Radhi OAG tidak hadir bicara, mahkamah tak dapat sahkan lafaz cerai dengan Shazlin

Diterbitkan: Selasa, 20 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Shazlin tiba di mahkamah dengan diiringi temannya. -Foto THE STAR oleh RAYMOND OOI
Shazlin tiba di mahkamah dengan diiringi temannya. -Foto THE STAR oleh RAYMOND OOI

PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah hari ini tidak dapat membuat pengesahan lafaz cerai pelakon dan penyanyi kumpulan OAG, Mohd Radhi Razali dengan isterinya Shazlin Sharif kerana pelakon itu gagal hadir pada perbicaraan hari ini.

Hakim Syarie, Ghazali Ahmad berkata, ini kerana mahkamah perlu mendengar terlebih dahulu permohonan lafaz cerai kedua oleh Shazlin yang didakwa dilafazkan suaminya melalui telefon pada 25 Februari lalu.

"Mahkamah perlu terlebih dahulu mengetahui berapa jumlah talak dan sama ada talak yang didakwa dilafazkan Mohd Radhi pada 25 Februari lalu jatuh atau tidak," kata Ghazali dalam prosiding mahkamah.

Oleh yang demikian, Mahkamah memutuskan 3 November ini untuk perbicaraan semula pengesahan penceraian Mohd Radhi dengan isterinya, Shazlin berhubung dengan lafaz cerai yang didakwa berlaku pada 25 Februari lalu.

Terdahulu, peguam kepada Shazlin, Rubiah Jaafar memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya dan Radhi telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan penceraian mereka secara baik.

Difahamkan, Shazlin dan Radhi telah menurunkan tanda tangan pada dokumen penceraian.

"Hari ini mereka dah ada persetujuan bersama untuk bercerai dengan baik, tapi kedua-duanya tidak dapat hadir kerana masih dalam perjalanan datang ke mahkamah," kata Rubiah dalam prosiding mahkamah.

Shazlin memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai kedua yang didakwa dilafazkan suaminya melalui telefon pada 25 Februari lalu.

Ini adalah kali kedua Shazlin mengemukakan permohonan pengesahan cerai suaminya.

Sebelum ini, Shazlin mendakwa Mohd Radhi telah melafazkan cerai berbunyi 'Oklah, I ceraikan you. Talak 3, 2, 1?' pada September tahun lalu.

Bagaimanapun, selanjutnya, mahkamah dan hakim yang sama mensabitkan tidak berlaku talak antara mereka berikutan Radhi membuat lafaz sumpah penafian (sumpah Syarie) terhadap permohonan lafaz cerai oleh Shazlin.

Di luar kamar mahkamah, Shazlin Sharif yang juga aktres dan bekas penyanyi kumpulan Girls In Music (GIM) berlari keluar dari kamar Mahkamah Rendah Syariah sebaik sahaja perbicaraan ditangguhkan bagi mengelakkan diri daripada jurugambar dan wartawan.

Dalam keadaan tergesa-gesa 'melarikan diri', Shazlin yang telah memasuki kereta terkunci keretanya Octavia 1.8 berwarna gelap sehingga temannya tidak dapat masuk ke dalam kereta.

Shazlin tiba di mahkamah dengan berpakaian baju kurung berwarna jingga dan berselendang hitam bersama temannya ketika prosiding telah berlangsung.

Dia yang tiba lewat hanya sempat mendengar keputusan mahkamah dan berbincang sebentar bersama peguamnya sebelum "melarikan diri" daripada para wartawan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan