Tiga Siti kenang abah di pagi raya

Diterbitkan: Ahad, 20 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Siti pertama kali beraya tanpa abah tersayang. -foto The Star oleh RAHMAN SENIN
Siti pertama kali beraya tanpa abah tersayang. -foto The Star oleh RAHMAN SENIN

BERSALAM-SALAMAN memohon ampun dan maaf sudah menjadi aktiviti wajib di pagi raya dan bagi yang meraikan bersama keluarga, pastinya tangan ibu dan bapa yang akan disambut terlebih dahulu.

Namun, apabila mereka sudah tiada pasti kita akan merasai kehilangan ‘sesuatu’ yang sukar dicari ganti sebaliknya hanya doa yang mampu diberikan sebagai pengganti.

Begitu juga dengan tiga beradik, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza, Siti Nor Saida dan Siti Saerah mengenangkan mereka tidak dapat beraya dengan bapa tersayang, Tarudin Ismail yang pergi menghadap Ilahi pada 15 Februari lalu akibat serangan jantung.

Bagi Siti Nurhaliza yang dikenali dengan panggilan Siti ini, walaupun sedih, kenangan beraya dengan bapa tetap diingati sampai bila-bila.

“Sambutan Hari Raya saya sekeluarga pada tahun ini pastinya sedih sedikit kerana kami akan beraya tanpa abah.

“Walaupun abah sudah tiada, kami akan beraya dengan mak seperti biasa tetapi momen dengan arwah abah tetap ada.

“Kami ada juga membuat tahlil untuk arwah abah,” ulas isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini.

Sebagai tanda mengenang arwah bapanya, Siti dijangka akan menyanyikan lagu bersama empat beradiknya yang lain iaitu abangnya, penyanyi Saiful Bahri atau Ayie, kakaknya, Saida dan dua orang adiknya, Saerah dan Mohd Ali.

Menurut kakak ipar Siti, Rozi Abdul Razak, lima beradik itu akan menyanyikan lagu ciptaan komposer Aidit Alfian dan liriknya oleh Ad Samad yang akan dimuatkan dalam album duo Saerah dan Saida tidak lama lagi.

“Sekarang lagu itu sedang dalam proses rakaman dan tajuk lagu itu belum pasti lagi,” ujar Rozi, isteri kepada Ayie dan pengurus Siti.

Selain merindui arwah abahnya, Siti juga tidak berat untuk berkongsi tentang pengalaman ketika meraikan Hari Raya bersama keluarganya.

Walaupun banyak perkara yang diharungi bersama adik-beradiknya terutama Saida dan Saerah, Siti akui dia lebih suka memikirkan masa sekarang dan masa akan datang dan biarlah perkara lepas berlalu begitu sahaja.

“Suasana beraya antara zaman kanak-kanak, dewasa dan setelah berkahwin meninggalkan banyak kenangan kepada saya.

“Antara raya dahulu dan sekarang, semuanya memberikan pengalaman yang indah buat saya,” katanya yang meminati lagu ‘Suara Takbir’ menjelang Hari Raya.

Kata penyanyi lagu raya, ‘Sesuci Lebaran’ dan ‘Nazam Lebaran’ ini, apabila mendengar lagu ‘Suara Takbir’ nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu, secara automatik terus dia akan terkenangkan suasana beraya semasa kecil.

Jika tahun-tahun lalu, Siti pastinya lebih menjadi tumpuan tetamu dan peminat yang datang beraya di kampungnya, Kuala Lipis, Pahang.

Namun tahun ini, pasti suasana raya itu lebih meriah dengan meraikan bersama-sama peminat Saida dan Saerah.

“Kalau sebelum kahwin, ramai peminat saya yang datang jadi Kak Saida perlu menolong untuk menyediakan makanan dan minuman di dapur kerana saya sibuk melayan tetamu.

“Tetapi nampak gaya tahun ni masing-masing kena buat kerja masing-masing sebab bukan saya sahaja yang bergelar artis tetapi Kak Saida pun perlu melayan tetamu dan peminatnya.

“Jadi, saya, Kak Saida dan Saerah perlu sama-sama membantu menyediakan juadah terutama menu nasi impit, kuah kacang, ketupat daun palas dan rendang ayam kampung yang menjadi kegemaran kami di pagi raya,” cerita Siti yang mengenakan baju raya rekaan Rizman Ruzaini, Radzuan Radziwill dan Michael Ong.

Saerah sempat cium perut abah

Sementara itu, adik kedua Siti, Saerah tidak lepas mencium perut arwah abahnya tatkala pulang ke kampung.

Baginya, kehangatan sambutan Hari Raya pada tahun ini tidak semeriah dulu apabila meraikannya tanpa ayah tersayang.

“Apabila balik, mesti saya akan jumpa abah dan perkara yang saya selalu buat adalah mencium perutnya. Sebelum dia pergi, saya sempat mencium perutnya..

“Saya rindu untuk bersalam raya dengan arwah untuk memohon maaf. Bukan senang nak sambut raya tanpa abah kerana saya rapat dengan arwah dan biasa dengar suara dia.

“Apa yang boleh lakukan sesekali sedekahkan surah Al-Fatihah,” ujar pengemar lagu ‘Cahaya Aidilfitri’ yang selepas solat raya pergi menziarahi kubur arwah atuk, nenek dan abahnya.

Saida bongkar cerita raya masa kecil

Dalam pada itu, kakak Siti, Saida lebih suka membongkarkan kenangan ketika dia, Siti dan Saerah beraya mengelilingi kawasan berek polis yang mereka tinggal.

“Sebelum kahwin iaitu semasa kami masih bersekolah, kami bertiga dan anak-anak polis lain menunggu untuk mengutip duit raya dan bandingkan siapa yang paling banyak.

“Kalau ada rumah-rumah yang sedia duit raya lebih dari RM5, yang tu kami akan kejar dulu.

“Kemudian mesti ada gaduh-gaduh mulut dan tangan tetapi akhirnya saya yang akan beralah sebab lebih tua daripada mereka.

“Selepas mengumpul duit raya, yang kalau tak silap saya paling banyak pun dalam RM100 tu, kami akan simpan dalam Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Tetapi apabila dah berkahwin dan berkeluarga ni, pada tahun ini seronok dapat beraya bersama kerana masing-masing dah ada anak saudara.

“Kami akan berkumpul dengan famili untuk bermaaf-maafan antara satu sama lain cuma tahun ini kurang meriah kerana abah tiada,” katanya yang menyambut raya bersama keluarga secara sederhana.

Selain itu, antara perkara yang turut dirindui oleh penggemar lagu ‘Dendang Perantau’ ini, dia ingin beraya di rumah saudara-mara seperti yang biasa dilakukan semasa kecil dulu.

“Saya teringin nak beraya di rumah saudara dan nenek kerana masa kecil semua rumah kita boleh pergi tetapi bila dah dewasa ni banyak pula komitmen kerana pada tahun ini saya akan beraya dengan peminat pula apabila pulang ke Kuala Lipis.

“Kalau macam ni mesti lambat sikit raya dengan sanak saudara,” ujar Saida yang tahun kedua beraya sebagai artis.

Ibu kepada empat orang anak ini juga berpeluang beraya dengan anak yatim anjuran kelab peminatnya, Saida FC.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan