Penceraian KD-Anang tidak gugat projek album duet Siti-KD

Diterbitkan: Jumaat, 11 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Datuk Siti Nurhaliza semasa majlis pelancaran album 'Tahajjud Cinta' dan berbuka puasa bersama artis Siti Nurhaliza Productions (SNP) Sdn. Bhd. di Lot 10, Bukit Bintang, semalam. -foto The Star oleh RAHMAN SENIN
Datuk Siti Nurhaliza semasa majlis pelancaran album 'Tahajjud Cinta' dan berbuka puasa bersama artis Siti Nurhaliza Productions (SNP) Sdn. Bhd. di Lot 10, Bukit Bintang, semalam. -foto The Star oleh RAHMAN SENIN

ALBUM ‘Tahajjud Cinta’ sudah pun berada di pasaran sejak 9 September lalu dan masuk Disember nanti, penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza Tarudin bakal melaksanakan projek terbarunya yang ditunggu-tunggu iaitu merakamkan album duet dengan diva tersohor Indonesia, Krisdayanti atau KD.

Belum pun sempat merakamkan album itu, industri seni digemparkan dengan berita penceraian KD dan Anang Hermansyah baru-baru ini.

Wanita yang mesra dengan panggilan Siti itu berkata dia ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada KD agar banyak bersabar menghadapi dugaan yang besar ini.

Menurut Siti, walaupun perkara ini masih baru namun ia tidak mematahkan semangat KD untuk meneruskan projek membuat album duet itu.

Biarpun ramai selebriti mahupun media di Indonesia melemparkan pendapat yang lebih berpihak kepada Anang Hermansyah, namun sebagai rakan baik Krisdayanti (KD), penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza akan sentiasa menyokong diva popular Indonesia itu.

Menurut Siti, dia tidak boleh mencampuri urusan rumah tangga KD dan Anang yang baru disahkan bercerai baru-baru ini. “Sebagai kawan, insya-Allah saya akan bersama dia. Sebagai kawan, dalam rumah tangga mereka, saya tak boleh berkata apa sebab Anang, dia dan Allah sahaja yang tahu.

“Saya juga berharap dia akan terus tabah dan tidak gentar meneruskan perjuangan..sebagai manusia, kita inginkan keredhaan Allah.

“Apabila mengetahui tentang berita itu, Siti terus mendapatkan pengesahan dengan KD menerusi SMS.

“Saya juga menasihatkan dia supaya banyak beristighfar. Diharap dia akan menjadi lebih kuat. Sebagai manusia biasa, kita semua mempunyai kelemahan masing-masing dan hanya mampu berdoa,” ujarnya dalam majlis berbuka puasa dengan artis-artis Siti Nurhaliza Productions (SNP) Sdn Bhd. dan pelancaran album kerohaniannya, ‘Tahajjud Cinta’ di Lot 10, Bukit Bintang.

Menyentuh tentang album yang memuatkan lapan buah lagu itu, dia memilih lagu ‘Ku Percaya Ada Cinta’ sebagai single pertama yang akan diputarkan di corong radio dalam masa terdekat ini.

Baginya, dia memilih lagu ciptaan komposer Audi Mok dan penulis liriknya, Habsah Hassan itu kerana konsepnya yang lebih berentak pop.

“Tetapi mesej tetap sama. Untuk dimainkan di radio, saya rasa insya-Allah senang untuk diterima oleh pendengar.

“Selain lagu ini, saya juga menyukai lagu Asma Ul Husna. Tetapi sebab durasinya agak lama iaitu enam minit, jadi agak sukar untuk kita putarkan di stesen radio tempatan untuk sebuah lagu melainkan di radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM),” jelas Siti yang tidak meletakkan sasaran dalam jualan album ini.

Katanya, apa yang dilakukan hanya berlandaskan nawaitu atau niat kepada Allah.

“Saya tak kisah jika jualan album ini mendapat kutipan banyak atau sedikit sebab nawaitu saya kerana Allah sebab memberi kegembiraan dan kemenangan.

“Yang penting, hati saya tenang,” luahnya mengenai album yang turut menyenaraikan lagu ‘Pintu Rindu’, ‘Tahajjud Cinta’, ‘Batasku Asaku’, ‘Ya Rasulullah’, ‘Ketika Cinta’ dan ‘Selawat’.

Album kerohanian ini diterbitkan oleh Eddie Marzuki, Audi Mok, Tya Subiakto termasuk Siti sendiri.

Selain Audi Mok dan Habsah Hassan, antara komposer dan penulis lirik yang terlibat dalam album ini adalah Erma Fatima, Siti, Abu Bakar Mohd. Yatim (anggota Raihan), Opick, Hairul Anuar Harun, dan Attan Hardilas.

Menurut Siti, hanya empat buah lagu baru yang dimuatkan dalam album ini iaitu 'Asma Ul Husna', 'Tahajjud Cinta', 'Ku Percaya Ada Cinta' dan 'Batasku Asaku'.

Sementara empat buah lagu lain iaitu 'Ya Rasulullah' pernah didendangkan dalam teater Muzikal Sirah Junjungan, 'Ketika Cinta' pula merupakan lagu asal penyanyi dakwah Indonesia, Opick yang dirakamkan semula dengan susunan muzik baru serta menjadi lagu tema filem Indonesia, 'Perempuan Berkalung Sorban'.

Selain itu, lagu 'Pintu Rindu' berasal dari lagu Arab yang telah ditukar lirik kepada bahasa Melayu manakala 'Selawat' juga dimuatkan dalam album ini dengan kekuatan tersendiri.

Ditanya pula tentang kelainan antara menyanyikan lagu bergenre balada dan kerohanian, Siti berkata:

“Lagu kerohanian lebih menguji kesabaran dan saya rasa kecilnya diri ini tetapi lagu balada lebih mengingatkan saya kepada perkara yang indah dan feel yang lebih kerana ada rasa cinta sesama manusia.”

Siti juga tidak menolak kemungkinan yang rezekinya akan lebih bertambah memandangkan dia terbuka untuk ditawarkan menyanyi dalam majlis berbentuk kerohanian.

Bukan itu sahaja, mengenai perancangan masa hadapan, isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini sedang cuba meluaskan pasaran album ‘Tahajjud Cinta’ ke Indonesia.

“Ada juga syarikat dari Indonesia, Trinity Optima Production yang meminta ‘master copy’ album ini. Jadi, kalau dapat ‘lampu hijau’ dari produksi itu apa salahnya saya mencuba,” ujarnya yang turut akan terlibat dengan pengeluaran produk kecantikannya, ‘Simply Siti’.

Namun Siti bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang produk itu. Katanya, “Apabila tiba waktu yang sesuai nanti baru boleh keluar. Sekarang, biar ia menjadi rahsia.”

Walaupun Siti masih berdiam diri, di sebuah laman web tersebar sedikit info tentang produk itu. Bagaimanapun Siti hanya menjawab sambil tersenyum, “Biarlah orang nak buat apa pun.”

Siti juga semakin terbuka dengan pendapat dan komen orang ramai termasuk jangkaan Siti akan bertudung litup dalam ‘cover’ album itu tetapi rupanya tidak.

Sekali lagi Siti tersenyum lantas berkata: “Saya lebih tahu susah dan senangnya jadi biarlah mereka nak cakap apa pun.”

Dalam perkembangan lain, Siti turut memaklumkan tentang pemergiannya ke tanah suci bersama suami dan ahli keluarga lain untuk mengerjakan umrah pada 14 September hingga 19 September ini dan selepas itu menyambut Hari Raya pertama di kampungnya, Kuala Lipis.

Audi Mok dua tahun simpan lagu khas untuk Siti

Dalam pada itu, komposer yang baru mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Nikki iaitu Audi Mok berkata dia memang telah lama menantikan saat membikin lagu baru untuk Siti dan selepas dua tahun baru terlaksana.

“Saya hanya menyiapkan melodi lagu ‘Ku Percaya Ada Cinta’ dalam masa seminggu tetapi waktu itu saya tidak terlalu kejar masa dan hanya ‘standby’ kalau lagu ini sesuai untuk Siti sejak dua tahun lalu.

“Saya memang menggubah lagu ini untuk Siti sebab ia sesuai dengan vokalnya dan ilham lagu ini lebih ‘elegant’ dan ada kelas. Ia juga bukan berkonsepkan pop biasa,” katanya yang kali ketiga mencipta lagu untuk Siti selepas ‘Ku Mahu’ dan ‘Pada CintaNya’.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan