Bapa mertua Raisuddin kejar jurukamera

Diterbitkan: Isnin, 26 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Peguam Suberi, Salwila Abdullah.
Peguam Suberi, Salwila Abdullah.

SHAH ALAM: Bapa mertua penyanyi/aktor Raisuddin Hamzah, Suberi Abdullah yang hadir di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini bertindak mengejar para jurugambar yang merakamkan gambarnya lalu mengacah hendak memukul mereka sebelum disekat oleh seorang lelaki yang menemaninya ke situ.

Kejadian ini berlaku selepas prosiding kes fail hujah faraq nikah dan rayuan penyanyi/aktor Raisuddin, 52, dan Siti Fatimah Suberi, 22, berakhir.

Suberi, 48, juga kedengaran mengucapkan kata-kata: "Jangan kurang ajar!" kepada pihak media.

Suberi hadir untuk mendengar permohonannya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi membantah perkahwinan di antara anaknya Siti Fatimah dengan Raisuddin.

Suberi diwakili oleh peguam, Salwila Abdullah manakala Raisuddin dan Siti Fatimah yang tidak hadir dalam perbicaraan hari ini diwakili oleh peguam syarie, Nor Azmi Mohd Arif.

Dalam prosiding hari ini, peguam Suberi, Salwila memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan hujah faraq nikah pada 11 September lalu.

"Saya telah memfailkan hujah pemohon (Suberi) pada 11 September 2009. Sesalinan telah kami serahkan kepada peguam responden (Nor Azmi) pada 16 September lalu. Jadi, kami mohon tarikh keputusan," kata Salwila.

Sementara itu, mengenai kes rayuan Raisuddin dan Siti Fatimah Suberi, Salwila memberitahu pihaknya telah menerima hujah balas daripada peguam pasangan itu, Nor Azmi.

"Saya telah terima hujah balas tetapi belum sempat teliti. Oleh itu, saya ingin mohon tarikh lain bagi menyediakan hujahan balas dan saya mohon tarikh yang sama untuk berbuat demikian," kata Salwila.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Abu Zaky Mohammad menetapkan 1 Disember ini untuk membuat keputusan mengenai kes fail hujah faraq nikah dan sebutan bagi rayuan Raisuddin dan Siti Fatimah.

Raisuddin berkahwin dengan Siti Fatimah di Songkhla, Thailand dengan berwali hakim pada 2 Januari 2007.

Bapa Siti Fatimah, Suberi, 48, kemudiannya memfailkan permohonan untuk memfarakhkan perkahwinan pasangan itu mengikut Seksyen 62(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 pada 26 Oktober 2007 atas alasan sebagai wali, dia tidak tahu menahu mengenai perkahwinan anaknya dengan Raisuddin.

Beliau juga membuat permohonan itu dengan alasan Siti Fatimah bermastautin di Selangor dan dia sebagai wali mujbir langsung tidak dimaklumkan tentang perkahwinan itu.

(Wali mujbir bermaksud wali yang mempunyai bidang kuasa mengahwinkan anak atau cucu perempuan yang masih perawan atau dara tanpa meminta izin perempuan itu terlebih dahulu).

Menurut Mazhab Shafi’e, wali mujbir itu terdiri daripada bapa, datuk dan seterusnya sampai ke atas. Manakala wali-wali lain seperti saudara lelaki kandung sebapa, bapa saudara dan sebagainya bukan wali mujbir iaitu tidak ada bidang kuasa memaksa perempuan berkahwin.

Sementara Raisuddin dan Siti Fatimah pula memfailkan permohonan balas bagi mengesahkan pernikahan mereka di mahkamah yang sama.

Kes tersebut dibawa ke mahkamah yang lebih tinggi ekoran keputusan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 5 Februari lalu menolak permohonan Raisuddin untuk mengesahkan pernikahannya dengan Siti Fatimah.

Pasangan terbabit bagaimanapun diarah memfailkan permohonan pengesahan pernikahan mereka di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi membolehkan ia disahkan terlebih dahulu kerana membabitkan isu poligami

Mahkamah Rendah Syariah tersebut turut menolak permohonan bapa mertua Raisuddin, Suberi Abdullah untuk membubarkan perkahwinan anaknya dengan penyanyi itu secara faraq kerana tiada bidang kuasa untuk memutuskannya.

KRONOLOGI KES FARAQ NIKAH RAISUDDIN-SITI FATIMAH:

6 Februari 2009: Hasrat Raisuddin untuk mengesahkan perkahwinannya dengan Siti Fatimah terbantut apabila mahkamah menolak permohonannya itu.

7 April 2009: Fatimah secara suka rela mengaku bersalah kerana bernikah tanpa kebenaran pendaftar nikah di Songkla, Thailand dengan Raisuddin pada 2 Januari 2007.

17 Jun 2009: Mahkamah memutuskan Raisuddin 'faraq' perkahwinan (berpisah sementara dengan Siti Fatimah). Kes faraq itu dipohon oleh Suberi kerana perkahwinan anaknya, Siti Fatimah dengan Raisuddin diragui walaupun ia telah disahkan oleh pihak mahkamah.

Permohonan faraq itu menghalang Raisuddin dan Siti Fatimah daripada menjalani kehidupan suami isteri.

16 Julai 2009: Kes pengesahan dan pendaftaran poligami penyanyi 80-an, Raisuddin Hamzah dengan isteri keduanya, Siti Fatimah Suberi, ditangguhkan kerana Hakim Syarie, Abu Bakar Mohd. Daud sedang berkursus di Kelantan. Ia akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam pada 3 September ini.

8 September: Hakim Syarie, Abu Zaky Mohammad menangguhkan kes fail hujah faraq nikah dan rayuan penyanyi/aktor Raisuddin Hamzah, 52, dan isteri keduanya, Siti Fatimah Suberi, 22, (responden) serta bapa mertuanya Suberi Abdullah (pemohon) ke tarikh 26 Oktober. Ini bagi membolehkan Suberi memfailkan hujah bertulis berhubung permohonannya.

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan