'Khabar Haji' program yang berkongsi berita dari Mekah

Diterbitkan: Rabu, 14 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SALURAN gaya hidup famili Islam yang memenuhi citarasa penonton pelbagai peringkat usia, Astro Oasis (Saluran 106) terus mengorak langkah apabila mencipta sejarah penyiaran menjadi saluran TV pertama di rantau ini menyiarkan berita komprehensif secara langsung selama sejam di sepanjang musim Haji 1430 Hijrah dari Tanah Suci Mekah melalui program Berita dan Hal Ehwal Semasa Khabar Haji.

Program berita ‘Khabar Haji’ akan mula menemui para penonton di saluran Astro Oasis (Saluran 106) pada setiap hari, jam 10 malam bermula dari 7 November sehingga 30 November 2009.

Berita ini akan diulang tayang pada hari yang sama sebanyak dua kali iaitu pada jam 8 pagi dan 2 petang dalam tempoh 24 jam yang sama.

Menurut Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd; Encik Zainir Aminullah, “Kami berasa amat bangga apabila Astro Oasis diberi peluang untuk bekerjasama dengan stesen TV Arab Saudi iaitu Iqraa TV untuk menyiarkan berita yang akan dikendalikan sepenuhnya di dalam Bahasa Melayu.

"Berita baik ini juga menandakan bahawa program berita yang julung-julung kali diadakan ini juga dapat disaksikan oleh Jemaah Malaysia serta penonton di Arab Saudi melalui sarikata yang akan disediakan.

Kami juga merasa terpanggil untuk mengadakan program sebegini kerana ingin memainkan tanggungjawab sebagai pelopor saluran gaya hidup famili Islam dalam menyampaikan nilai-nilai positif dari sudut kerohanian dan pengetahuan ilmiah di dalam program-program yang kami tawarkan dan tidak bertumpu kepada elemen hiburan semata-mata.

Program berita dan hal ehwal semasa ini juga boleh disaksikan oleh para pelanggan kami bukan sahaja di Malaysia malah di Brunei ini dan secara tidak langsung memberi peluang kepada lebih daripada 247,000 ahli keluarga jemaah haji untuk mengikuti perkembangan semasa pada setiap hari.

"Kami berharap usaha tanggungjawab sosial kami ini dipandang positif oleh orang ramai.”

Selain daripada itu, melalui ehsan Lembaga Tabung Haji, Astro Oasis turut menyediakan kandungan-kandungan yang berkaitan dengan ibadah haji dengan menyiarkan program-program tentang persiapan dan ibadah Haji yang dibahagikan kepada 21 episod.

Program-program ini disiarkan pada setiap hari, jam 10 malam bermula dari 5 Oktober sehingga 6 November 2009 di saluran Astro Oasis (saluran 106). Berikut adalah program-programnya:

1)Panduan Perjalanan Haji (3 episod) -5 – 7 Okt

2)Haji Tamattu’ (6 episod) -12-15 Okt

3)Haji Ifrad (3 episod) -19 -20 Okt

4)Haji Qiran (3 episod) -21 - 23 Okt

5)Umrah (3 episod) -26 – 28 Okt

6)Ziarah (1 episod) -29 Okt

7)Kursus Haji Perdana (2 episod) -30 Okt & 2 Nov

8)Soal Jawab Haji (4 episod) -3 – 6 Nov

Kemuncak projek ini ialah program Berita dan Hal Ehwal Semasa secara langsung dari Tanah Suci Mekah; ‘Khabar Haji’ yang akan bersiaran pada setiap hari, jam 10 malam bermula dari 7 November sehingga 30 November 2009, 3 hari selepas hari Wukuf. Program Berita dan Hal Ehwal Semasa Khabar Haji ini pula mendapat kerjasama dan kolaborasi daripada Kedutaan Arab Saudi, Kuala Lumpur, Kementerian Penerangan Arab Saudi dan RL Success Global S/B; bagi pihak Iqraa TV di Arab Saudi.

Sebagai membalas kesetiaan penonton dan bersempena sambutan ulangtahun ke-2 Astro Oasis, satu peraduan kempen Haji ‘Selangkah Pengabdian’ telah diadakan yang menyediakan hadiah paling istimewa peluang seumur hidup, 4 pakej Haji untuk tahun 2010 yang bernilai RM30,000 setiap seorang.

Para pelanggan hanya menonton dan memberi 3 nama program yang berkaitan Ibadah Haji di saluran Astro Oasis bersama slogan, “Saya berhajat menunaikan Haji bersama AstroLife dan Astro Oasis kerana … (tidak melebihi 150 patah perkataan).

Semua penyertaan hendaklah dihantar ke Peraduan Astro Life & Astro Oasis, Bahagian Pemasaran, Tingkat 3, Pusat Penyiaran Asia, Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, 57000 Kuala Lumpur. Butir-butir peribadi seperti nama penuh dan nombor akaun Astro hendaklah disertakan.

Bagi menyemarakkan lagi kempen Haji Selangkah Pengabdian ini, satu laman web khas telah disediakan bagi kemudahan semua.

Laman web ini akan menawarkan pelbagai informasi terkini secara terus dari Arab Saudi untuk melaporkan Haji pada tahun ini.

Di antara kandungan-kandungan yang boleh didapati melalui laman web ini ialah warkah dari mekah iaitu blog catatan harian delegasi Krew Khabar Haji, rakaman video eksklusif yang dirakam sepanjang musim Haji yang tidak disiarkan di televisyen, informasi tentang perbezaan cuaca di tanahair dan di Mekah, galeri gambar dan video kenangan perjalanan jemaah haji musim ini, serta ucapan interaktif kaum keluarga dan sahabat handai buat jemaah haji.

Orang ramai juga dijemput untuk melayari laman web www.astro.com.my/khabarhaji untuk keterangan lanjut.

Projek ini digembelingkan oleh Astro Oasis dan dibantu Astro Awani manakala Hajaba Boutique menyediakan penajaan pakaian krew yang bakal bertugas di Arab Saudi.

Delegasi krew ‘Khabar Haji’ musim 1430H seramai 10 orang kakitangan Astro Oasis, Astro Awani dan Astro Production ini diketuai sendiri oleh Pengurus Saluran Astro Oasis, Tuan Haji Izelan Basar.

Jangan lupa untuk menonton laporan berita terkini bersiaran secara langsung dari Tanah Suci Mekah di sepanjang musim haji kali ini. Semua ini eksklusif untuk penonton saluran Astro Oasis (Saluran 106).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan