Betty jadi peguam India untuk 'cover' jerawat

Diterbitkan: Jumaat, 2 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Betty ketika melakonkan watak Nora dalam drama 26 episod 'Bagi Balik Jandaku'. -foto ihsan BETTY
Betty ketika melakonkan watak Nora dalam drama 26 episod 'Bagi Balik Jandaku'. -foto ihsan BETTY

IMPIAN aktres Betty Banafe untuk membuat penonton ketawa akhirnya terlaksana setelah melihat reaksi penonton di dalam pawagam ‘tidak kering gusi’ ketika menonton watak lakonannya dalam filem ‘Jin Notti’ yang sedang ditayangkan sekarang.

"Saya rasa puas apabila ada penonton yang ketawa semasa sama-sama menonton di pawagam baru-baru ini," luahnya ceria di hujung talian.

Bagi penyanyi berwajah campuran Arab-Melayu-Jawa ini, dia memang menyukai cerita komedi namun belum pernah diberikan peluang untuk melakonkan genre itu.

Sehinggalah selepas dia berlakon dalam ‘Jin Notti’, barulah sekarang ini ada produser dan pengarah yakin untuk memberikannya berlakon dalam cerita komedi.

Sekarang ini, Betty sedang menjalani pengambaran drama 26 episod ‘Bagi Balik Jandaku’ arahan Aziz M. Osman yang bergenre komedi bersama pelakon komedi Shamsul Ghau Ghau dan Beego.

Cerita ini mengisahkan tentang Ramli lakonan Shamsul Ghau Ghau yang telah bercerai dengan Nora (Betty Banafe) dan selepas itu ‘gila talak’ kerana ingin merujuk semula dengan bekas isterinya itu.

Atas keegoannya itu, dia telah memaksa pekerja di pejabatnya, Fuad (Beego) untuk menjadi 'cina buta' dan berkahwin dengan Nora.

Namun, setelah berkahwin dengan Fuad barulah Nora memahami tentang cinta dan enggan bercerai dengan Fuad walaupun pada mulanya Ramli telah merancang untuk bernikah semula dengan Nora.

Akhirnya, Ramli merancang helah untuk meraih semula cinta Nora dan tercetuslah pelbagai aksi menarik yang perlu ditonton oleh penonton menerusi Astro Mustika ini.

Latar belakang ceritanya mungkin nampak ‘klise’ namun bagi Betty sendiri ceritanya memberikan kelainan kerana berbentuk komedi.

Idea peguam India untuk ‘cover’ jerawat

Berbalik kepada watak peguam India dalam 'Jin Notti' yang dilakonkan oleh Betty, pada asalnya, watak itu merupakan watak peguam Melayu.

Namun, disebabkan mahu menutup jerawat yang ada antara keningnya, timbullah idea Betty untuk meletak ‘pottu’.

“Tugas seorang pelakon adalah sebagai pemerhati dan menjadi lebih kreatif. Jadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengarah ‘Jin Notti’, Zack (Azhari Zain) kerana dia memberi saya peluang untuk membawakan watak orang India.

“Ikutkan, kerjasama yang baik dengan pengarah memang perlu diterapkan oleh seseorang pelakon itu,” katanya yang akui gemarkan filem bergenre komedi ringan itu.

Meriah beraya di Banafe Village

Tahun ini, Betty berkata dia merasa kelainan menyambut Hari Raya Aidil Fitri memandangkan dia meraikan bersama ramai pekerja di restorannya, Banafe Village di Johor Bharu.

“Banafe Village mempunyai hampir 150 pekerja dan raya tahun ini, saya dan keluarga mengumpul paling ramai pekerja yang datang ke rumah untuk menikmati makanan buffet yang disediakan

“Raya tahun ini juga meriah sebab ramai artis yang pergi ke Banafe Village yang turut menyediakan ‘live band’,” kata pelakon filem ‘Buai Laju-Laju’ dan drama ‘Spa Q’ ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan