Dana Industri Kreatif gembirakan penggiat seni

Diterbitkan: Sabtu, 24 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penggiat seni tempatan menyambut baik beberapa insentif yang akan diberikan oleh kerajaan yang dilihat mampu memajukan lagi industri kreatif.

Di dalam Pembentangan Belanjawan 2010 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, beliau mengumumkan penyediaan Dana Industri Kreatif berjumlah RM200 juta bagi membiayai aktiviti seperti pengeluaran filem dan drama, muzik, animasi,pengiklanan dan pembangunan kandungan tempatan.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Global KRU Studios, Norman Abdul Halim, beliau menyambut baik peruntukkan dana RM200 juta itu yang dilihat mampu memajukan perkembangan industri hiburan dan kreativiti tanah air.

“Peruntukan yang diberikan oleh pihak kerajaan menunjukkan kesungguhan dalam membangunkan industri kandungan (content industry).

“Untuk bergerak maju, kita harus bersedia dengan keterbukaan pasaran untuk penerbitan bahan-bahan dan diketengahkan kepada pasaran dunia.

“Untuk membawa perkembangan ke pasaran dunia, kita perlu sediakan modal dan dengan adanya peruntukan RM200 juta ini sedikit sebanyak ia membantu karyawan kita membangunkan produk kandungan bertaraf dunia,” kata Norman.

Menurut beliau, ini adalah satu pendekatan bijak Perdana Menteri dan satu pendekatan baru yang patut dimanfaatkan sepenuhnya oleh karyawan tempatan.

“Ini juga mampu mencetus satu fenomena baru kepada ibu-bapa agar mengalakkan anak-anak mereka menerokai kerjaya dalam industri kandungan kerana kini ia boleh memberikan pulangan yang lumayan," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut tentang jumlah RM200 juta itu, Norman berkata buat masa ini ia memang mencukupi kerana ia mampu memberikan pulangan yang baik kepada negara tetapi dalam masa yang sama beliau berharap agar peruntukan itu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Jika dibandingkan dengan saiz pasaran global memang jauhlah tetapi saya tengok perkara ini boleh membawa kita lebih maju ke depan kerana buat pertama kalinya kita lihat ia sebagai satu dana khusus kepada industri dan saya berharap peruntukan ini dapat ditambah dari semasa ke semasa untuk menjadikan Malaysia sebagai hab negara pengeluar industri hiburan untuk rantau ini,” katanya.

Menurut Norman lagi, dengan bajet yang diperuntukan kepada pengeluar kandungan, beliau menjangka produk kita mampu menembusi pasaran global.

“Kalau kita nak tarik orang luar pasarkan hasil produk kita dengan orang luar, kita kena cari satu insentif yang disediakan oleh pihak kerajaan. Misalnya KRU yang mendapat insentif ketika membuat penggambaran filem ‘Deadline” di Amerika tidak lama dulu.

“Selain itu kita perlu pandai menjalinkan hubungan dengan pihak luar untuk mengeksport produk kita pula kerana Malaysia mempunyai banyak tarikan seperti lokasi yang menarik, kos penerbitan yang rendah dan kestabilan.

“Jika insentif kewangan dan cukai diperbanyakkan lagi pasti Malaysia menjadi hab bahan-bahan kandungan di dalam dan luar negara,” ulasnya.

Dalam pada itu, bagi penerbit dan pengarah filem serta drama terkenal, Ahmad Idham, perkara itu sememangnya amat dinanti-nantikan oleh para karyawan seni tempatan yang amat memerlukan insentif seperti itu tatkala negara sedang berdepan dengan masalah ekonomi.

"Ini ibarat durian runtuh buat pembikin filem dan drama seperti saya.

"Ini membuktikan, kerajaan masih lagi prihatin terhadap untung nasib industri seni. Cuma apa yang menjadi tanda tanya kepada saya,bagaimanakah pembahagian dana itu akan dibuat?

"Pihak yang menggerakkan dana ini kena buat betul-betul. Saya tidak mahu kegagalan lalu berulang lagi kali ini. Beberapa tahun lalu, kerajaan ada memperuntukkan kira-kira RM50 juta untuk industri seni. Namun, banyak sangat kegagalan yang berlaku ketika itu kerana pembahagian yang dibuat tidak sama rata.

"Jika kali ini dibuat dengan cara yang betul, saya yakin industri mampu berkembang dengan baik," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group, David Teo pula berkata, dana yang bakal disediakan itu diharapkan dapat disalurkan kepada penggiat seni yang sebenar.

"Berapa ramai produser, pengarah filem yang mempunyai objektif untuk kekal lama sekali gus membangunkan industri ini? Berapa ramai pula yang betul-betul berminat nak jadikan industri perfileman sebagai satu industri dan kerjaya yang menguntungkan.

"Hanya mereka yang serius dalam industri ini sahaja yang wajar mendapat dana ini," tegas David.

David turut meluahkan cadangan lain yang mungkin dapat diambilkira oleh kerajaan untuk perkembangan industri seni.

"Misalnya, kerajaan mengecualikan cukai pendapatan pengarah,pelakon, penggubah lagu dan lain-lain untuk menggalakkan mereka lebih aktif dalam industri kreatif kerana mereka tiada pendapat bulanan yang tetap.

"Begitu juga dengan badan korporat dan swasta perlu digalakkan untuk melabur dalam industri hiburan menerusi insentif menarik," katanya.

Turut diumumkan pada Pembentangan Belanjawan 2010 ini ialah penubuhan Tabung Kebajikan Penggiat Seni bagi memastikan kebajikan warga seni sentiasa terbela dan diberi perhatian yang mana sejumlah RM3 juta akan diperuntukkan sebagai geran pelancaran.

Diminta reaksi Presiden Karyawan, Freddie Fernandez berhubung cadangan itu, beliau berkata, penubuhan tabung tersebut dilihat sebagai satu inisiatif yang positif oleh kerajaan untuk membantu nasib penggiat seni yang memerlukannya.

Freddie juga berharap, dana tersebut dapat disalurkan juga kepada persatuan tersebut agar pihaknya dapat terus membantu penggiat seni yang kurang bernasib baik dan yang telah ‘pencen’ daripada dunia lakonan dan seni.

"Selama ini, Persatuan Karyawan telah cuba sedaya-upaya untuk membantu penggiat seni yang terlantar sakit termasuklah yang sudah pencen.Setakat ini, kami mempunyai 26 orang artis veteran di dalam Skim Pencen yang kami wujudkan sendiri.

"Setiap bulan, kami menyediakan RM500 seorang kepada mereka. Untuk aspek tersebut, kami memerlukan RM13,000 setiap bulan agar kami dapat terus membantu mereka,” kata Freddie.

Katanya, itu tidak kira lagi bantuan yang kami salurkan kepada penggiat seni yang sakit.

“Kami perlu menjalankan pelbagai aktiviti dan program untuk memastikan kewangan mencukupi untuk membantu mereka.Ternyata apa yang dicadangkan oleh kerajaan ini merupakan satu usaha yang baik sebagai sokongan kepada apa yang telah kami lakukan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan