingin kembali ke pangkuan bekas suaminya.

Mengenai masa depannya, Betty berharap dapat mengembangkan kerjaya seni ke tahap yang lebih tinggi iaitu menjadi penerbit dan produser suatu hari nanti.

Betty ingin sebaris dengan mereka yang telah mencipta nama seperti Aziz M. Osman, Rashid Siber, Adam Wahab, Osman Hafsham dan Habsah Hassan.

Tiada yang mustahil bagi Betty yang versatil ini. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan