Farawahida: Saya tak nak percaya orang lain lagi!

Diterbitkan: Khamis, 8 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Farawahida berhasrat untuk menjadi pengacara dan berlakon teater. -Foto THE STAR oleh AZMAN GHANI
Farawahida berhasrat untuk menjadi pengacara dan berlakon teater. -Foto THE STAR oleh AZMAN GHANI

"SAYA tak nak ambil tahu pasal benda ini.. Ini kena tanya dialah," luah penyanyi Farawahida ketika ditanya sama ada perasaannya tersentuh mendengar perkhabaran bekas pengurusnya Julfekar yang menangis apabila mendengar khabar angin kononnya penyanyi itu membunuh diri baru-baru ini.

Pelantun lagu 'Tanpamu' ini tidak menunjukkan apa-apa reaksi spontan seperti terharu dan terkejut. Malah Farawahida atau Fara nampak seolah-olah tidak ambil pusing tentang perkara itu.

"Siapa tahu? Sebab diri saya sendiri pun ada sedikit masalah. Jadi saya tak nak fikir sebab saya tak nak percaya orang lain lagi selepas ini kecuali famili saya," akui Fara yang ditemui pada rumah terbuka raya anjuran Suria FM di Hotel Concorde Kuala Lumpur, semalam.

Komposer itu dikatakan amat risau dan menangis kerana tidak ingin apa-apa yang buruk berlaku keatas Farawahida biarpun mereka masih ada konflik dan pertikaian berhubung kontrak Fara.

Pada masa yang sama, kedengaran cakap-cakap mengatakan gosip liar Fara membunuh diri itu adalah suatu "gimik" semata-mata oleh pihak tertentu termasuk Fara sendiri.

"Saya tidak tahu adakah benda itu macam satu "gimik"? Saya tak boleh kata gimik sebab orang lain akan kata saya yang reka cerita itu.

"Saya tak akan buat cerita-cerita bodoh macam ini sebab dari Islam, benda ini dari hati.. nawaitu, niat niat seseorang itu," ujar Fara.

Sambil mengenangkan saat meletusnya gosip liar itu, Fara berkata dia masih beraya di Taiping dan hanya mengetahuinya menerusi satu panggilan daripada kawan rapat.

"Pertama kali dapat panggilan daripada kawan saya, saya ok lagi. Tapi bila ramai kawan, editor dan wartawan saya hubungi saya, saya tahu gosip liar itu sudah tersebar.

"Saya tidak tahu kenapa cerita itu boleh disebarkan. Ia tidak mempengaruhi saya apa-apa pun. Sebab sebelum ini pun macam-macam kontroversi yang saya hadapi.

"Saya cuma ambil gosip bodoh ini dan buang dalam tong sampah," luah Fara dalam nada tegas.

Mengenai perkembangan terbarunya, Fara berkata, dia masih sibuk dengan pertunjukan pentas dan mungkin akan berlakon teater bangsawan pada hujung tahun ini.

"Sekarang saya dah dapat tawaran dan skrip cuma belum ada hitam-putih. Kita tengok macam mana.. jika betul rezeki saya, saya akan rebut peluang ini sebaiknya.

"Bukan sahaja bidang lakonan, saya nak cuba bidang pengacaraan juga. Bagi saya yang sifar pengalaman, lebih baik berlakon dalam teater terlebih dahulu.

"Ini boleh meningkatkan mutu lakonan saya malah ada orang yang boleh menegur cara lakonan saya nanti," tutur Farawahida.

Ditanya sama ada kontroversi yang menyelubunginya akan menghalang usahanya bertapak dalam bidang lakonan, kata Farawahida:

"Taklah. Saya fikir Tuhan sahaja dan Tuhan tahu apa-apa yang saya lakukan. Walaupun macam-macam yang saya buat, saya fikir ini ada hikmah dan dugaannya.

"Semua orang ada masalah, cuma macam mana kita nak kendalikannya," katanya.

Malah katanya lagi, sokongan ahli-ahli keluarganya banyak membantunya menangani masalah-masalah yang melanda.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan