Kembara bersama Belalang kenali kisah lagenda Melayu Oktober Ini!

Diterbitkan: Selasa, 13 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Antara pelakon Belalang; Epik Anakanda Nujum Diraja.
Antara pelakon Belalang; Epik Anakanda Nujum Diraja.

ASTRO ingin mengajak para penonton mengembara bersama Belalang untuk mengenali pelbagai kisah rakyat dan lagenda Melayu yang telah diolah dengan pengisian berbentuk hiburan dan turut diselitkan dengan elemen pengajaran yang pastinya menghiburkan menerusi drama bersiri terbaru berjudul Belalang; Epik Anakanda Nujum Diraja yang bakal bersiaran bermula 14 Oktober 2009 jam 10 malam menerusi Astro PRIMA (saluran 105).

Drama 26 episod yang diilhamkan oleh Adlin Aman Ramlie di bawah arahan pengarah Opie Zami yang turut memegang watak Tok Panglima dalam drama ini dibintangi oleh barisan gabungan pelakon baru dan lama seperti adik Hadziq, Sobri Anuar, Ery Putra, Ruminah Sidek, Opie Zami, Zami Ismail, Bob Kuman, Yassin Senario, Erin Malek dan ramai lagi.

Kisahnya yang banyak berhubung kait dengan kisah-kisah lagenda Melayu tetapi telah diubahsuai dengan pengisian yang lebih segar untuk menjadikannya lebih menarik dan sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

Pelbagai watak-watak lagenda yang akan terlibat dalam pengembaraan Belalang seperti Hang Tuah, Mat Jenin, Badang, Nenek Si Bongkok Tiga, Pekan, Melor, Luncai dan Ahmad Albab.

Menariknya di sini ialah kesudahan cerita akan memberikan pengakhiran yang berbeza daripada apa yang telah diceritakan melalui hikayat atau cerita rakyat yang telah lama dipercayai sejak turun temurun.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, ”Astro amat peka dengan permintaan para pelanggan yang sering dahagakan barisan program berkualiti yang menghiburkan untuk tontonan mereka seisi keluarga. Berasa terpanggil dengan tanggungjawab untuk menyajikan yang terbaik buat para pelanggan, Astro Prima dengan berbesar hati membawakan sebuah lagi drama hebat berjudul Belalang; Epik Anakanda Nujum Diraja terus ke kaca televisyen khas buat para pelanggan.”

Nizam turut menambah,”Drama-drama bersiri yang ditayangkan di saluran Astro Prima tidak hanya menekankan kepada elemen hiburan semata-mata tetapi juga elemen pembelajaran dan tauladan yang dapat diikuti di akhir setiap episod. Berikutan penerimaan positif yang diterima untuk drama-drama lain yang berjaya mencetuskan fenomena hebat seperti Mertua VS Menantu, 3 Janda, Cinta Gila, Kasut Tumit Tinggi, Di Bawah Ketiak Isteri dan yang terbaru Kasih Tercipta, kami berharap drama Belalang juga mampu mengulangi fenomena tersebut dan mampu mengumpulkan jumlah penonton yang tinggi dan tersendiri kelak.”

“Konsep penceritaan drama Belalang ini adalah berkonsepkan pengembaraan yang akan didokong oleh watak utama seorang kanak-kanak lelaki bernama Belalang yang akan berdepan dengan pelbagai watak tradisional daripada pelbagai rentetan peristiwa yang pelik, lucu, sedih dan menggerunkan.” “Watak Belalang ini akan terlibat secara langsung dalam siri kejadian yang akan mematangkan dirinya di samping memberi manfaat-manfaat baru kepada watak-watak lain yang berdepan dengan masalah semasa.”

“Kesudahan cerita akan memberikan keputusan yang berbeza daripada apa yang kebanyakkannya tertulis di dalam hikayat mahupun cerita-cerita rakyat yang telah lama dipercayai sejak turun-temurun. Secara umumnya, watak belalang akan dilihat sebagai wira baru di dalam percaturan watak-watak tradisi,” tambah Nizam lagi.

Drama menarik ini mengisahkan Belalang yang dilakonkan oleh adik Hadziq merupakan anak seorang Nujum DiRaja yang terlalu benar ingin merantau mencari ilmu di dada.

Namun bapanya (lakonan Sobri Anuar), sering saja mencari alasan agar Belalang tidak pergi jauh daripadanya. Risaukan keselamatan anaknya, Belalang disuruh berguru pencak dengan Tok Panglima di kampung sebelah sebagai bekalan andai perjalanannya itu kelak diduga dengan segala yang jahat.

Belalang yang tidak suka keganasan terpaksa menurut kerana janji bapanya, sesudah berguru silat bolehlah dia mengembara. Raja (lakonan Ery Putra) bagaimanapun telah mendapat tahu niat murni Belalang itu dan menabalkan Belalang sebagai Utusan Kecil DiRaja yang turut dikurniakan Alat Kebesaran DiRaja yang dipanggil Tinta Raja yang terdiri dari pena duri landak emas, dilengkapi dengan tinta sakti berupa dakwat dan selembar kulit emas rusa putih yang darinya dapatkan Belalang menuliskan dan menghimpun segala ceritera manusia sepanjang perjalanannya bagi faedah istana dan rakyat jelata.

Masalah utama yang dihadapi Belalang adalah apabila dia sebenarnya buta huruf dan tidak pandai membaca. Dengan nujuman dan restu bapanya, berangkatlah Belalang mengembara mencari guru yang dapat mengajarkannya mengeja dan membaca.

Banyaklah rintangan yang dihadapinya dalam menamatkan pembelajarannya sebelum mampu mula menulis. Sebagai permulaan, dilukislah saja bentuk-bentuk pengalamannya ke dalam Tinta DiRaja itu. Sepanjang pengembaraannya itu, banyaklah manusia dan kejadian yang dialaminya yang rata-rata kejadian dan kisah-kisah malang belaka.

Maka terpanggillah Belalang untuk berbuat sesuatu dengan harapan membantu mereka-mereka keluar dari nasib buruk yang mungkin menimpa mereka. Harapannya juga untuk pulang bersama cerita-cerita hebat tentang bangsanya.

Jangan lupa saksikan drama bersiri Belalang; Epik Anakanda Nujum Diraja yang bakal bersiaran menerusi Astro Prima (saluran 105) setiap Rabu bermula 14 Oktober 2009 jam 10 malam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan