Yusof Haslam: Saya nak 'psiko' Syamsul!

Diterbitkan: Isnin, 12 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Datuk Yusof Haslam bersama isteri tercinta, Datin Fatimah Ismail - foto THE STAR oleh SAMUEL ONG
Datuk Yusof Haslam bersama isteri tercinta, Datin Fatimah Ismail - foto THE STAR oleh SAMUEL ONG

CUKUP bersemangat penerbit dan pengarah tersohor ini bila berbicara tentang anak bujangnya, Syamsul Yusof.

Tidak hanya bercerita tentang projek baru anaknya itu, Datuk Yusof Haslam sesekali tersenyum sambil mengenangkan 'kerenah' pelakon dan pengarah muda itu yang adakalanya memeningkan kepalanya.

Perbezaan pendapat antara mereka di dalam banyak perkara, terutamanya berkaitan bidang pengarahan, kadang-kadang boleh membawa kepada keadaan yang agak 'panas'.

Tetapi sebagai bapa, Yusof merasakan itu adalah senario biasa yang sering berlaku di dalam hubungan anak-beranak.

Malah, kata pengarah berusia 55 tahun itu, walaupun hati anak lelakinya itu agak 'keras', namun Syamsul tetap menghormati nasihat dan mendengar cakapnya sebagai seorang bapa.

Dan menurut pemilik Skop Productions ini, dia dan Syamsul juga akan bergabung tenaga untuk menghasilkan sebuah filem tidak lama lagi, walaupun sering mempunyai idea yang berbeza.

Ditanya mampukah anak-beranak ini menjadi pengarah bersama sedangkan Syamsul sendiri pernah mengaku agak kurang 'selesa' bila bapanya datang ke lokasi penggambaran filem arahannya, sambil tersenyum, Yusof menjawab:

"Kombinasi memang perlu dibuat. Sebagai orang lama dalam bidang ini, saya tahu apa yang boleh atau tidak dilakukan. Tapi apapun, saya tidak akan campur atau sekat kreativinya.

"Bukannya kami akan duduk bersama mengarah semua babak...ada separuh yang akan diarahkan oleh saya dan separuh lagi akan dibuat olehnya.

"Lagipun, tujuan saya untuk buat kombinasi ini salah satunya adalah untuk kuatkan semangat Syamsul. Saya nak 'psiko' dia, mungkin bila dia nampak saya buat kerja dengan cepat, dia akan rasa segan dan oleh kerana itu, dia juga akan cuba lakukan kerjanya dengan cepat.

"Tetapi satu perkara yang tidak dapat saya nafikan, walaupun Syamsul kadang-kadang suka tangguh siapkan kerja, tapi hasilnya tetap bagus dan memuaskan hati saya.

"Untuk projek bersama saya dengan Syamsul itu, kami belum buat keputusan genre apa yang akan diketengahkan. Tapi setakat ini, kami sudah ada dua tiga tajuk untuk dipilih," kata Yusof yang ditemui pada majlis rumah terbuka di banglo mewahnya, Darul Haslam, di Taman Melawati, Hulu Klang, kelmarin.

Ujar Yusof yang kali terakhir mengarah filem Sembilu 2005 dan Gerak Khas The Movie 3 pada tahun 2005 sebelum memberi memberi fokus yang lebih terhadap penerbitan drama, dia bagaimanapun ingin memberi laluan kepada Syamsul menyiapkan dulu projek filemnya Evolusi KL Drift 2 yang dijangka akan berada di pawagam pada awal tahun depan serta beberapa projek lain.

Mengulas mengenai filem Evolusi KL Drift 2, ujar Yusof, dia amat berpuas hati dengan sekuel filem itu yang disifatkannya jauh lebih baik berbanding penghasilan Evolusi KL Drift pertama dulu.

Walaupun isu pengharaman drama mahupun filem yang menampilkan aksi lumba haram dan rempit atau samseng jalanan hangat diperkatakan sehingga kini, Yusof yakin filem Evolusi KL Drift 2 masih boleh ditayangkan kerana mempunyai pengakhiran filem yang ada mesej tersendiri

"Dengan kos yang paling tinggi dalam sejarah penghasilan filem Skop Productions iaitu mencecah RM2.4 juta dan 'meleburkan' dua buah kereta dalam filem ini, saya berpuas hati dengan keseluruhan hasil kerja Syamsul ini.

"Dan saya juga sudah dipanggil oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) berkenaan isu itu. Saya sudah jelaskan kepada mereka tentang filem ini. Lagipun, jika setakat memaparkan aksi drift, saya tidak rasa ia terlalu teruk.

"Kalau nak fikir sudut negatif saja, susahlah untuk pembikin filem. Bagi saya, apa yang pentin adalah pengakhiran filem itu kerana setakat ini, filem-filem terbitan saya memang mempuyai mesej di penghujung cerita," katanya.

Malah, kata Yusof lagi, isu itu juga tidak menghalangnya untuk meminta Syamsul menghasilkan sekuel filem Bohsia:Jangan Pilih Jalan Hitam tidak lama lagi, berjudul Bohsia: Jalan Kembali.

"Kenapa perlu takut kerana itu adalah isu semasa. Bagi saya, ada benda-benda baik yang boleh kita paparkan menerusi isu ini. Bukannya kami ingin mendewa-dewakan mat-mat rempit kerana masalah ini sudah berlaku berpuluh-puluh tahun dulu.

"Sebagai pembikin filem, kita akan cuba sedaya-upaya buat yang terbaik, bukan untuk menjual maruah bangsa. Ini memang satu cabaran sebenarnya, tetapi saya yakin LPF juga agak liberal dan boleh dibawa berbincang.

"Apapun, skrip sekuel filem Bohsia itu nanti akan saya hantar dulu kepada LPF untuk diteliti," kata Yusof yang menambah, penghasilan filem itu berkemungkinan akan dibuat pada awal tahun depan.

Tak galak Syamsul jadi penyanyi?

Bukan saja berbakat di dalam bidang lakonan dan pengarahan, Syamsul juga kini melangkah setapak lagi dengan cuba berjinak-jinak di dalam bidang nyanyian pula.

Single pertamanya berjudul Bidadari juga sudah memasuki carta lagu baru di Hot FM. Syamsul juga turut menyanyikan lagu runut untuk filem Evolusi KL Drift 2.

Ditanya tentang pembabitan anaknya di dalam bidang nyanyian, kata Yusof, dia pada awalnya tidak bersetuju apabila Syamsul ingin cuba menyanyi.

"Mula-mula memang saya tidak bersetuju, tetapi bila dengar dia menyanyi saya rasa dia ada bakat dan tidak salah untuk dia cuba. Afdlin Shauki juga adalah seorang pelakon dan pengarah yang berjaya tetapi pada masa yang sama, dia juga boleh menyanyi.

"Lagipun, saya tahu Syamsul buat benda ini sekadar untuk kepuasan, bukannya sepenuh masa. Dan saya sendiri memang menggalakkan dia letakkan fokus yang lebih terhadap bidang pengarahan dan lakonan dulu," ujar Yusof.

Tutur Yusof lagi, dia juga ingin menggalakkan Syamsul menghasilkan sekurang-kurangnya dua buah filem setahun dan berhasrat untuk memberi peluang kepada pengarah-pengarah muda yang lain.

"Memang saya ada terfikir untuk berbuat demikian. Anak saya sendiri, Faizal Yusof, saya sudah nampak bakatnya. Begitu juga dengan seorang lagi anak lelaki saya, Mohd Shafiq yang kini sedang belajar jurusan filem di Lim Kok Wing.

"Saya rancang untuk beri peluang kepada dia untuk mengarah filem dalam masa tiga tahun lagi. Bukan hanya anak-anak saya, pengarah-pengarah muda lain juga akan saya ambil," katanya.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan