'Cik Ah Cik Nin' kisah 2 gadis lurus bendul dan kuat berangan

Diterbitkan: Isnin, 5 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SALURAN yang diberi nafas dan wajah baru dengan menyediakan kandungan-kandungan tempatan khusus disasarkan untuk tontonan penonton-penonton Melayu seisi keluarga, Astro PRIMA (saluran 105) dengan bangganya mempersembahkan sebuah lagi drama bersiri komedi yang berjudul 'Cik Ah Cik Nin' pada setiap hari Selasa, jam 10 malam bermula pada 6 Oktober ini.

Drama bersiri 13 episod ini bakal menyaksikan lakonan mantap dari barisan pelakon baru yang sedang meningkat naik seperti Puteri Fateen , Sherry Ibrahim dan Pierre Andre selaku teraju utama. Drama bersiri komedi ini menjadi bertambah bertuah apabila mendapat kerjasama dari pelakon baru dan lama serta komedi seperti Pierre Andre, Khatijah Tan, Mak Jah, Abu Bakar Juah, Zami Ismail, Zila Bakarin, Zizie Ezzette, Shamsul Yusoff, Rosnah Mat Aris, Sulaiman Yasin, Radhi Khalid dan ramai lagi.

Pengurus Saluran Astro PRIMA, Encik Nizam Sani berkata, “Kami mengambil watak dari cerita rakyat popular iaitu Pak Pandir dan Mat Jenin sebagai objek dalam penceritaan bagi drama bersiri komedi pada kali ini tetapi dengan mengolah semula watak-watak itu sebagai watak wanita untuk disesuaikan dengan zaman serba moden kala ini.

"Saya percaya kombinasi pelakon baru dan lama adalah resipi utama bagi drama komedi bersiri pada kali ini.

"Saya percaya lakonan mereka yang spontan dan bersahaja bakal menjadi aset dan daya tarikan utama bagi drama bersiri ini.

"Tambah menarik apabila drama bersiri ini berjaya mengumpulkan ramai pelakon komedi senior seperti Zami Ismail, Sulaiman Yasin, Radhi Khalid, Rosnah Mat Aris dan ramai lagi dalam menjayakan drama komedi yang bakal menjadi salah satu taruhan utama bagi Astro Prima sebelum melabuhkan tirainya buat tahun ini.”

Drama bersiri ini mengisahkan tentang Dira (Puteri Fateen) dan Nina (Sherry Ibrahim) adalah dua sahabat baik yang telah membesar bersama kerana keakraban keluarga mereka berdua. Kisah bermula apabila mereka telah dilahirkan pada hari yang sama.

Nama Dira diilhamkan dari nama Sudirman Hj. Arshad kerana ibunya peminat penghibur itu.

Nama Nina pula berasal dari ribut La Nina kerana dia dilahirkan ketika ribut melanda.

Walaupun perwatakan mereka berdua berbeza, mereka berkawan kerana keluarga mereka yang sememangnya rapat.

Dira seorang gadis yang sangat lurus bendul dan selalau mensalah tafsirkan maksud orang.

Dia bagaikan Pak Pandir di kampungnya disebabkan sifatnya yang lurus bendul. Nina lebih bijak dari Dira tetapi perangainya yang kuat berangan selalu mengakibatkannya berada dalam situasi yang kelakar dan memalukan.

Angan-angannya selalu datang pada masa yang paling teruk bagai Mat Jenin di atas pokok kelapa. Mereka berdua membesar dan hidup di kampung bersama keluarga masing-masing.

Kisah dua gadis ini bermula apabila seorang jejaka baru pindah ke dalam kampung mereka. Maka bermulalah misi Nina untuk mengetahui siapakah jejaka tampan itu.

Dira seperti biasa menurut saja idea dan angan-angan si Nina. Nina pula sudah asyik membayangkan bermacam-macam situasi demi mengenali hero baru kampung.

Berjayakah mereka mengenali jejaka yang heboh diperkatakan oleh orang kampung mereka?

Apa pula gelagat mereka dalam mengenali hero kampung itu?

Sama-sama kita ikuti kisah mereka dalam Cik Ah Cik Nin pada setiap hari Selasa, bermula 6 Oktober, jam 10 malam, hanya di Astro Prima (saluran 105).

iklan

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan