Kakak Tua: Ramai yang hanya taubat 'sambal belacan'!

Diterbitkan: Selasa, 15 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BERTAUBAT bukan semudah lafaz 'tak akan buat lagi'. Dan bukan juga sesenang meletak titik nokhtah dengan ucapan ...'saya menyesal' atau 'saya tersilap.'

Mungkin kita sudah terbiasa dengan ungkapan klise...'I am sorry' tapi tak lama buat LAGI! Lebih elok tak payah cakap semua ini.....buat jadi modal orang media saja.

Kalau setakat kekesalan dan menzahirkan 'lafaz taubat' untuk menyedapkan hati sendiri dan orang sekeliling, tak perlulah. Sebab itulah orang tua-tua dulu selalu ingatkan jangan kita ‘taubat sambal belacan’.

Hanya insan yang rapuh imannya akan selalu terjebak di dalam 'taubat lawwamah' atau taubat sambal belacan. Walaupun sedar tentang buruknya dosa dan beratnya murka Allah, tetapi sesalan itu tidak kuat untuk mencegah dirinya dari mengulangi kesalahan yang sama.

Sudah tahu salah, masih juga dibuat, kemudian menyesal dan tidak mahu lagi mengulanginya. Tapi belum hilang panasnya dosa, diulang kembali salah yang sama.

Maka sebab itu bila Kakak Tua terbaca cerita artis kena tangkap khalwat atau hisap dadah dan berjanji tidak akan buat lagi, agak sukar hendak percaya pengakuan 'ikhlas' mereka.

Ada saja kata-kata mereka yang bagai tidak kena di mata tua ni. Tambahan pula sudah berapa ramai pasangan artis sebelum ini pernah buat pengakuan kononnya tidak ada apa-apa hubungan. Tapi bila hendak kahwin atau bercerai, habis semua cerita terkeluar macam cupak bobos.

Kisah yang masih panas 'dibicarakan' di dada akhbar ialah kisah penyanyi Farawahida Vs komposer Julfekar dan aktor Norman serta pasangannya aktres muda Memey.

Sejauhmana tersimpangnya perhubungan profesional antara Julfekar dan Farawahida menjadi berita sensasi bila Farawahida membuat laporan polis mendakwa diugut gambar bogelnya akan disebarkan jika dia keluar daripada syarikat milik Julfekar.

Masing-masing cuba memberi versi atau gambaran sebenar apa yang pernah terjadi antara mereka.

Yang paling pelik bila Farawahida terus-terusan menafikan yang dia dan Julfekar pernah menjadi pasangan kekasih. Kakak Tua pun tertanya-tanya kalau bukan kekasih bagaimana pula timbul cerita gambar bogel diedarkan.

Musykil sekali kerana sekian lama buat penafian dan meperlekehkan tulisan di ruangan gosip, tiba-tiba saja, baik Farawahida mahupun Julfekar seperti mengajak media bicara tentang kisah cinta mereka.

Rasanya, peminat sudah tidak berminat hendak tahu siapa betul dan siapa salah. Ramai yang ingin tahu, sejauh mana kesahihan gambar bogel yang dikatakan itu? Masakan keterlanjuran sebuah hubungan sejauh itu?

Begitu juga kisah cinta 'yang baru hendak berputik' antara Norman Hakim dan Memey. Yang menjadi lebih pelik dan kita sendiri menjadi kasihan bila mereka mengaku baru hendak bercinta.....

Lebih 'syahdu' bila perasaan itu timbul setelah mereka ditangkap khalwat dan berkecainya rumahtangga Norman-Abby Abadi. Siapa sangka kesusahan mengharungi kes khalwat dan naik turun mahkamah syariah bersama dengan pakaian sedondon, boleh membuahkan cinta antara mereka.

Pasangan yang sedang berkasih, fitrahnya begitu mungkin. Bila sedang asyik melayan keenakan pedas sambal belacan, walau 'derita' akibat menjamah, masih dilayan kerana sedapnya.

Memanglah dosa itu ghaib dan kita tidak mampu melihat sebanyak mana dosa dan pahala yang telah kita kumpulkan. Yang termampu hanyalah 'Tepuk dada, tanya selera'.

KAKAK TUA: Gelisah bila berdosa, takut dipaling rahmat Allah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan