'Detektif Lim' dakwa dia dipaksa mengaku mencuri

Diterbitkan: Khamis, 22 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mohd Farid ketika prosiding mahkamah selesai petang tadi. -Foto MSTAR oleh AU YEONG HOW
Mohd Farid ketika prosiding mahkamah selesai petang tadi. -Foto MSTAR oleh AU YEONG HOW

KUALA LUMPUR: Pelakon drama bersiri 'Gerak Khas' Mohd Farid Amirul Wu memberitahu mahkamah yang dia dipaksa mengaku bersalah mencuri dua buah buku kerana pihak MPH mendakwa telah memerhatikan gerak gerinya menerusi sistem litar tertutup (CCTV).

Farid membuat kenyataan ini ketika ditanya oleh peguam bela, Nor Azri Mohd Arif dalam prosiding kes di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Pelakon popular yang dikenali sebagai Detektif Lim dalam siri 'Gerak Khas' ini telah dituduh mencuri 2 buah buku iaitu The Sistine Secrets berharga RM89.90 dan sebuah lagi buku bertajuk Decoding The Heavens (RM105) di kedai buku MPH pada pukul 7.15 malam 27 Mac lalu.

Setelah mendengar keterangan dua pihak selama dua setengah jam, Mahkamah menetapkan 4 Disember ini untuk menyambung perbicaraan kes.

Turut hadir dalam prosiding hari ini adalah wakil-wakil MPH iaitu pengurus keselamatan, Zainab Sahbu dan pegawai keselamatan, Fadilah.

Berikut adalah sesi soal jawab antara Farid dan peguam bela, Nor Azri Mohd Arif dalam kamar hari ini.

NOR AZRI: Di manakah kamu berada pada 27 Mac 2009 lebih kurang 7 petang?

MOHD FARID: Kedai buku MPH di Midvalley Megamall.

NOR AZRI: Apa yang berlaku pada tarikh dan masa tersebut?

MOHD FARID: Tujuan saya ke situ untuk membeli beberapa buah buku antaranya sosiologi, drama dan kesenian, agama dan muzik.

NOR AZRI: Adakah kamu telah membaca buku-buku tersebut?

MOHD FARID: Sinopsis sahaja. Saya memang meminati buku-buku seperti drama yang berkaitan dengan kerjaya saya sebagai pelakon.

Mohd Farid juga menceritakan dia memasuki premis tersebut menerusi pintu masuk utama iaitu berdekatan butik Island Shoppe.

Semasa melewati pintu masuk kedua MPH yang berdekatan pusat farmasi Watson, Mohd Farid berkata, dia ditahan pengawal keselamatan kerana sensor berbunyi.

"Saya rasa pengawal keselamatan itu seorang warga Bangladesh dan saya tidak begitu memahami bahasanya. Sejurus itu, staf MPH Mohd Aqib (yang pernah memberikan keterangan di mahkamah) mengambil dan memeriksa beg saya.

"Dalam proses itu, datang seorang lagi kakitangan MPH yang bertudung. Saya tidak mengenalinya kerana dia tidak berada di mahkamah. Saya diarahkan mengikut mereka ke dalam premis," kata Mohd Farid.

Kemudian, Mohd Farid memberitahu, seorang staf MPH bernama Fadilah membawanya terus ke sebuah bilik dan disuruh duduk serta mengaku telah mencuri dalam premis itu.

"Saya meminta bercakap dengan pengurus tetapi saya dipaksa mengaku telah mencuri. Oleh kerana berada agak lama di premis, maka saya disyaki mempunyai niat untuk mencuri.

"Saya minta sekali lagi bercakap dengan pengurus untuk menyelesaikan masalah ini. Tetapi saya disuruh mengaku kerana mereka telah memerhatikan gerak-geri saya menerusi sistem kamera litar tertutup (CCTV)," kata Mohd Farid kepada mahkamah.

Mohd Farid menambah, Fadilah telah membuat beberapa panggilan telefon sebelum bersama seorang staf bernama Mohd Aqib membawanya ke pondok polis di Midvalley Megamall.

Katanya, Mohd Aqib membuat laporan polis di situ. "Saya harap boleh selesai di situ dan menunggu antara 30 hingga 40 minit. Selepas itu, dua anggota polis dari Brickfields mengiringi saya masuk ke van polis dan pergi ke balai polis Brickfields.

"Di balai polis itu, saya telah ditahan di sebuah bilik selama kira-kira 25 minit. Ini kerana pegawai penyiasat (IO) tidak berada di balai pada masa itu.

"Selepas IO tiba, saya diambil cop jari, mugshot sebelum dibenarkan menghubungi kawan untuk diikat jamin," katanya.

NOR AZRI: Apakah perasaan kamu apabila ditahan?

MOHD FARID: Hairan dan terpinga-pinga.

NOR AZRI: Semasa ditahan, adakah kamu ingin melarikan diri?

MOHD FARID: Tidak

Dalam sesi soal balas, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faizal Abdul Rahman mempersoalkan Mohd Farid kenapa dia tidak melarikan diri walaupun berpeluang berbuat demikian.

MOHD FAIZAL: Setujukah kamu bahawa kamu tidak melarikan diri dengan harapan pihak MPH melepaskan kamu kerana mereka kenal kamu sebagai pelakon?

MOHD FARID: Tidak setuju.

MOHD FAIZAL: Semasa awak ditahan, adakah kamu keliru sebenarnya?

MOHD FARID: Tidak, saya hairan.

MOHD FAIZAL: Adakah kamu terkejut?

MOHD FARID: Tidak.

MOHD FAIZAL: Setujukah kamu bahawa kamu mengaku mencuri buku tersebut dan sebab pelakon, kamu tidak mengaku mencuri?

MOHD FARID: Tidak.

Pada 24 Ogos lalu, mahkamah memerintahkan pelakon yang popular dengan watak `Detektif Lim' itu membela diri atas tuduhan mencuri dua buku di kedai buku MPH, Mac lalu.

Majistret Mohd Faizi Che Abu membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan.

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan