Kakak Tua: Berkelahi dalam mimpi, tak ada faedahnya!

Diterbitkan: Selasa, 29 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

David Teo mengatakan sehingga lima hari ditayangkan pun, Momok mencapai kutipan RM1.25 juta, manakala Jin Notti hanya RM1.1 juta. - foto THE STAR oleh LOW LAY PHON
David Teo mengatakan sehingga lima hari ditayangkan pun, Momok mencapai kutipan RM1.25 juta, manakala Jin Notti hanya RM1.1 juta. - foto THE STAR oleh LOW LAY PHON

BILA dua penerbit terkenal Norman KRU dan David Teo cuba menegakkan kehebatan pencapaian filem masing-masing - Jin Notti dan Momok The Movie, yang tersepit membuat pilihan tentulah peminat filem Melayu.

Kebetulan dua-dua filem itu ditayangkan di hari lebaran, logiknya tentulah berduyun-duyun peminat filem Melayu pergi menonton.

Bagi Norman, dakwaan David yang mengatakan kutipan filem Momok mengatasi kutipan Jin Notti hanyalah "satu taktik kotor untuk memancing penonton".

Yang David pula dalam dakwaan membalas berkata, sehingga lima hari ditayangkan pun, Momok mencapai kutipan RM1.25 juta, manakala Jin Notti hanya RM1.1 juta.

Siapa betul, siapa salah adalah sesuatu yang sukar ditentukan waktu ini melainkan ada juruaudit bertauliah yang mengesahkan.

Kakak Tua paling suka perhatikan kenyataan dua pihak yang berbalah untuk mencari kepastian dan kebenaran. Tambahan pula bila kenyataan defensive disulami dengan emosi yang berlebihan hingga keluar tuduhan yang boleh melukakan.

Taktik kotor atau strategi pemasaran sekalipun, bukan itu yang penting. Pengisian filem yang sepatutnya diutamakan. Buat apalah heboh pasal filem laris atau 'box office' tapi filem itu langsung tidak mengesankan.

Macam kek ising yang dihias indah, harga saja mahal tapi rasa tak sesedap mana. Biar tentu makan kek biasa tapi enak dan tidak muak.

Selalunya bila sudah bergaduh atau bertelagah, kita lupa keadaan orang sekeliling yang asyik memerhati. Kadang tu, dalam keghairahan menegakkan kenyataan, kita terlupa menjaga tutur kata.

Lebih elok mengalah dari terbawa-bawa dengan perasaan kita sahaja yang benar, orang lain semua salah. Kata orang, keladi muda, muda buahnya... menurut hati muda, berkelahi sudahnya.

Bertelagah pasal perkara remeh begini sehingga sampai tahap cabar mencabar tidak akan bawa sebarang kebaikan. Lagipun setakat isu filem mana yang lebih laku, apalah sangat kepentingannya.

Kakak Tua cukup rimas mendengar dan membaca pasal orang bertelagah atau bergaduh. Kalau sekadar perselisehan pendapat tu masih boleh diterima tapi bila sampai mengelirukan peminat filem Melayu dalam isu filem Jin Notti Vs Momok The Movie, itu sungguh menjengkelkan.

Macam berkelahi dalam mimpi, berpenat-penat saja bergaduh, bila terjaga semuanya sia-sia. Lagipun genre dua buah filem ni bukan jauh sangat beza. Mungkin sentuhan saja yang lain. Tapi dari segi kandungan, bak kata mereka yang pernah menonton, biasa-biasa saja. Yang satu filem pasal jin, satu lagi pasal hantu. Jangan pula sampai kita meniru perangai dua makhluk ini bila membuat pertimbangan.

Bagi Kakak Tua, kewajaran bertengkar pasal filem siapa lebih hebat atau laku hanya layak dijadikan bahan lawak untuk Festival Filem akan datang saja.

KAKAK TUA: Cakap siang pandang-pandang...

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan