Linda enggan komen perpisahan Scha-Fahrin

Diterbitkan: Isnin, 5 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Linda mendiamkan diri terhadap segala cemuhan dan kritikan yang diterimanya selama ini. -Foto MSTAR oleh AU YEONG HOW
Linda mendiamkan diri terhadap segala cemuhan dan kritikan yang diterimanya selama ini. -Foto MSTAR oleh AU YEONG HOW

SEMASA tersebarnya berita tidak wujud lagi persefahaman dengan bekas 'teman tapi mesra' Fahrin Ahmad pada tahun lalu, pelakon serta penyampai radio Sinar FM, Linda Onn bertindak mendiamkan diri.

Ekoran itu, akui Linda, beliau dipersalahkan oleh banyak pihak malah para wartawan pun marah dan 'menghentamnya'.

Namun, Linda menelan segala cemuhan dan kritikan itu umpama menelan air liur biarpun tindakannya mendiamkan diri itu hanya mengundang persepsi salah dan tanggapan meleset terhadapnya.

Hari ini, Linda tetap mengambil pendekatan yang sama, iaitu berdiam diri, apabila Fahrin dikhabarkan telah berpisah dengan aktres and pengacara sedang meningkat naik, Scha Alyahya.

"Betul ke? Saya betul-betul tak tahu. Serius? Kalau boleh, saya tak nak tahu dan kalau boleh tak nak ambil tahu. Perhubungan di antara kami berdua dah menjadi lipatan sejarah."

"Saya tidak mempunyai apa-apa komen mengenai mereka kerana saya tidak nak masuk campur. Saya zip mulut sahaja," kata Linda yang ditemui semasa Pertandingan Kek Coklat Ketiga yang berlangsung di Great Eastern Mall, Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Linda menjadi artis Hotel Holiday Inn Glenmarie dalam mempromosikan kek-kek dijual RM15 sekeping untuk tujuan amal.

Persoalannya mungkinkah Fahrin yang bermasalah dalam perhubungan dengan Linda suatu ketika dulu?

Linda menjawab biarlah masa menunjukkan kebenarannya. "Hari ini dan masa depan, biar orang yang menilai apa yang berlaku. Saya kekalkan pendirian saya untuk berdiam diri. Apa-apa (cerita) yang keluar itu adalah dari mulut orang lain dan bukan dari mulut saya."

Ditanya kemungkinan hatinya masih terbuka untuk menerima Fahrin, gelengan kepala Linda sudah menjelaskan segala-galanya.

"Bila kami bersama, orang tanya mengapa dengan dia. Bila kami dah berpisah, orang tanya mengapa saya tidak balik kepadanya. Orang akan cakap sampai bila-bila. Kita tidak boleh menghalang mereka bercakap.

"Apa yang penting, kita tahu apa yang terbaik buat diri kita," ujar Linda sejujurnya.

Menurut Linda, dia berasa lebih selesa hidup bersendirian dan tidak mempunyai lelaki istimewa di hatinya buat masa ini.

Ramai menelah, perpisahan Fahrin dan Scha itu, bagaikan sejarah berulang kembali apabila jodoh pengacara bersama 'Sehati Berdansa' hanya terbatas di set lokasi program realiti berkonsepkan tarian tersebut.

Fahrin bakal mengacara bersama Scha, Sehati Berdansa musim ketiga yang bakal disiarkan di Astro Ria (saluran 104, Astro) tidak lama lagi.

Sebelum ini, Linda digandingkan bersama Fahrin dalam 'Sehati Berdansa' untuk dua musim berturut-turut sebelum Linda digugurkan pada saat-saat akhir untuk memberi laluan kepada Scha.

Menjawab pertanyaan wartawan sama ada Scha boleh mengacarakan program itu ketika percintaannya dengan Fahrin berkecai, Linda berkata, Scha boleh melakukannya jika dia seorang yang profesional.

"Kalau saya boleh, mengapa tidak Scha? Soal peribadi perlu diketepikan di tempat kerja. Profesionalisme perlu didahulukan di tempat kerja," kata Linda.

Mengenai penampilan julung kalinya di Pertandingan Kek Coklat, Linda berkata dia teruja menyertainya untuk tujuan amal. Segala hasil jualan kek itu akan disalurkan ke Dana Kanak-Kanak Great Eastern.

Secara berseloroh Linda berkata, dia habis menjual kek-kek dalam masa setengah jam.

Resipi kejayaannya menjual kek-kek? "Saya melelongnya dengan berkata terdapat tiga perisa dalam setiap kek iaitu oren, coklat dan rasperi," kata Linda sambil melirikkan senyuman manisnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan