Scha-Fahrin sah putus cinta?

Diterbitkan: Selasa, 15 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Fahrin dan Scha dikatakan kini bukan lagi pasangan kekasih
Fahrin dan Scha dikatakan kini bukan lagi pasangan kekasih

UMUM sudah mengetahui kisah percintaan dua selebriti ini. Baik Fahrin Ahmad mahupun Sharifah Nor Azean yang mesra di sapa Scha ini, kedua-duanya sudah tidak berahsia lagi tentang hubungan mereka.

Namun, tatkala cerita cinta mereka sering menjadi 'buruan' media, timbul pula perkhabaran yang mengatakan hubungan dua pelakon popular ini sebenarnya sedang berantakan.

Malah, khabar angin terbaru pula mengatakan kedua-duanya bukan lagi sebuah pasangan kekasih. Mungkin sukar untuk mempercayai gosip sedemikian rupa apatah lagi baru-baru ini kebanyakan media memaparkan kisah mereka yang dilihat cukup selesa dengan hubungan masing-masing.

Malah, Fahrin dan Scha juga telah disahkan bakal menjadi hos Sehati Berdansa musim ketiga yang mana aktres berusia 26 tahun ini dipilih menggantikan tempat Linda Onn yang telah mengendalikan program realiti tarian melibatkan selebriti selama dua musim berturut-turut.

Jika sahih perkara itu, Fahrin nampaknya sekali lagi melalui senario yang sama pernah diharunginya sewaktu mengendalikan Sehati Berdansa musim kedua bersama Linda dulu.

Cuba diajukan pertanyaan itu kepada Scha ketika ditemui pada majlis pengumuman hos dan perunding tarian Sehati Berdansa musim baru, semalam, gadis kelahiran Sungai Petani, Kedah itu tidak mahu menafikan mahupun mengiyakan tentang perkara tersebut.

"Masih terlalu awal untuk saya bercakap tentang perkara ini. Saya tidak mahu komen lanjut. Jika orang membuat andaian kami sudah berpisah, terserahlah.

"Apa yang pasti, kami masih bersama dalam Sehati Berdansa," ujarnya, ringkas seolah-olah sedang menyembunyikan sesuatu.

Walaupun cuba menyelami hatinya tentang perkara itu, Scha nampaknya lebih selesa untuk tidak terus berbicara tentang hubungan dia dan Fahrin dan cuba beralih terhadap topik berkenaan program realiti itu.

Perkara yang sama diajukan juga kepada Fahrin berkenaan khabar angin tersebut. Jawab pelakon kacak itu:

"Setiap benda yang berlaku, Tuhan tahu apa yang sebenarnya terjadi. Bagi saya, lagi kuat kita bertahan dan redha, keputusan akan jadi lebih baik. Lagi kita merungut dan marah, benda tu akan memakan diri.

"Bagi saya, sebagai artis, kena pandai dan bijaksana memperkukuhkan diri dalam hubungan. Dan saya akui, hidup sebagai Fahrin Ahmad, realitinya orang akan terus menulis tentang saya sampailah saya mati," katanya, yang juga masih meletakkan tanda-tanya tentang hubungan mereka.

Sama ada benar hubungan mereka kini hanya tinggal kenangan atau tidak, sukar untuk dijelaskan apatah lagi kedua-duanya tetap mempamerkan tahap profesionalisma yang tinggi seperti biasa pada sidang media itu.

Namun, mungkin juga kedua-duanya berjaya mengasingkan antara hal peribadi dan kerjaya agar tidak dilihat terlalu ketara. Biar apapun yang berlaku di antara kedua-duanya, Fahrin dan Scha nampaknya selesa untuk tidak mengulas lanjut tentang perkara itu.

Scha anggap Linda Onn idola

Ramalan ramai yang merasakan Scha bakal mengambil alih tempat Linda Onn sebagai hos bersama Fahrin di dalam Sehati Berdansa musim terbaru ini nampaknya tepat apabila namanya diumumkan bakal bergandingan dengan aktor dan pengacara itu dalam program yang bakal memulakan siarannya tidak lama lagi.

Selain Fahrin yang dikekalkan, Awal Ashaari juga sekali lagi dipilih untuk mengendalikan segmen-segmen tertentu di dalam musim terbaru ini.

Kali ini, selain mengacarakan segmen Di Sebalik Sehati Berdansa dan Detik Sehati Berdansa, Awal juga akan menjadi hos untuk Debaran Sehati Berdansa iaitu malam 'result show' yang mana sebelum ini dikendalikan oleh dua hos utama.

Mengulas lanjut tentang pemilihan Scha sebagai 'pengganti' Linda, kata Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, ketiadaan Linda kali ini bukan disebabkan oleh faktor lain seperti isu kontroversinya dengan Fahrin.

"Dia (Linda) sudah melakukan tugas yang cukup hebat sepanjang dua musim dia mengendalikan program ini. Kali ini, kita ingin buat kelainan dan sengaja kita memilih Scha kerana dia adalah antara artis yang 'top' ketika ini," ujar Khairul.

Turut diumumkan pada sidang media yang sama ialah perunding tarian bagi musim terbaru ini iaitu Farah Sulaiman.

Ditanya pendapatnya andai kata Astro dianggap cuba mengeksploitasi kisah cinta seperti menggandingkan Fahrin dan Scha, kata Khairul:

"Sehati Berdansa sememangnya adalah tentang cinta, bukan saja di kalangan suami isteri yang menjadi peserta. Saya tidak mahu menafikan atau mengiyakan, tetapi cinta adalah faktor utama program ini."

Senarai pasangan selebriti yang akan menjayakan musim terbaru Sehati Berdansa ini akan diumumkan pada sidang media lain berkemungkinan 13 Oktober depan.

Dalam pada itu, Scha akui cukup teruja apabila diberikan peluang mengendalikan Sehati Berdansa kali ini. Katanya, walaupun tidak mempunyai pengalaman besar sebagai pengacara, namun dia yakin gandingannya Fahrin akan memberi tunjuk ajar selain cuba membuat rujukan sendiri.

"Saya tidak ada masalah bekerja dengan Fahrin. Dia adalah seorang yang tidak lokek ilmu. Memang saya 'excited' untuk bekerjasama dengannya.

"Saya juga ada menonton siaran ulangan Sehati Berdansa sebelum ini sebagai panduan. Saya juga lihat bagaimana Linda mengendalikan program ini dan jadikan dia sebagai idola saya.

"Bagi saya, mana yang baik, tidak salah dijadikan contoh. Memang orang akan bandingkan saya dengan Linda kelak, tetapi bagi diri saya sendiri, saya akan cuba lakukan yang terbaik," katanya.

Sementara itu, ditanya tentang gandingannya bersama Scha kali ini, kata Fahrin, dia lebih suka melihat perkara itu dari aspek kerjaya.

"Sejujurnya, ia agak memeranjatkan saya juga kerana saya tidak tahu pun tentang perkara ini sejak di peringkat awal. Apapun, prinsip saya dalam bidang ni hanya satu.

"Sama ada mengacara atau berlakon, ia adalah periuk nasi saya. Tak kiralah dengan siapa pun saya digandingkan...musuh ke atau sesiapa saja, saya akan buat secara profesional.

"Apa yang saya lebih harapkan pada musim ini, ialah untuk melihat program ini lebih berkembang," ujar Fahrin.

Ditanya juga tentang pendapatnya mengenai 'badi' Sehati Berdansa yang menyaksikan keruntuhan rumahtangga beberapa pasangan selebriti yang pernah menyertainya, luah Fahrin, dia merasakan perkara itu tidak munasabah.

"Mengarutlah. Benda tu sebenarnya berbalik pada diri sendiri dan selebihnya terserah kepada Allah. Tidak ada kena-mengena dengan 'badi' atau sebagainya," katanya, sambil tersenyum.

Secara ringkasnya, Sehati Berdansa merupakan sebuah program realiti tarian yang diadaptasi daripada format program hiburan popular antarabanga. Sama seperti musim-musim terdahulu, pasangan selebriti yang terlibat akan menari untuk membantu mengumpul dana bagi badan-badan kebajikan terpilih.

Persembahan pasangan selebriti ini akan diadili dengan sistem pemarkahan sebanyak 50 peratus oleh juri profesional dan 50 peratus lagi daripada undian penonton.

Sehati Berdansa sebelum ini telah menyaksikan pasangan Rashidi Ishak dan Vanidah Imran muncul sebagai juara musim pertama diikuti dengan pasangan Fauzi Nawawi dan Lisdawati yang tampil sebagai juara musim kedua.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan