'Rumah Kecil Tiang Seribu' padat dengan inspirasi dan ibrah

Diterbitkan: Rabu, 23 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Dokumentari ”Rumah Kecil Tiang Seribu” menampilkan pengacara bual bicara Malaysia Hari Ini (MHI), Ahmad Fetri Yahya. -Foto THE STAR oleh RICKY LAI
Dokumentari ”Rumah Kecil Tiang Seribu” menampilkan pengacara bual bicara Malaysia Hari Ini (MHI), Ahmad Fetri Yahya. -Foto THE STAR oleh RICKY LAI

SUASANA kemeriahan dan kesibukan persediaan menjelang sambutan Syawal sudah pun dirasai.

Sudah menjadi tradisi, tahun ini TV3 turut tidak ketinggalan untuk menyajikan program-program Raya menarik, sajian khas untuk para penonton setianya.

Selain dari filem, muzikal, komedi drama, TV3 turut memaparkan dokumentari-dokumentari sempena Hari Raya.

“Rumah Kecil Tiang Seribu” merupakan salah satu dari dokumentari istimewa yang bakal disiarkan pada hari raya ke-5, sesuai untuk santapan rohani dan jiwa terutama sekali di bulan Syawal.

”Rumah Kecil Tiang Seribu” menampilkan pengacara bual bicara Malaysia Hari Ini (MHI), Ahmad Fetri Yahya yang bertindak sebagai penerbit rancangan dan juga pengantara program ini.

Program selama 30-minit ini akan membawa penonton mengikuti kisah yang dipaparkan melalui perspektif beliau sendiri.

Ahmad Fetri telah berkunjung dan meluangkan masa bersama-sama sukarelawan perubatan yang juga penceramah bebas, Dr. Jamnul Azhar Mulkan untuk mencungkil keunikan di sebalik kisah keluarga beliau dan keistimewaan Sekolah Rendah Bestari Darul Mulkan.

Soroti pengalaman Ahmad Fetri di dalam rancangan khas Syawal ini pada 24 September, raya ke-5, jam 1.00 petang di TV3.

Berikut adalah coretan/nukilan Ahmad Fetri tentang pengalaman beliau sepanjang proses penggambaran ”Rumah Kecil Tiang Seribu”:

"Rumah Kecil Tiang Seribu, Rumah Besar Tiang Sebatang"

Peribahasa Melayu sememangnya indah dan kaya makna tersirat. Pandangan orang dahulu kala terhadap alam dan dunia keliling menghantar makna yang besar kepada mereka.

Dari tafsiran itu, tercipta kiasan dan perlambangan yang ada kaitan dengan nota hidup manusia..

Ketika saya membuat tugasan di Darfur, Sudan dua tahun lalu, saya bersama-sama dengan seorang sukarelawan perubatan yang juga penceramah bebas- Dr Jamnul Azhar Mulkan.

Beliau yang begitu fasih berbahasa Arab, membacakan khutbah Jumaat di sebuah masjid di Darfur.

Ketinggian ilmu dalam bidang agama dan komitmen beliau yang cemerlang dalam bidang kesukarelawanan melayakkan beliau dianugerahkan Tokoh Perubatan Ibnu Sina oleh Universiti Malaya baru-baru ini.

Ketika berbual-bual dengan beliau, terpacullah kisah adik-beradiknya yang seramai 13 orang. Kesemua mereka mempunyai pangkal nama yang sama- JAMNUL. Jamnul dalam bahasa Arab bermaksud ‘permata’. Seorang anak perempuan, Jamnul Azizah, meninggal ketika kecil.

Permata bukan sebarang permata. 9 orang anak kepada Hj Mulkan Mohamad dan Hjh Jamiah Alias ini sudah menamatkan pengajian di Universiti Al Azhar Mesir dan Universiti Mu’tah Jordan dan 3 yang lain masih menuntut di Universiti Al Azhar.

Seorang anak perempuan, Jamnul Azizah, meninggal ketika kecil.

Dr Jamnul Azhar adalah anak sulung. Adik-beradiknya yang lain ialah Jamnul Azlin, Jamnul Azmin, Jamnul Aziah, Jamnul Azman, Jamnul Azazi, Jamnul Azizul Rahim, Jamnul Azua, Jamnul Azamimah, Jamnul Abdul Rahman, Jamnul Azlan dan Jamnul Azam.

Jamnul Azmin meninggal dunia 7 tahun lalu dalam kemalangan jalan raya. Pemergiannya mengiringi Jamnul Aziah dan ayahandanya, Hj Mulkan yang meninggal pada tahun 1999.

Hj Mulkan seorang pesara guru. Sama seperti isterinya, Hjh Jamiah. Cinta mereka terhadap ilmu dan agama sangat tinggi.

Seluruh harta Hj Mulkan telah digunakan untuk menampung pengajian anak-anaknya yang belajar agama di luar negara.

Tidak cukup dengan itu, arwah juga telah menubuhkan Sekolah Rendah Bestari Darul Mulkan, Kuala Sepetang untuk mengajar sendiri anak-anak dan cucu-cucunya tentang ilmu agama.

Bermula dengan didikan untuk anak sendiri, penduduk sekitar mula tertarik dengan konsep yang dibawakan Hj Mulkan.

Beliau ingin melahirkan anak bangsa yang kukuh pegangan agama berteraskan Al Quran. Sekurang-kurangnya mereka menyumbang sesutau kepada masyarakat saat ancaman hedonisme makin menghimpit dengan cabaran yang pelbagai.

Sekolah ini yang ditubuhkan pada 1987 begitu daif. Segala-galanya dibelanjakan menggunakan wang gajinya sendiri. Banyak juga harta terpaksa dijual untuk merealisasikan impian murni ini.

Ia tidak langsung bermotifkan keuntungan. Jauh sekali menyisih diri dari pendidikan arus perdana. Biarlah pelbagai cercaan dan tanggapan orang, niat kerana Allah melebihi segalanya.

Doanya hanya satu- mengharapkan Allah meredhai hasrat untuk membentuk insan bertaqwa yang seimbang dunia akhirat. Inilah ‘jihad’ yang diperjuangkan menggunaknan medan ilmu.

Berpuluh tahun berlalu, SRB Darul Mulkan berhasil melahirkan pelajar cemerlang pelbagai bidang. Anak-anak Hj Mulkan yang telah tamat pengajian di Universiti Al Azhar dan Universiti Mu’tah Jordan akan transit di sini sebagai guru agama.

Maka, tawaran gaji mewah bekerja dengan kerajaan dan syarikat lain ditolak ketepi demi memenuhi ‘wasiat’ ayah tercinta yang mahukan mereka berjuang dan berbakti di SRB Darul Mulkan.

Dr Jamnul Azhar yang memiliki tiga rangkaian klinik, menggunakan sumber kewangan dari kliniknya itu untuk membayar gaji adik-adiknya dan pekerja yang lain di situ.

Gaji mereka kecil dan kebanyakannya berkhidmat dengan sukarela termasuklah petugas kantin. Mereka ‘melabur’ untuk akhirat yang abadi.

Saya sendiri teruja dengan ‘JAMNUL’ ini. Semuanya berlidah fasih berbicara bahasa Arab, berhujah dengan hadis, memberi ceramah agama di merata tempat dan mengimamkan solat.

Peribadi mereka juga mulia dan saling sayang dalam satu keluarga besar. Hjh Jamiah kini tenang bersama anak dan menantu serta cucu seramai 38 orang.

Terbukti, mereka yang berjuang di jalan Allah, akan dibantuNya. Usaha keras puluhan tahun dahulu mula menampakkan hasil.

SRB Darul Mulkan yang serba sederhana tetapi tetap bernyawa dan bergelora untuk melahirkan insan mukmin yang teguh dibawah naungan Al Quran dan As Sunnah.

Saksikan cerita lanjut di TV3 nanti…. Moga kita mendapat inspirasi dan ibrah untuk mendidik jiwa dan rohani. Insya-Allah

Kepada yang ingin menyumbang untuk SRB Darul Mulkan:

No akaun Maybank: 558051003659 Ustaz Jamnul Azizul: 019 5672088

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Kolumnis

iklan

Iklan