Gara-gara isu 'pendet', teater Natrah hanya gunakan Bahasa Malaysia

Diterbitkan: Jumaat, 18 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

(dari kiri) Umie Aida, Diana, Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani dan Erma Fatima
(dari kiri) Umie Aida, Diana, Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani dan Erma Fatima

GARA-GARA isu tarian pendet yang mencetuskan kontroversi antara Indonesia dan Malaysia baru-baru ini, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia memutuskan agar teater Natrah yang akan dipentaskan di Istana Budaya (IB) kelak perlu menggunakan Bahasa Malaysia sepenuhnya.

Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani, teater arahan Erma Fatima ini sepatutnya menggunakan pertuturan Bahasa Indonesia memandangkan Natrah atau nama sebenarnya Maria Hurberdina Bertha Hertogh bertutur di dalam bahasa tersebut.

"Saya telah menerima arahan daripada Datuk Seri Dr Rais Yatim sendiri yang meminta kami tidak menggunakan Bahasa Indonesia di dalam teater ini kerana kontroversi yang sedang berlaku.

"Kalau ikutkan, memang Natrah dulu berbahasa Indonesia dan dia juga mempunyai loghat Terengganu kerana ibu angkatnya, Che Aminah berasal dari Terengganu.

"Kementerian tidak mahu masalah bertambah besar kelak dan oleh sebab itu kami perlu merombak semula skrip dan menggunakan sepenuhnya Bahasa Malaysia baku bagi menggantikan Bahasa Indonesia," ujar Juhari pada sidang media pengumuman barisan pelakon utama teater itu, di IB, kelmarin.

Teater Natrah akan dipentaskan bermula 17 hingga 25 November depan.

Diana Danielle dipilih memegang watak Natrah manakala Umie Aida akan membawakan watak sebagai ibu angkat Natrah, Che Aminah.

Turut membintangi teater yang merupakan cetusan idea Datuk Seri Dr Rais Yatim sendiri ini ialah Remy Ishak yang akan memegang watak Mansor Adabi, suami kepada Natrah.

Kisah Natrah pernah mencetuskan kontroversi di Singapura sekitar era 50an sehingga mengakibatkan tragedi berdarah di kalangan masyarakat di sana.

Rusuhan yang menyebabkan seramai 18 orang terbunuh dan lebih 200 orang cedera dalam pertempuran dengan tentera dan polis British itu berlaku demi perjuangan mereka terhadap gadis Belanda bernama Bertha atau Natrah itu.

Bertha dilahirkan di Jawa, Indonesia dan kemudiannya pada usia lima tahun, dia diserahkan kepada ibu angkatnya, Che Aminah untuk dipelihara yang mana kemudiannya dia diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana pendidikan Islam.

Natrah menjadi rebutan antara ibu angkat dan keluarga kandungnya sehingga mencetuskan 'Rusuhan Natrah' setelah masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa gadis itu akan dimurtadkan.

Bukan itu saja, kisah Natrah yang dikahwinkan pada usia 13 tahun dengan Mansor Adabi juga membawa cerita tersendiri yang amat memilukan.

Keikhlasan kasih Mansor yang berjanji tidak mahu 'menyentuh' Natrah kerana usianya yang masih muda ketika itu serta cinta sejati mereka yang terpaksa dipisahkan kemudiannya sehingga membuatkan pasangan ini merana memang cukup menyayat hati.

Lebih menyedihkan, Natrah menjalani kehidupan yang penuh berliku sepanjang hidupnya, sehinggalah dia meninggal dunia pada 8 Julai lalu di Huijbergen, Belanda, pada usia 72 tahun setelah menderita akibat penyakit leukemia.

Ditanya sama ada pihak kementerian juga menyediakan panduan lain kepada produksi teater Natrah memandangkan kisahnya yang cukup kontroversi, kata Juhari, tidak ada sebarang arahan lain dikeluarkan.

"Ini adalah fakta sejarah. Dan sebenarnya, Datuk Seri juga pernah memberi idea kepada kami untuk bawa Natrah datang menyaksikan pementasan ini. Memang beliau agak terkilan bila mendapat tahu Natrah meninggal dunia tidak lama selepas itu.

"Erma sendiri pernah merancang untuk ke Belanda dan bertemu sendiri dengan Natrah. Tetapi Natrah meninggal sebelum kami dapat teruskan perancangan itu," ujar Juhari.

Skrip untuk pementasan ini ditulis oleh Al-Jefri manakala penasihat bagi teater Natrah ini pula ialah Datin Fatini Yaacob, yang banyak menulis artikel dan mengkaji tentang Natrah sejak 20 tahun lalu.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan