Mardiana kagum cara kerja Idham

Diterbitkan: Khamis, 17 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Nana teruja berlakon sebagai Ika dalam 'Impak Maksima The Musical'. -foto The Star oleh DARRAN TAN
Nana teruja berlakon sebagai Ika dalam 'Impak Maksima The Musical'. -foto The Star oleh DARRAN TAN

PELUANG untuk beraksi di Esplanade Theatre, Singapura mungkin tidak akan ditolak oleh mana-mana pelakon termasuk pelakon Mardiana Alwi yang mula dikenali menerusi teater ‘Bukan Dejavu’ dan ‘Intan Yang Tercanai’.

Pada 17 dan 18 Oktober nanti, Mardiana atau lebih mesra disapa Nana akan terlibat dengan pementasan teater ‘Impak Maksima The Musical’ di situ.

Nana akan melakonkan watak Ika yang sebelum ini disandang oleh Zarina Noordin.

Tidak hairanlah Nana graduan Diploma Teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini terpilih untuk menggantikan tempat Zarina bagi menggalas watak utama itu memandangkan dia telah mempunyai banyak pengalaman berlakon teater ketika belajar dulu.

Nana telah menjayakan pelbagai produksi teater antaranya Teater Klasik Macbeth (ASWARA), Muzikal Kesuma (ASWARA), Teater Mak Yong Raja Kecil Dewa Laksana (ASWARA), Bangsawan Raden Galoh (ASWARA), Bangsawan Menjunjung Duli (DBP), dan eater Syurga atau Neraka (PESAM).

Selain itu, Nana pernah berlakon dalam beberapa buah drama, telefilem dan filem yang antaranya adalah Biar Rahsia, Pasrah, Salsamuay, Biar Bulan Bicara, Jalan Pulang dan Malaikat Maut.

Gadis kelahiran Senai, Johor ini juga mempunuai bakat dalam bidang nyanyian seperti pernah menyanyi lagu keroncong, ghazal dan lagu tradisional dan memenangi beberapa pertandingan nyanyian irama Malaysia pada peringkat negeri.

‘Impak Maksima The Musical’ terbitan Excellent Pictures dan Global Network Entertainment Sdn Bhd dengan sokongan Istana Budaya ini mengisahkan remaja bernama DK lakonan Kamal Adli bersama tiga rakan karibnya iaitu Loyai (Cat Farish), Amran (Adeep The Fabulous Cats) dan Kembang (Rosli) yang sentiasa terjebak di dalam sukan permotoran dan seringkali terlibat dengan lumba haram.

Saingan utama DK adalah Ray. Sehingga kini DK dan Ray akan bersaing untuk menjadi jaguh Drift jalanan.

DK telah jatuh cinta dengan Ika namun cintanya mendapat halangan apabila Ray merupakan abang Ika yang sentiasa menjaga setiap pergerakan adiknya itu.

Konflik bertambah besar apabila gadis bernama Mimi (Wangi The Fabulous Cats) mengaku dirinya sebagai kekasih DK.

Disebabkan teater ini bersifat muzikal jadi pengarahnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri meminta Nana memfokuskan kepada koreografi dan nyanyian.

Ketika temubual dilakukan, Nana memaklumkan yang dia baru menjalani latihan teater selama seminggu.

“Saya tiada masalah untuk berlakon dalam teater ini kerana setiap kali menjalani latihan, saya cepat ‘tangkap’ apa yang diajar dan sentiasa seronok dengan apa yang dilakukan,” katanya yang pertama kali berlakon teater muzikal.

Jelas Mardiana, dia menganggap tawaran teater ini sebagai suatu rezeki bermakna dan dalam masa yang sama menganggapnya sebagai suatu tanggungjawab yang besar.

“Saya ingin meletakkan platform ini untuk menggilap bakat dalam bidang teater ini.

“Alhamdulillah, memang ini yang saya impikan untuk melangkah ke peringkat antarabangsa. Jadi, saya akan mengambil peluang ini untuk membuat yang terbaik.

“Atas penglibatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penerbit eksekutif Den Wahab dan Idham kerana berani mengambil orang baru seperti saya,” ujarnya.

Seperti yang dijanjikan, Nana juga sebolehnya tidak mahu dibandingkan dengan Zarina kerana dia akan membuat mengikut ‘acuan’ dirinya sendiri.

“Bagi saya, setiap orang ada kelebihan atau kekurangan tersendiri. Mungkin saya ada kelebihan dan kekurangan.’

“Pengarah (Idham) memberitahu yang karektor saya agak lemah lembut dan berbeza dengan watak Ika dalam Impak Maksima The Musical.

“Jadi, saya akan mengikut interpretasi sendiri. Sama atau tidak lakonan saya dengan Zarina, itu pendapat orang,” jelasnya yang menonton rakaman ‘Impak Maksima The Musical’ untuk melihat jalan ceritanya.

Tambah Nana, dia juga teruja untuk berlakon di bawah arahan Idham yang dianggapnya sebagai pengarah yang kreatif dan profesional.

“Yang saya tahu dari orang lain, bekerja dengan Idham sangat seronok...,” katanya yang setakat ini hanya menumpukan perhatian untuk berlakon teater ini.

Bagi yang tidak sempat menonton teater ‘Impak Maksima The Musical’ di Istana Budaya sebelum ini, bolehlah saksikan di Esplanade Theatre, Singapura pada 17 dan 18 Oktober ini dengan tiket berharga SGD 30, 45 dan 60.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan