Tribut Yasmin Ahmad anjuran Cathay sepanjang bulan Oktober

Diterbitkan: Ahad, 27 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Yasmin Ahmad merupakan pengarah yang berbakat dan kreatif, filem arahannya bertemakan cinta dan jenaka yang sentiasa merentasi halangan budaya.
Yasmin Ahmad merupakan pengarah yang berbakat dan kreatif, filem arahannya bertemakan cinta dan jenaka yang sentiasa merentasi halangan budaya.

SATU penghormatan akan diberikan terhadap pengarah filem paling terkenal di Asia, Yasmin Ahmad, pada bulan Oktober ini bagi menghargai sumbangan beliau di dalam industri filem dan hiburan tempatan serta meraikan pencapaian luar biasa yang pernah dicapai beliau.

Tribut ini dianjurkan bersama oleh Cathay Organisation, Lighthouse Pictures, Grand Brilliance, Primeworks Studios, MHz Films dan Nusanbakti Corporation Sdn Bhd.

'YASMIN AHMAD: A TRIBUTE' adalah sebuah pameran eksklusif filem-filem yang dihasilkan oleh Yasmin, serta satu pratonton khas filem terbaru yang dihasilkannya 'Talentime', yang dijadual akan disiarkan lewat tahun ini.

Dikenali dengan lebih mesra sebagai "The Storyteller", filem-filem dan iklan televisyen Yasmin dikenali dengan tema cinta dan jenaka yang sentiasa merentasi halangan budaya.

Hasil kerjanya telah memenangi banyak anugerah-anugerah di Malaysia dan juga di platform antarabangsa. Terbaru, Yasmin telah memenangi anugerah Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-22 bagi filem terbaru arahannya 'Talentime'.

Filem-filem Yasmin Ahmad akan ditayangkan secara eksklusif di Cathay Cineplex Cineleisure Orchard, serta pratonton filem 'Talentime' pada 15 Oktober ini sebagai tanda pelancaran rasmi tribut ini.

Kelima-lima buah filem Yasmin iaitu 'Sepet', 'Gubra', 'Muallaf', 'Rabun' dan 'Mukhsin' akan ditayangkan bermula 16 hingga 18 Oktober.

Ketua Pegawai Cathay Organisation, Suhaimi Rafdi berkata: "Acara tribut ini adalah sebagai langkah untuk memperingati seorang insan seni yang amat ghairah, kreatif serta berbakat dan merupakan satu aset yang berharga untuk industri filem dan hiburan.

"Melalui tayangan eksklusif filem-filem Yasmin di Cineleisure Orchard, kami mahu semua orang di dalam industri perfileman, peminat-peminat filem, peminat dan penyokong Yasmin hadir untuk memberikan satu penghormatan kepada pengarah filem ini."

Semua tayangan adalah terbuka untuk orang awam pada harga umum RM15 setiap tiket dan RM12 setiap tiket untuk pelajar. Hasil penjualan tiket akan didermakan kepada Rumah Kanak-Kanak Pertapis yang didedikasikan kepada Yasmin kerana begitu menyayangi kanak-kanak.

Tempahan tiket bagi filem-filem tribut ini bermula pada 24 September dan tiket-tiket juga boleh dibeli melalui (http://tickets.cathay.com.sg) atau dari seluruh lokasi Cathay Cineplex.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai koleksi filem-filem Yasmin Ahmad, sila layari www.lhp.com.sg / yasmin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan