Farid Kamil bertemu waris Awang demi LAPKD

Diterbitkan: Ahad, 11 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Farid gembira filem Lembing Awang Pulang Ke Dayang akhirnya akan memasuki pawagam setelah empat tahun menunggu
Farid gembira filem Lembing Awang Pulang Ke Dayang akhirnya akan memasuki pawagam setelah empat tahun menunggu

SEHINGGA hari ini, sudah banyak filem yang menampilkan aktor kacak ini sebagai hero.

Mula diberi kepercayaan sebagai hero menerusi Tujuh Perhentian kira-kira lima tahun lalu, Farid Kamil terus 'laku' dilamar produser filem untuk menggalas watak utama di dalam filem-filem terbitan mereka.

Meskipun sudah beberapa kali muncul sebagai hero filem selama beberapa tahun ini, dia sebenarnya akui tidak sabar untuk menantikan tayangan filem Lembing Awang Pulang Ke Dayang (LAPKD) yang sebenarnya adalah filem kedua dia membawakan watak hero.

LAPKD adalah sebuah filem epik yang dihasilkan kira-kira empat tahun lalu, namun kerana masalah-masalah tertentu, ia mengambil masa yang agak lama untuk ditayangkan.

Dan kini, filem arahan Majed Salleh ini akan muncul di pawagam-pawagam seluruh Malaysia bermula 22 Oktober ini yang mana selain Farid, ia juga dibintangi oleh pelakon-pelakon seperti Siti Elizad, Zul Huzaimy, Khir Rahman, Kuswadinata, Datuk Musthapa Maarof, Datin Rosnani Jamil, Uji Rashid, Hattan dan M.Rajoli.

Menurut Farid, dia gembira kerana filem yang diilhamkan daripada novel tulisan sasterawan Shaharom Husain itu akhirnya dapat juga menemui penonton setelah sekian lama.

"Filem ini memang agak istimewa kepada saya apatah lagi LAPKD adalah peluang kedua saya sebagai hero di dalam filem selepas 7 Perhentian.

"Dan apa yang menariknya, ada beberapa babak di dalam filem ini saya lakonkan ketika berusia 22 tahun dan selebihnya ketika saya berumur 25 tahun kerana filem ini menjalani penggambaran semula atas beberapa sebab.

"Disebabkan itu, saya boleh nampak perbezaan dari segi lakonan saya sewaktu penggambaran pertama dan juga di dalam babak-babak tertentu sewaktu penggambaran semula," kata Farid yang ditemui pada majlis prebiu filem itu, baru-baru ini.

Antara punca filem terbitan Dayang Digital Sdn Bhd ini mengambil masa yang panjang untuk ditayangkan ialah kerana pelakon yang membawakan watak Dayang bertukar tiga kali, pengambaran terhenti selama satu tahun, pertukaran pengarah dan berbagai perubahan berlaku sebelum pengambaran filem berjaya ditamatkan pada Disember 2005.

Watak Dayang sebelum ini pernah menjadi milik Fasha Sandha, Maya Karin dan Datin Natasha Hudson sebelum akhirnya diserahkan kepada Siti Elizad.

Mengulas lanjut tentang karektornya sebagai Awang di dalam filem yang menelan kos kira-kira RM1.8 juta ini, Farid akui, pada ketika itu, dia tidak begitu puas melakonkan watak tersebut.

"Pada ketika itu, saya masih baru dalam bidang ini. Banyak perkara yang sebenarnya boleh diperbaiki lagi. Apapun, saya tetap membuat kajian terhadap watak Awang itu.

"Saya belajar bersilat selama lebih sebulan dan satu lagi pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah saya berpeluang bertemu dengan waris Awang di Johor yang pernah melihat sendiri lembing sakti Awang itu," ujar Farid.

LAPKD mengisahkan cerita yang terjadi kira-kira 200 tahun dahulu di sebuah pekan bernama Padang (sekarang di daerah Muar). Terdapat seorang gadis rebutan pemuda kampung bernama Dayang (Siti Elizad), tetapi Dayang menaruh hati terhadap Awang (Farid Kamil), pemuda tampan harapan Padang.

Kisah LAPKD merupakan sebuah hikayat disekitar kurun ke-17 yang berkisar di Padang, Johor. Ia mengisahkan pengembaraan Awang selama 3 tahun bagi menyempurnakan adat untuk mengahwini kekasih hatinya, Dayang.

Dalam pengembaraan Awang, dia mula memahami erti hidup dan mempelajari sejarah kebesaran keluarganya. Dia juga bertemu beberapa watak dimana dia mampu menimba ilmu, menjalin persahabatan dan menerima penghormatan.

Sepeninggalan Awang, hati tunangnya Dayang cuba dicuri oleh Bachok dengan bantuan guru silatnya, Panglima Merah, bekas ketua lanun yang amat digeruni diperairan laut Melaka.

Setelah menempuh pelbagai dugaan dan cabaran, Awang dianugerahkan dengan dua bilah lembing pusaka bernama Lembing Laki dan Lembing Bini.

Namun, sekembalinya Awang ke kampung halamannya, dia dikejutkan dengan berita perkahwinan Dayang dan Bachok. Perkara itu telah mencetuskan kemarahan Awang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan